Pemerintah peruntuk S$900 juta bagi SPH Media Trust dalam tempoh 5 tahun akan datang
SINGAPURA: Pemerintah akan memperuntukkan dana sehingga S$900 juta untuk menyokong SPH Media Trust (SMT) dalam tempoh lima tahun mendatang.
Demikian menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo hari ini (15 Feb).
Bercakap di Parlimen, Cik Teo berkata dana sehingga S$180 juta setahun untuk lima tahun akan datang dapat membantunya membuat "pelaburan-pelaburan penting yang membawanya secara muktamad ke era digital".
“Ini akan memberikan SMT lebih banyak modal untuk melabur pada masa hadapan sambil memastikan ia dapat mengekalkan operasi semasa mereka dalam tempoh peralihan kritikal ini,” kata Cik Teo.
SMT, yang dikeluarkan daripada Singapore Press Holdings (SPH) tahun lalu untuk menjadi entiti bukan untuk untung, berada pada "titik perubahan" di tengah-tengah "kemerosotan mendadak" media cetak dan penghijrahan ke ruang digital, kata beliau.
Walaupun hala tuju yang dilakar SMT "menjanjikan", pelaburan yang besar diperlukan dan ia mungkin akan merugikan dalam tempoh peralihan, katanya.
Cik Teo juga berkata bahawa sebelum menyusunan semula strukturnya, SPH sudah melabur hampir S$50 juta setiap tahun dalam pelaburan teknologi dan bakat digital.
"Ini sudah membuahkan sedikit kejayaan, tetapi daripada jenis pelaburan yang kita lihat di tempat lain jelas mereka perlu melakukan lebih banyak lagi untuk mempercepat transformasi bilik berita," katanya.
Pemerintah "bersedia untuk memberikan sokongan" di sebalik transformasi SMT, katanya, sambil menambah bahawa dana pemerintah sedemikian adalah perkara biasa di banyak negara, termasuk Perancis, Norway dan Sweden.
PERKARA YANG SMT PERLU BUAT
Cik Teo berkata peralihan digital SMT akan menjadi kunci untuk mengembangkan jangkauannya dan lebih banyak lagi mesti dilakukan dari segi pengalaman pengguna, teknologi bilik berita dan perubahan berterusan dalam bentuk kandungan.
"Di belakang tabir, prasarana perlu cukup teguh untuk menyokong peralihan digital," katanya.
"Dengan kenaikan jumlah penonton digital, SMT juga perlu memastikan daya tahan dan kebolehpercayaan dalam penyediaan beritanya."
Dari segi pembangunan bakat, Akademi Media SPH yang baru akan mengemas kini program latihan bilik berita, bekerjasama dengan institusi terkenal dan menawarkan program serta biasiswa kepada wartawan tempatan, antara inisiatif lain.
Media berita vernakular juga akan dikekalkan dan dibangunkan, katanya.
BAGAIMANA SMT AKAN GUNAKAN WANG?
Pada tahun-tahun awalnya, SMT dijangka membelanjakan kira-kira 40 peratus daripada dana itu untuk pelaburan teknologi dan bakat digital, tambah Cik Teo.
"Bakinya akan dibelanjakan untuk membangunkan keupayaan dan latihan bilik berita, khususnya bilik berita vernakular," tambahnya.
Dengan "jumlah dana awam yang begitu besar", beliau berkata Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) akan memantau dengan teliti prestasi SMT melalui petunjuk prestasi utama (KPI).
Ini termasuk jumlah capaian dan pendampingan produk SMT, khususnya bagi platform digitalnya, serta penunjuk khusus capaian bagi kumpulan vernakular dan belia.
SMT perlu menyediakan kemas kini kemajuan kepada MCI setiap setengah tahun.
"Ini membolehkan MCI menjejaki kemajuan mereka dan untuk Pemerintah membantu mencapai hasil yang diinginkan apabila perlu. Kami juga akan menyemak kuantum dana selepas lima tahun pertama berdasarkan kemajuan yang dicapai oleh SMT," kata Cik Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.