Pemerintah pertimbang 'tindakan lebih tegas' terhadap pemilik, peruncit AMD tidak penuhi piawaian
Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming bercakap kepada media di luar Program Plus Responder (RRP) di Kelab Masyarakat Joo Chiat pada 30 Ogos 2025. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Dengan peningkatan kes kebakaran di premis kediaman sejak kebelakangan ini, pemerintah sedang menimbangkan "tindakan lebih tegas" terhadap pemilik dan peruncit alat mobiliti aktif (AMD) yang tidak mematuhi piawaian, serta langkah-langkah untuk meningkatkan perlindungan keselamatan kebakaran, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Goh Pei Ming pada Sabtu (30 Ogos).
Namun begitu, beliau berkata bahawa adalah "masih terlalu awal" untuk mengulas lanjut, memandangkan agensi-agensi yang terlibat masih dalam proses meneliti perkara tersebut.
Penemuan awal oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mendapati terdapat dua punca utama kebakaran kediaman - daripada bateri AMD dan daripada kerosakan elektrik.
"Lebih banyak lagi yang boleh dilakukan bagi isu ini," kata Encik Goh, sambil menambah bahawa pemerintah sudah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan kebakaran.
"Sejak 2018, sebagai contoh, semua flat yang baru dibina serta flat HDB sedia ada yang menjalani kerja Tambahan dan Ubah Suai diwajibkan memasang alat penggera kebakaran rumah," katanya.
Majlis perbandaran dan SCDF juga bekerjasama rapat untuk menghapuskan bahan berbahaya dari koridor, ruang awam serta bahaya kebakaran.
Beliau menambah bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mewajibkan basikal yang menggunakan kuasa dan alat mobiliti peribadi (PMD) untuk didaftarkan dan menjalani pemeriksaan keselamatan.
SCDF juga memasang alat pemadam api bersebelahan dengan alat defibrilator luaran automatik (AED) di kawasan HDB supaya orang awam boleh bertindak pantas terhadap kebakaran.
"Setakat sehingga Julai tahun ini, lebih 90 peratus lokasi yang memerlukan pemasangan sedemikian sudah pun mempunyai alat pemadam api yang dipasang," kata Encik Goh.
Encik Goh juga menjawab soalan mengenai kemungkinan pemeriksaan tambahan ke atas paip air kering (dry riser) selepas paip air kering yang rosak di sebuah blok di Toa Payoh menyebabkan anggota bomba terpaksa mengangkut hos sehingga 10 tingkat ke unit yang terlibat.
Paip air kering ialah paip merah menegak yang dipasang dalam bangunan.
Semasa kebakaran, paip ini akan diisi air dari kereta bomba untuk memudahkan operasi pemadaman api di tingkat atas.
"Bagi kes ini, saya fikir ia perlu diperiksa oleh majlis perbandaran dan SCDF. Setakat yang saya tahu, paip air kering itu telah diperiksa dan semuanya berfungsi buat masa ini," kata Encik Goh.
Beliau menambah bahawa data akan dikumpulkan daripada pemeriksaan tahunan tersebut.
"Jika data menunjukkan perlunya lebih banyak pemeriksaan dijalankan, kita akan pertimbangkan pilihan itu.
"Tetapi buat masa ini, data tidak menunjukkan keperluan untuk berbuat demikian," katanya.
Encik Goh bercakap kepada media di luar Program Plus Responder (RRP) di Balai Rakyat Joo Chiat.
RRP ialah program latihan kesiapsiagaan kecemasan oleh SCDF, yang mengajar kemahiran menyelamatkan nyawa seperti memadam kebakaran dan pertolongan cemas.
Kenyataan beliau dibuat ketika berlaku peningkatan kes kebakaran di flat HDB sejak kebelakangan ini.
Mediacorp melaporkan sembilan kes kebakaran di flat HDB tahun ini.
Dalam kejadian terbaharu, tiga orang dibawa ke hospital dan 50 yang lain dipindahkan selepas kebakaran berlaku di sebuah flat di Toa Payoh pada 22 Ogos.
SCDF menyatakan penemuan awal menunjukkan kebakaran melibatkan alat bantuan mobiliti peribadi di ruang tamu flat tersebut.
Statistik tahunan SCDF menunjukkan bahawa jumlah kebakaran melibatkan AMD meningkat sebanyak 21.8 peratus pada 2024, daripada 55 pada 2023 kepada 67 tahun lalu.
Secara keseluruhan, SCDF memberi respons kepada 1,990 kebakaran pada 2024, naik 1.8 peratus berbanding 2023.
Kebakaran akibat punca elektrik dan memasak tanpa pengawasan merupakan punca paling biasa di rumah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.