Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah sedia sokongan menyeluruh bagi pembangunan budaya seni Melayu dalam dan luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah menyediakan sokongan yang menyeluruh dalam pembangunan kumpulan-kumpulan dan penggiat seni Melayu.

Ini bagi membolehkan mereka untuk terus mencipta dan menyumbang kepada landskap budaya dan seni Melayu yang cemerlang.

Beberapa contoh diberikan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong dalam jawapan bertulisnya kepada soalan parlimen yang diajukan Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman.

Encik Fahmi yang juga pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura bertanya kepada Encik Tong apakah inisiatif untuk penggiat seni Melayu pamerkan hasil kreatif mereka di sini dan persada dunia.

"Terdapat pelbagai platform untuk penggiat seni Melayu dan kumpulan seni untuk pamerkan kerja-kerja mereka kepada audiens yang luas di peringkat antarabangsa, negara dan masyarakat. Di peringkat dunia, acara tahunan Esplanade, Pesta Raya tawarkan peluang bagi artis Melayu Singapura untuk raikan dan pamerkan hasil kerja mereka kepada audiens dalam dan luar negara serta bekerjasama dengan rakan kerja serantau," kata Encik Tong.

Antara contoh yang diberikannya ialah pementasan 'Bawang Putih Bawang Merah' oleh Teater Ekamatra yang menampilkan artis Singapura dan Malaysia.

Ada juga usaha lain kata Encik Tong untuk pamerkan hasil kerja seni artis Melayu tempatan seperti Perarakan Chingay dan program oleh Wisma Geylang Serai serta Persatuan Rakyat.

"Warisan dan seni Melayu merupakan bahagian utama budaya Melayu dan penting bagi identiti kebangsaan kita sebagai rakyat Singapura," kata Encik Tong.

PENDANAAN & SUMBER UNTUK SOKONG SENI MELAYU DI SG

Encik Fahmi juga mengajukan soalan tentang pendanaan dan sumber sedia ada yang diperuntukkan untuk sokongan seni budaya Melayu di negara ini.

Encik Tong menjelas bahawa terdapat beberapa pendanaan bagi tujuan tersebut dan antaranya ialah geran-geran yang ditawarkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Selain itu, terdapat anugerah juga yang diberikan seperti Pingat Budaya dan Anugerah Artis Muda yang memberikan para penerima akses kepada geran tertentu untuk bangunkan lagi pengetahuan dan keupayaan mereka dalam bidang seni.

Antara artis Melayu yang sudah menerimanya termasuk Rahimah Rahim dan Norhaizad Adam.

"Untuk sokong pembangunan keupayaan artis-artis muda, NAC tawarkan kerjasama dengan institusi dalam dan luar negara bagi peluang pementoran dan Biasiswa Seni NAC untuk lanjutkan pelajaran. Ia sudah diberikan kepada ramai artis Melayu seperti Nurul Shaza Binte Ishak, Muhammad Noramin Mohamed Farid dan ramai lagi," jelas Encik Tong.

Lagi satu soalan yang dibangkitkan Encik Fahmi adalah bagaimana MCCY menggalak pendidikan budaya dan mendampingi penggiat seni Melayu.

Encik Tong memberi contoh Bulan Bahasa yang menggalak masyarakat Melayu mendakapi bahasa ibunda mereka dan memperdalam penghargaan terhadap budaya dan seni Melayu.

Kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa tahun ini akan berlangsung antara 17 Ogos hingga 13 Oktober 2024.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan