Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah peruntuk S$9 bilion selama 5 tahun hulur lebih banyak bantuan bagi pekerja bergaji rendah

Pemerintah akan membelanjakan S$9 bilion sepanjang lima tahun akan datang untuk memperkasa dan membantu golongan pekerja bergaji rendah. Demikian diumumkan Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawan beliau pada Jumaat (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2022 07:21PM Dikemas Kini : 19 Feb 2022 12:11AM

SINGAPURA: Pemerintah akan membelanjakan S$9 bilion sepanjang lima tahun akan datang untuk memperkasa dan membantu golongan pekerja bergaji rendah. Demikian diumumkan Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawan beliau pada Jumaat (18 Feb).

Perbelanjaan itu akan digunakan untuk meningkatkan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja dan Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) yang baru untuk menyediakan sokongan peralihan kepada perniagaan sedang ia beralih ke arah gaji progresif.

Berucap semasa membentangkan Belanjawan 2022 di Parlimen, Encik Wong berkata Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja yang dilanjutkan itu akan memberi manfaat kepada lebih 500,000 pekerja.

Skim itu menyasarkan pekerja Singapura yang memperolehi pendapatan 20 peratus paling bawah. Ia dibayar dalam bentuk tokokan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan wang tunai untuk menambah pendapatan pekerja.

Mulai tahun depan, had kelayakan pendapatan untuk skim itu akan dinaikkan dari S$2,300 kepada S$2,500 sebulan. Ia juga akan dilanjutkan kepada pekerja lebih muda berusia 30 hingga 34 tahun, yang akan menerima bayaran tahunan sehingga S$2,100.

Ini akan membolehkan mereka untuk mula menabung untuk perumahan dan persaraan lebih awal dalam tempoh kerjaya mereka, jelas Encik Wong.

Bayaran di bawah skim itu juga akan dinaikkan. Pekerja berusia 35 hingga 44 tahun akan menerima bayaran tahunan maksimum sebanyak S$3,000 manakala mereka yang berumur 45 hingga 59 tahun pula akan mendapat bayaran tahunan sehingga S$3,600.

Mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas akan menerima jumlah bayaran maksimum tertinggi sebanyak S$4,200 setiap tahun. Peringkat bayaran maksimum ini juga akan dilanjutkan kepada semua individu kurang upaya tanpa mengambil kira usia mereka.

Kriteria pendapatan minimum sebanyak S$500 sebulan akan diperkenalkan untuk menggalak pekerja sambilan dan pekerja sementara untuk mengambil pekerjaan tetap sepenuh masa, tambah Encik Wong.

PEMERINTAH BIAYA BERSAMA KENAIKAN GAJI

Encik Wong juga menekankan Pemerintah sudah menerima dan akan melaksanakan saranan-saranan Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak mengenai Pekerja Berpendapatan Rendah.

Seperti diumumkan sebelum ini, Model Gaji Progresif akan dilanjutkan kepada pelbagai sektor seperti runcit, khidmat makanan dan pengurusan sisa pada tahun-tahun mendatang, kata Encik Wong.

Langkah-langkah lain termasuk mensyaratkan syarikat yang menggajikan pekerja hijrahan untuk membayar semua pekerja tempatan sekurang-kurangnya Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan, yang buat masa ini ditetapkan pada S$1,400 sebulan.

Satu Tanda Gaji Progresif juga akan dilancarkan untuk mentauliahkan firma-firma yang membayar gaji progresif serta Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan.

“Kita semua - perniagaan, pengguna serta pembayar cukai - perlu memainkan peranan dan menyumbang untuk memperkasa pekerja berpendapatan rendah kita," ungkap Encik Wong.

Bagaimanapun, beliau akur syarikat akan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ini, yang diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu.

Skim Kredit Gaji Progresif akan menyediakan "sokongan peralihan" untuk perniagaan sedang ia membuat penyesuaian, kata beliau.

Di bawah skim itu, Pemerintah akan membiaya bersama kenaikan gaji pekerja berpendapatan rendah antara tahun 2022 hingga 2026.

Untuk pekerja yang meraih pendapatan sehingga S$2,500, kadar pembiayaan bersama adalah 50 peratus untuk dua tahun pertama, 30 peratus bagi dua tahun selanjutnya, sebelum dikurangkan kepada 15 peratus pada 2026.

Terdapat juga beberapa sokongan untuk pekerja yang memperolehi pendapatan lebih S$2,500 hingga S$3,000, pada nisbah pembiayaan bersama yang lebih rendah.

Dana Skim Kredit Gaji Progresif akan ditubuhkan pada tahun ini, bermula dengan suntikan berjumlah S$2 bilion. Ini akan menyediakan pembiayaan tetap bagi kenaikan gaji sepanjang lima tahun seterusnya, terang Encik Wong.

“Langkah kami berhubung gaji progresif akan meliputi sekitar 94 peratus pekerja berpendapatan rendah sepenuh masa kita. Daya Kerja dipertingkat akan menyediakan sokongan lanjut kepada semua pekerja berpendapatan rendah Singapura yang layak."

Dengan langkah-langkah ini, pendapatan pekerja bergaji rendah dijangka tumbuh dengan lebih pantas berbanding pertumbuhan gaji median sepanjang dekad seterusnya, ujar Encik Wong.

“Maka itu, apabila ekonomi kita tumbuh dan masyarakat terus maju, kita akan mengurangkan jurang pendapatan dalam tenaga kerja kita."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan