Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah sediakan geran S$4 juta biaya sistem kawalan keselamatan

Pemerintah akan melancarkan geran sebanyak S$4 juta pada Mac depan untuk membantu syarikat-syarikat membiayai sistem kawalan keselamatan bagi kren.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah akan melancarkan geran sebanyak S$4 juta pada Mac depan untuk membantu syarikat-syarikat membiayai sistem kawalan keselamatan bagi kren.

Ini memandangkan jumlah nahas di tempat kerja melibatkan kren meningkat tiga kali ganda tahun lalu, iaitu kadar paling tinggi dalam masa empat tahun.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga sedang menimbangkan untuk melanjutkan tempoh keselamatan yang dipertingkatkan.

Daripada 46 kematian akibat nahas di tempat kerja tahun lalu, lebih 10 peratus melibatkan kren.

Malah, dua daripadanya berlaku pada Disember lalu.

Lori yang dipasang kren selalunya digunakan untuk mengangkut bahan binaan seperti simen.

Namun kemalangan selalu berlaku apabila muatannya terlalu berat atau ia berada atas tanah tidak rata lalu menyebabkan kenderaan itu terbalik.

Sistem kawalan keselamatan boleh membantu dengan memastikan muatannya tidak melebihi had dan kawasan tanah itu rata sebelum kren digunakan.

Apabila muatannya berlebihan atau tanah tidak rata, satu isyarat merah akan bernyala dan semua operasi dihentikan serta merta.

Namun, sistem itu agak mahal dengan harga purata S$8500.

Maka itu, untuk menggalak penggunaannya, MOM akan membiayai bersama kos memasangnya.

Ini dilakukan melalui geran S$4 juta yang mana Pemerintah akan menyerap 70 peratus kos yang layak.

Bercakap di simposium tahunan mengenai keselataman kren pada Isnin(16 Jan), Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad menggesa syarikat-syarikat agar memanfaatkan dana itu.

"Teknologi, secara konsisten, ternyata berfaedah dalam meningkatkan hasil WSH, dengan mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia dan membolehkan  pekerja mengendalikan mesin dengan cara selamat. 

"Syarikat-syarikat harus menggunakan teknologi dan inovasi dan menyerapnya ke dalam tugas mereka," kata Encik Zaqy.

Menurut firma-firma binaan, geran itu akan meringankan kos bagi mereka menggunakan teknologi itu terutama di tengah-tengah permintaan binaan yang meningkat.

MOM juga sedang menimbangkan untuk melanjutkan Tempoh Keselamatan Dipertingkatkan lagi enam bulan selepas Februari.

Ia diperkenalkan tahun lalu selepas jumlah kematian di tempat kerja meningkat.

Sumber : CNA/KJ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan