Skip to main content

Singapura

Pemerintah SG akan salurkan S$1 juta sokong usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza, pusingan ke-11

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah SG akan salurkan S$1 juta sokong usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza, pusingan ke-11
Pemerintah SG akan sumbang S$1 juta sokong usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza, pusingan ke-11. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 
 

SINGAPURA: Pemerintah Singapura akan menyalurkan sebanyak S$1 juta sebagai dana permulaan bagi menyokong usaha kutipan derma awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dana berjumlah S$1 juta dolar itu akan diagihkan secara sama rata kepada Palang Merah Singapura, Yayasan Rahmatan Lil Alamin, Humanity Matters dan Mercy Relief bagi membiayai usaha bantuan air, sanitasi, kebersihan, makanan serta usaha bantuan lain di Gaza.

Ini merupakan sokongan pusingan ke-11 bagi bantuan kemanusiaan Singapura kepada penduduk yang terjejas di Gaza sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023.

Jumlah keseluruhan itu kini melebihi S$25 juta.

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA), Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kerja di rantau ini serta Pertubuhan Bukan Pemerintah (NGO) di Singapura untuk menyokong keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza.

PUSINGAN BANTUAN KE-11 BAGI GAZA; USAHA SELURUH MASYARAKAT TERUS DIMANFAAT

Related article image
Pemangku Perdana Menteri Gan Kim Yong dan Setiausaha Parlimen Kanan, Dr Syed Harun Alhabsyi semasa pelancaran acara kutipan derma di jalanan Humanity Matters. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Pemangku Perdana Menteri Gan Kim Yong menjelaskan: "Ini adalah usaha penting dan kami akan terus memanfaatkan usaha seluruh masyarakat untuk melakukan apa yang kami mampu. Singapura menggesa semua pihak supaya memudahkan penyaluran bantuan ini ke Gaza dengan segera dan tanpa halangan. Ini merupakan pusingan bantuan ke-11 Singapura untuk Gaza dan adalah penting bagi kami untuk terus mengekalkan gencatan senjata yang aman di Gaza serta berusaha ke arah fasa seterusnya bagi pembinaan semula Gaza."

Encik Gan ditemui para wartawan di luar acara Humanity Matters yang melancarkan kempen kutipan derma pada Sabtu (20 Dis).

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara merangkap Pendidikan, Dr Syed Harun yang turut hadir di majlis pelancaran itu juga berharap dana permulaan tersebut dapat mengurangkan kesengsaraan para penduduk di Gaza.

"Pemerintah Singapura sudahpun memberikan sebanyak S$1 juta kepada badan-badan seperti Humanity Matters, Mercy Relief, Palang Merah Singapura dan juga Yayasan Rahmatan Lil Alamin sebagai pemangkin dan dorongan kepada warga negara Singapura supaya dapat membantu dalam usaha ini," kata Dr Syed Harun.

"Kami berharap dapat bekerjasama bersama rakyat Singapura, pertubuhan-pertubuhan tertentu dan juga rakan kongsi utama, di mana kita dapat sama-sama sebagai satu masyarakat, mengurangkan penderitaan tersebut. Dan kita ingin memberi sokongan kepada segala apa yang sedang berlaku di Gaza, di mana prakmatik dan dapat memberi sambutan yang berkesan bagi penduduk di sana," tambahnya.

LEBIH 170 SUKARELAWAN SERTAI USAHA KUTIPAN DERMA JALANAN HUMANITY MATTERS

Related article image
Lebih 170 sukarelawan sertai acara kutipan derma Humanity Matters. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Acara badan kemanusiaan tempatan, Humanity Matters itu menghimpunkan lebih 170 sukarelawan berbilang kaum dan agama termasuk para pekerja hijrahan di Gereja Armenian - siap dengan tabung derma bagi mengumpul dana untuk menyokong penduduk yang terjejas akibat konflik di Gaza.

Ini merupakan edisi ketiga kutipan derma di jalanan HM untuk menyokong penduduk Gaza.

Ia turut diadakan sempena Hari Solidariti Manusia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejak Oktober 2023 hingga Ogos tahun ini, badan itu sudah mengumpul lebih S$1.9 juta untuk menyokong penduduk yang terjejas oleh konflik di Gaza.

Related article image
Pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Keng Yong. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

"Dengan penerimaan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai pelan keamanan Gaza baru-baru ini, Humanity Matters sedang bersiap sedia untuk terus membantu keadaan di lapangan bagi menyokong penduduk yang terjejas dan dibebani dengan pelbagai keperluan. Sedang akses sempadan bertambah baik, kami berharap untuk melakukan lebih banyak," menurut Pengerusi Humanity Matters, Ong Keng Yong.

SATU MINIT BERTAFAKUR SUSULI INSIDEN TEMBAKAN PANTAI BONDI, KRISIS KEMANUSIAAN DI RANTAU INI

Sebelum pelancaran itu, para sukarelawan menyertai pemimpin silang agama, masyarakat dan korporat untuk bertafakur selama seminit bagi merenung dan mengenang insiden tembakan di Pantai Bondi baru-baru ini serta krisis kemanusiaan, bencana alam yang terjadi di rantau ini.

Ini termasuk di Sumatra, selatan Thailand, Cagayan dan Cebu di Filipina, Vietnam tengah, sempadan Thailand–Kemboja, Sri Lanka dan Myanmar.

Related article image
Peserta, Anisah Abd Rauh. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam acara pengumpulan dana itu termasuk Anisah Abd Rauh, 35 tahun.

"Saya menyertai usaha kutipan derma ini untuk membantu situasi di Gaza kerana kita sekarang tahu situasi di sana sangat mendesak dan memerlukan bantuan segera. Jadi saya turut serta untuk menolong bersama-sama," kongsi Cik Anisah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya rasa gembira melihat semua menjadi satu masyarakat sebab semua kaum, agama ada. Jadi ia menyeronokkan sebab semua (berkumpul) bersama-sama untuk tujuan yang sama," tambah beliau.

Related article image
Peserta, Ishmam Habib. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Usaha itu turut dialu-alukan Ishmam Habib, 19 tahun.

"Ia merupakan satu saluran yang sangat mudah diakses untuk kami menyumbang kembali kepada satu tujuan yang sangat dekat di hati. Saya juga ingin berkenalan dengan lebih ramai orang sebaya saya, atau individu daripada masyarakat lain secara umum, yang turut mempunyai keprihatinan yang sama, supaya kita semua dapat sama-sama menyumbang kepada tujuan yang sama," ujar Ishmam.

"Saya berasa sangat tersentuh melihat kehadiran individu daripada pelbagai masyarakat di seluruh Singapura, tidak kira kecil atau besar, yang datang menyokong usaha ini. Dan ini memberikan harapan bahawa semua yang hadir benar-benar mengambil berat tentang kemanusiaan dan kita semua mahu membantu mereka yang memerlukan," tambahnya.

Antara November 2023 hingga Ogos 2025, HM dapat menghantar 84.4 tan barangan bantuan ke Gaza menerusi lintasan Rafah, Kerem Shalom, Erez dan Zikim.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita