Skip to main content

Singapura

Pemerintah SG timbang sokongan tambahan bagi tingkatkan peluang graduan baharu dapatkan pekerjaan

Cik Nur Farisya Fahrurazi giat mencari pekerjaan dalam bidang pemasaran sejak menamatkan pengajiannya di Politeknik Ngee Ann dua bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah SG timbang sokongan tambahan bagi tingkatkan peluang graduan baharu dapatkan pekerjaan

Para pelajar berjalan di sekitar Politeknik Republik. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Cik Nur Farisya Fahrurazi giat mencari pekerjaan dalam bidang pemasaran sejak menamatkan pengajiannya di Politeknik Ngee Ann dua bulan lalu.

Pemegang diploma pengajian perniagaan itu berkata beliau sudah menghantar permohonan kerja bagi 20 jawatan, namun hanya menerima dua tawaran kerja.

“Kebanyakan daripadanya memerlukan saya untuk memiliki ijazah atau mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun, yang saya belum ada. (Saya pun tidak ada) portfolio,” kata Cik Nur Farisya, 20 tahun, yang sudah pun menerima pekerjaan alternatif dalam bidang pentadbiran.

Seorang lagi graduan baharu, Shaun Tan, pula menyuarakan kebimbangannya mengenai sama ada pertumbuhan gaji mampu menyaingi kadar inflasi.

"Saya bimbang sama ada gaji akan meningkat pada kadar yang sama (seperti inflasi), atau sama ada ia akan ketinggalan. Kemudian saya perlu memikirkan semula apa yang saya ingin lakukan," kata Encik Tan, yang merupakan pelajar Politeknik Nanyang (NYP) dalam bidang kerja sosial.

Mereka adalah antara graduan baharu di Singapura yang semakin gusar tentang prospek pekerjaan di tengah-tengah landskap yang semakin kompetitif.

Tinjauan tahunan terkini berhubung pekerjaan para graduan oleh universiti dan politeknik, yang dijalankan pada Februari, menunjukkan ramai graduan yang masih menganggur enam bulan selepas tamat pengajian berbanding 2023.

CABARAN PEKERJAAN

Bagi membantu mereka yang baru menyertai pasaran kerja, pemerintah sedang mengkaji langkah-langkah untuk meningkatkan peluang golongan tersebut mendapatkan pekerjaan.

Institusi-institusi pengajian tinggi juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi seperti Workforce Singapore dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC untuk meningkatkan sokongan, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, Gan Siow Huang.

Mereka kini menganjurkan lebih banyak pameran kerjaya dan bengkel-bengkel peningkatan kemahiran, selain melibatkan pakar industri untuk membimbing para pemohon kerja dan berkongsi rangkaian.

“Kami tahu dengan ketidaktentuan ekonomi semasa, ada sesetengah yang mula berasa bimbangmengenai peluang pekerjaan mereka,” kata Cik Gan semasa sesi penglibatan bersama para graduan politeknik pada Rabu (9 Jul).

“Namun buat masa ini, iklim pekerjaan masih stabil – kami tahu banyak syarikat masih mengambil pekerja, dan peluang pekerjaan masih ada,” tambah beliau.

“Kami menggalakkan para graduan baharu supaya terus bersikap optimis, jika boleh, perluaskan skop pencarian kerja, dan bagi mereka yang perlukan bantuan, sila dapatkan khidmat jurulatih kerjaya.”
Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan, Gan Siow Huang, mengadakan sesi penglibatan dengan 20 graduan dari pelbagai politeknik pada 9 Julai 2025. (Gambar: Mediacorp)
Beliau menambah, walaupun syarikat-syarikat kini mungkin lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja baharu berikutan ketegangan perdagangan global dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau berharap syarikat-syarikat dapat memandang ke hadapan.

"Pertimbangkan untuk mengambil graduan baharu yang mempunyai kelayakan dan kemahiran yang baik, dan bersemangat untuk bekerja," katanya.

"Ini sebenarnya dapat membantu syarikat-syarikat juga, dari segi pembaharuan kepimpinan serta pembangunan bakat."


BANTUAN BAGI PEMOHON KERJA

Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT) juga sedang meneliti langkah-langkah untuk membantu para graduan baharu mendapatkan pekerjaan, kata Cik Gan.

Pasukan bertindak itu ditubuhkan pada April lalu oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong.

Ia bertujuan membantu syarikat-syarikat dan para pekerja menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan yang timbul daripada tarif Amerika Syarikat dan perkembangan global yang berkaitan, serta mengukuhkan daya tahan negara.

Satu lagi inisiatif yang boleh membantu para graduan adalah pelaksanaan semula program Program Pelatih SGUnited, kata Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pioneer, Patrick Tay, yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC.

Program itu diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 dan menyediakan peluang latihan sehingga enam bulan, di samping elaun bulanan, bagi membantu para graduan membina kemahiran industri yang relevan.

Ia dimulakan pada Mac 2020 dan tamat pada Mac 2022.

“Kita dapat lihat bagaimana kita membolehkan, membantu atau mendorong para majikan supaya tidak terlalu teragak-agak untuk memanfaatkan subsidi dan sokongan pemerintah untuk menggajikan graduan-graduan baharu,” kata Encik Tay.

Encik Tay menambah, skim itu membantu para graduan mendapat pekerjaan pertama mereka, manakala para majikan dapat “menilai potensi" para pekerja dan, diharapkan akan mengekalkan mereka.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita