Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah sentiasa berhati-hati terhadap kesan kenaikan geran perumahan dalam pasaran flat jualan semula

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah sentiasa berhati-hati terhadap kesan kenaikan geran perumahan dalam pasaran flat jualan semula

Flat-flat HDB dengan pemandangan latar langit Singapura. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 17 Feb 2023 12:11AM Dikemas Kini : 17 Feb 2023 09:08AM
SINGAPURA: Pemerintah "sentiasa beringat-ingat" akan kesan daripada peningkatan Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dalam pasaran flat jualan semula yang memberangsangkan, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (16 Feb).

"Itulah sebabnya mengapa kenaikan geran tidak diberikan kepada semua pembeli flat jualan semula tetapi disasarkan secara khusus kepada pembeli rumah (kali pertama) yang layak, dengan pendapatan bawah S$14,000 bagi keluarga dan S$7,000 bagi orang bujang, menerusi Geran Perumahan CPF," jelas MND.

"Sekitar sepertiga pembeli flat jualan semula sudah menerima Geran Perumahan CPF sepanjang dua tahun lalu."

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong mengumumkan pada Selasa (14 Feb) dalam Kenyataan Belanjwan 2023 bahawa Geran Perumahan CPF akan dinaikkan daripada S$50,000 kepada S$80,000 bagi keluarga kali pertama yang layak membeli flat jualan semula HDB empat bilik atau lebih kecil.
Bagi keluarga sedemikian yang membeli flat jualan semula lima bilik atau lebih besar, jumlah tersebut akan dinaikkan daripada S$40,000 kepada S$50,000.

Jumlah geran untuk golongan pembeli bujang kali pertama yang layak membeli flat jualan semula empat bilik atau lebih kecil akan dinaikkan kepada S$40,000 dan kepada S$25,000 bagi flat jualan semula lima bilik.

MND menganggarkan kenaikan geran itu akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 isi rumah kali pertama pada tahun pertama pelaksanaannya.

Selepas mengumumkannya pada Selasa, para penganalisis hartanah berkata langkah-langkah itu boleh merangsang lagi permintaan flat jualan semula HDB.

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan penyelidikan di Huttons, berkata jumlah urus niaga pasaran flat jualan semula HDB berkemungkinan berkembang antara 26,000 hingga 28,000 berbanding unjuran awal antara 24,000 hingga 26,000.

Pertumbuhan pada harga flat jualan semula mungkin meningkat antara 8 hingga 10 peratus, kata beliau, meningkatkan unjuran awalnya sekitar 5 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty Ismail Gafoor berkata kenaikan pada jumlah geran boleh memacu permintaan bagi flat jualan semula, lantas mengekalkan harganya yang kukuh.

MND menyatakan pada Khamis (16 Feb) urus niaga flat jualan semula "ditentukan berdasarkan kerelaan pembeli dan penjual".

"Penjual yang menaikkan harga penjualan mungkin menghadapi risiko meletakkan mereka di luar pasaran sedang pembeli kekal berhemat dari segi harga, memandangkan kadar faedah yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi sejagat," tambahnya.

Harga bagi flat jualan semula HDB naik 2.3 peratus pada suku keempat 2022.

Meskipun ia adalah pertumbuhan paling lembap pada 2022, ia juga merupakan suku kesebelas beruntun indeks harga flat jualan semula meningkat. Indeks itu, yang secara amnya mencerminkan naik turun harga dalam pasaran flat jualan semula, berkembang kepada 171.9.

"Kami sedia maklum bahawa kenaikan harga flat jualan semula mencetuskan keresahan dalam kalangan pembeli rumah (kali pertama)," akur MND.

"Meskipun kami sudah bertindak balas dengan tegas dengan melaksanakan dua pusingan langkah meredakan pasaran pada Disember 2021 dan September 2022 serta sedang memantau tanda-tanda awal penyederhanaan, langkah-langkah ini akan mengambil masa untuk melihat kesannya dalam pasaran."

September lalu, Pemerintah memperkenalkan beberapa langkah bagi meredakan pasaran hartanah, termasuk tempoh menunggu selama 15 bulan bagi pemilik rumah privet yang mahu membeli flat jualan semula HDB.

Langkah-langkah itu termasuk mengetatkan had kuantum pinjaman maksimum. Bagi pinjaman HDB, had Nisbah Antara Pinjaman dengan Nilai Hartanah (LTV) juga diperketatkan daripada 85 peratus kepada 80 peratus.
 
"Pemerintah akan terus memantau dengan lebih teliti pasaran flat jualan semula untuk memastikan ia sejajar dengan asas ekonomi dan akan bertindak dengan tegas sekiranya perlu," menurut MND pada Khamis.

"Lebih banyak butiran mengenai perubahan pada dasar perumahan yang diumumkan semasa Belanjawan 2023 akan didedahkan di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MND."
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan