Skip to main content

Singapura

Pemerintah SG sumbang AS$50,000 kepada mangsa gempa Afghanistan

Pemerintah Singapura pada Khamis (4 Sep) menyalurkan sumbangan berjumlah AS$50,000 (S$64,000) sebagai dana permulaan, untuk menyokong usaha kutipan dana Palang Merah Singapura (SRC) menyusuli krisis kemanusiaan yang tercetus akibat gempa bumi di Afghanistan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah SG sumbang AS$50,000 kepada mangsa gempa Afghanistan

Penduduk Afghanistan menerima bantuan perubatan ketika berlindung selepas melarikan diri dari rumah masing-masing susulan gempa bumi di wilayah Kunar pada 3 September 2025. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Sep 2025 06:05PM Dikemas Kini : 04 Sep 2025 06:42PM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura pada Khamis (4 Sep) menyalurkan sumbangan berjumlah AS$50,000 (S$64,000) sebagai dana permulaan, untuk menyokong usaha kutipan dana Palang Merah Singapura (SRC) menyusuli krisis kemanusiaan yang tercetus akibat gempa bumi di Afghanistan baru-baru ini.

“Singapura merakamkan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa gempa bumi tersebut,” menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.

SRC pada Khamis turut memperuntukkan S$50,000 bagi menyokong bantuan kemanusiaan dan melancarkan usaha mengumpul dana untuk membantu masyarakat yang terjejas.

“Hati kami bersama mereka yang terkesan oleh bencana berkenaan. Kemusnahannya amat dahsyat, dengan kehilangan nyawa, rumah yang musnah dan masyarakat yang amat memerlukan bantuan segera,” kata Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Benjamin William.

Gempa bumi dengan kekuatan 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan lewat Ahad.

Sekurang-kurangnya 1,469 orang maut dan lebih 3,700 cedera, menurut pihak berkuasa Taliban pada Khamis, menjadikannya antara gempa bumi paling dahsyat dalam tempoh beberapa dekad di negara itu.

Kebanyakan yang terkorban adalah dari wilayah Kunar, dengan berpuluh-puluh lagi maut dan ratusan cedera di wilayah Nangarhar dan Laghman yang berdekatan.

Encik William menambah bahawa SRC akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah untuk menyalurkan bantuan ke lokasi-lokasi yang paling memerlukan.

“Keperluan utama merangkumi sokongan mencari dan menyelamat, jagaan kesihatan kecemasan dan bekalan perubatan, makanan, air bersih serta pemulihan akses jalan raya untuk membantu masyarakat yang terpencil,” menurut SRC.

Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS) memberi tumpuan utama kepada usaha menyediakan tempat perlindungan kecemasan, selain menyalurkan bantuan serta menilai keperluan di lapangan. Pasukan kesihatan bergerak dan ambulans turut dikerahkan ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Barangan bantuan seperti selimut, khemah, terpal, bekas air, makanan dan air sedang dihantar ke masyarakat yang terjejas, menurut SRC. ARCS juga turut menubuhkan kem sementara bagi keluarga yang hilang tempat tinggal.

Lebih 1.3 juta orang terkesan oleh gempa bumi itu, dan ratusan rumah musnah atau rosak, menurut Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Bencana tersebut “memburukkan lagi landskap kemanusiaan Afghanistan yang rapuh akibat konflik selama bertahun-tahun, masalah ekonomi, kemarau dan bencana terdahulu,” menurut SRC.

AFP melaporkan pada Rabu bahawa pasukan penyelamat bergelut untuk menemui mangsa yang terselamat di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Pakistan, tempat yang dilanda gempa bumi tersebut.

MFA menyatakan setakat ini tiada laporan berhubung rakyat Singapura yang terjejas di Afghanistan. Ia menambah: “Rakyat Singapura dinasihati agar menangguhkan semua perjalanan ke Afghanistan selaras dengan nasihat perjalanan sedia ada.”

MFA menasihati rakyat Singapura yang menetap di Afghanistan supaya berwaspada, memantau perkembangan tempatan dan mendaftar secara online dengan MFA. Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat MFA yang beroperasi 24 jam melalui telefon atau emel.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita