Pemerintah rancang gubal undang-undang; usaha beri kuasa rasmi kepada persatuan sesebuah kawasan seperti KGA
Ini bagi memberi persatuan atau perikatan sesebuah kawasan seperti Kampong Gelam Alliance kuasa rasmi untuk menyelaraskan sebarang kerja-kerja peningkatan untuk memelihara warisan dan budaya di kawasan itu.
Demikian didedahkan Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat dalam upapannya di acara pelancaran Gemilang Kampong Gelam pada Jumaat (13 Feb).
Encik Chee berkata: "Kami ingin terus memperkasa KGA dan persatuan kawasan lain untuk menerajui usaha menguruskan tempat (placemaking) di kawasan bersejarah mereka. Matlamatnya mudah - untuk memperkukuh warisan dan budaya, menarik pengunjung serta memastikan daerah-daerah ini kekal meriah dan berkembang maju."
"Kami kini sedang mengusahakan rancangan untuk menggubal perundangan bagi Daerah Peningkatan Perniagaan (BID) menjelang 2027 bagi memberi persatuan kawasan kuasa rasmi untuk menyelaras penambahbaikan, pengindahan tempat,” tambahnya.
Encik Chee juga menggalak Kampong Gelam Alliance untuk membentuk BID itu bagi kawasan ini apabila rangka kerja itu siap kelak.
Ini di tengah-tengah Kampong Gelam menjadi tumpuan ramai dengan isu kes kadar sewa tinggi, penutupan perniagaan warisan dan lambakan kedai-kedai cenderahati di kawasan itu.
ACARA PELANCARAN GEMILANG KAMPONG GELAM
Di acara pelancarannya pada Jumaat (13 Feb), para pengunjung berpeluang menikmati persembahan kompang dan silat di samping tarian Melayu dan persembahan oleh artis tempatan ALYPH.
Di bazar pula, suasananya tidak kurang meriah walaupun baru memasuki hari ketiga sejak 11 Februari 2026.
BARU 3 HARI - BAZAR GEMILANG KAMPONG GELAM MERIAH
"Bagi saya, suasananya lebih meriah kerana sekarang bazar lebih mengikut trend dan semuanya kelihatan moden. Jadi bagi saya, suasana di bazar lebih 'vibe'," kongsi salah seorang pengunjung, Nabilah Firdaus.
"Berbandingkan dengan tahun yang lepas, tempat duduk di sini lebih luas kerana cara mereka menyusun gerai-gerai," kongsi seorang lagi pengunjung, Abdul Afif.
Selain itu, jumlah gerai di bazar tahun ini dikurangkan untuk beri keselesaan buat pengunjung.
Bazar Kampong Gelam kali ini merangkumi kawasan Muscat Street, Kandahar Street serta Sultan Gate Park.
Dengan ketiadaan bazar di Baghdad Street bagi memberi laluan kepada lebih banyak ruang meletak kereta, bazar tahun ini kelihatan lebih tersusun
dan selesa untuk pengunjung.
Malah, saiz setiap gerai yang disediakan juga lebih besar.
SUSUNAN LEBIH TERATUR, SAIZ GERAI LEBIH BESAR TINGKAT PENGALAMAN PENGUNJUNG, KAKITANGAN
Para pegerai yang ditemui berkongsi pengalaman mereka bersama wartawan Nazirah Jamzuri.
Ini termasuk Tigafolks & Co yang menyertai bazar di Kampong Gelam buat julung-julung kalinya.
Cef Eksekutif dan pemiliknya, Faris Khaled berkongsi: "Kita berada di belakang tabir di bahagian katering di syarikat kita. Jadi kita rasa kita amat menyepi selama lima tahun. Kita mahu membawa Tigafolks ini kembali kepada masyarakat."
"Alhamdulillah, semalam ada sambutan yang kuat, meriah juga tetapi masalahnya semalam kita juga habis terjual. Alhamdulillah, kita pun tidak menyangka hari ini. Alhamdulillah pada hari ini, saya dimaklumkan pelanggan ramai juga."
"Susunan tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya ketika Baghdad Street masih beroperasi. Semua gerai F&B disusun dan diagihkan dengan lebih sekata dan teratur di sini. Kawasannya juga lebih besar berbanding beberapa tahun lalu ketika saya berada ke sini," ujar Pemilknya, Shakir Zufayri.
Bazar Gemilang Kampong Gelam akan dibuka hingga 15 Mac ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.