Pemerintah SG dalam kedudukan kukuh untuk tangani masa sukar: SM Lee
Pemerintah Singapura berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menangani keadaan yang timbul ekoran perang Timur Tengah dan bagi membantu rakyat bertakat dalam mengharungi masa sukar.
Menteri Kanan Lee Hsien Loong memberi jaminan tersebut kepada rakyat Singapura, sedang Asia menjadi antara yang paling teruk terjejas dengan gangguan tenaga dan bekalan yang sedang berlaku.
"Pemerintah memantau apa yang berlaku dengan rapi dan saya percaya, anda juga begitu.
"Jika keadaan menjadi bertambah buruk, kami bersedia melakukan lebih banyak lagi, dan kami boleh melakukan lebih lagi.
"Setelah membina sumber-sumber dan keupayaan, kami ada apa yang diperlukan, dan saya percaya kami dalam kedudukan yang kukuh untuk menangani keadaan dan membantu rakyat Singapura bertakat dalam krisis ini," kata Encik Lee.
Beliau berucap demikian di sebuah majlis anugerah pendidikan di Teck Ghee, di mana lebih 250 pelajar diberi penghargaan atas pencapaian mereka.
Di majlis tersebut, beliau juga menggalak para pelajar supaya terus bekerja keras dan membina keperibadian mereka.
Selain itu, beliau menasihatkan para ibu bapa supaya meningkatkan usaha mereka bagi keluarga mahupun masyarakat.
Sambil merujuk kepada pengalaman semasa pandemik COVID-19, Encik Lee menekankan peri penting kebersamaan dalam memastikan masyarakat dalam mengharungi masa-masa sukar.
Beliau menambah, rangkaian formal mahupun tidak formal di serata negara juga penting dalam mencerminkan keterjaminan bagi rakyat dan membantu negara mengharungi krisis.
"Jadi beginilah caranya kita berjaya muncul sebagai satu negara, satu rakyat, satu Singapura.
"Rangkaian-rangkaian masyarakat adalah salah satu kekuatan Singapura. Ia bergantung kepada rakyat untuk tampil berkhidmat dan mahu membuat perubahan.
"Jadi kita perlu memperbaharui rangkaian-rangkaian ini, memupuknya, membinanya dengan sabar tahun demi tahun, semasa tempoh-tempoh baik mahupun sukar.
"Ini agar apabila kita memerlukannya semasa ada krisis, ia ada dan kita boleh bergantung kepadamya," kata Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.