Pemerintah SG rancang kerja persiapan bagi projek Long Island sebelum tambak tanah
Pemerintah merancang untuk melaksanakan kerja-kerja persediaan secara berperingkat bagi projek "Long Island" di pesisir East Coast, sebelum kerja-kerja utama tambakan tanah dimulakan.
Ini termasuk penyingkiran halangan di dasar laut serta pemindahan bahan ke perairan tersebut, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam kenyataan medianya pada Isnin (30 Mac).
Kerja-kerja persiapan itu "penting bagi memastikan kerja tambakan tanah bagi ‘Long Island’ dapat disiapkan mengikut jadual", tambah URA.
Diumumkan pada 2023, projek itu bertujuan melindungi East Coast daripada kenaikan paras air laut, memperkukuh bekalan air Singapura menerusi sebuah kolam air baharu, serta menyediakan tanah tambahan bagi keperluan pembangunan pada masa depan.
URA pada Isnin menyatakan agensi-agensi sedang memperincikan garis masa dan skop kerja-kerja persiapan tersebut, yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesannya terhadap pengguna di kawasan East Coast sebanyak mungkin.
Penguasa itu turut menyatakan bahawa agensi-agensi tersebut akan terus mendampingi pihak berkepentingan yang relevan, dan maklumat lanjut akan diumumkan dalam beberapa bulan mendatang.
Kerja-kerja persiapan tersebut tidak akan memuktamadkan pelan bagi projek Long Island dan tidak melibatkan kerja-kerja tambakan tanah, tambah URA.
Pelan dan reka bentuk projek itu hanya akan dimuktamadkan selepas dapatan penuh kajian teknikal diperoleh, dan langkah-langkah mitigasi serta maklum balas daripada sesi libat urus awam lanjut diambil kira.
Kerja-kerja penambakan akan dijalankan selepas itu.
“Memandangkan Taman East Coast merupakan sebuah ruang rekreasi penting dengan kenangan sosial yang dikongsi ramai, kami akan merancang agar ‘Long Island’ dan kolam air baharu itu dapat menyokong aktiviti rekreasi pada masa depan,” menurut URA.
Long Island merupakan sebuah projek berskala besar, dengan potensi lebih 800 hektar tanah ditambak, atau kira-kira seganda saiz Marina Bay.
Ia merupakan “langkah perlindungan pesisir yang penting bagi melindungi nyawa dan mata pencarian, memandangkan kenaikan paras air laut semakin menjejas kawasan rendah di pesisir, termasuk East Coast”, kata URA.
URA turut menyatakan bahawa lebih 14,000 individu sudah berkongsi visi dan aspirasi mereka, serta kebimbangan terhadap projek ‘Long Island’ sejak November 2023, apabila pihak berkuasa tersebut bersama rakan-rakan agensinya mula mengumpul pandangan berhubung projek tersebut.
Secara keseluruhan, terdapat kesepakatan berhubung keperluan penting untuk melindungi kawasan pesisir East Coast yang rendah daripada kenaikan paras air laut.
'Long Island' juga diakui merupakan huraian optimum yang membawa pelbagai manfaat kepada negara, menurut URA.
“Pandangan yang dikumpulkan setakat ini mencerminkan visi bersama bagi ‘Long Island’ untuk memperkukuh daya tahan Singapura terhadap banjir, menyokong pembangunan yang peka dan mampan, serta mengekalkan fleksibiliti bagi memenuhi keperluan yang sentiasa berubah-ubah bagi generasi masa kini dan akan datang.
“Agensi-agensi akan terus menilai daya maju idea-idea tersebut dan mempertimbangkannya dalam kajian teknikal yang sedang dijalankan,” menurut URA.
Tambah URA lagi, agensi-agensi yang terlibat sedang merancang lebih banyak sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dan orang awam untuk meneliti dengan lebih mendalam isu-isu utama, seperti jenis-jenis kegiatan yang boleh dijalankan di pesisir baharu 'Long Island' serta kolam airnya pada masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.