Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah pertimbang tahan pesalah seksual serius 5 hingga 20 tahun sehingga dinilai tidak lagi jadi ancaman kepada masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Apr 2022 02:26PM Dikemas Kini : 05 Apr 2022 09:21PM

SINGAPURA: Kementerian Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri sedang meneliti saranan untuk menahan pesalah berbahaya sehingga mereka dinilai "tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang ramai". Buat masa mini, penjenayah sedemikian dibebaskan secara automatik selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Di bawah saranan itu, pesalah kali pertama dan pesalah berulang yang didapati bersalah melakukan jenayah seksual dan kecederaan serius harus menjalani tempoh hukuman penjara sekurang-kurangnya lima hingga 20 tahun dan kemudian dinilai pihak berkuasa sama ada mereka layak dibebaskan.

Jika didapati tidak layak, mereka akan kekal ditahan.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, K Shanmugam mengumumkan demikian di Parlimen pada Selasa (5 Apr). Beliau menyifatkan pendekatan baru itu sebagai langkah lebih baik untuk melindungi orang ramai daripada pesalah berbahaya.

Encik Shanmugan menjawab soalan daripada Cik Joan Pereira, Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar yang ingin tahu langkah-langkah yang diambil untuk melindungi orang awam terutama sekali kanak-kanak dan wanita daripada pesalah seksual bentan.

Pilihan hukuman baru itu kata Encik Shanmugam adalah satu "perubahan besar dalam rejim hukuman Singapura kerana buat masa ini, mahkamah menjatuhkan hukuman dan pesalah akan dibebaskan jika mereka sudah tamat menjalani tempoh hukuman."

"United Kingdom sudah cuba pendekatan ini, dan hasilnya bercampur-campur, tetapi saya percaya kita boleh membuatnya berjaya."

Dalam kes serius seperti kanak-kanak dirogol atau kes rogol dan kemudian dibunuh, yang mana mana pesalah tidak dijatuhi hukuman mati, hakim hanya boleh mengenakan hukuman yang lebih berat tanpa jaminan bahawa pesalah itu tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang ramai selepas hukuman itu tamat, kata Encik Shanmugam.

“Sudah berlaku di seluruh dunia di mana sehari selepas orang itu dibebaskan, dia keluar dan melakukan satu lagi kesalahan serius. Kita tidak mempunyai banyak kes sedemikian tetapi ada satu atau dua kes di Singapura juga,” katanya. "Jadi kita hanya boleh menilai beberapa kes ini pada saat dia dilepaskan."

Buat masa ini, undang-undang membenarkan hakim menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pesalah bentan di bawah latihan pemulihan atau rejim tahanan pencegahan.

Tempoh latihan pemulihan itu adalah antara lima hingga 14 tahun manakala hukuman tahanan pencegahan pula dari tujuh hingga 20 tahun.

Pesalah bentan juga menjalani program pemulihan lebih lama dan diletakkan di bawah penyeliaan.

Kementerian Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung syor bagi rejim penahanan baru untuk pesalah berbahaya pada Julai 2021. Encik Shanmugan berkata kedua-dua kementerian sedang meneliti maklum balas yang diterima.

Beliau menambah bahawa agensi seperti Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bekerjasama rapat dengan polis meneliti bakal pekerja yang memohon kerja di sektor pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak seperti di prasekolah berlesen atau sekolah.

Namun masih belum jelas sama ada semua kakitangan yang bekerja di tempat-tempat sedemikian disedik dahulu, tambah Encik Shanmugam.

Tambahnya, beliau meminta Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mengukuhkan rangka kerja penilaian sambil memastikan bekas pesalah diberikan peluang kedua dalam kehidupan.

Cik Pereira juga bertanya jika MHA ingin mempertimbangkan cadangan bagi kaunseling seumur hidup dan pemantauan ke atas pesalah seksual bentan.

Encik Shanmugan berkata pihak kementerian akan merujukkan saranan itu kepada agensi yang relevan sambil menambah bahawa pada masa ini pesalah seksual serius boleh diletakkan di bawah skim penjagaan wajib selepas dibebaskan dari penjara.

Ia menyediakan sokongan masyarakat yang lebih baik, kaunseling dan pengurusan kes dengan pengawasan ketat sehingga dua tahun bagi banduan yang dibebaskan dan berisiko lebih tinggi untuk melakukan kesalahan semula atau memerlukan lebih banyak sokongan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Perkhidmatan Penjara Singapura juga bekerjasama rapat dengan keluarga bekas pesalah dan rakan kongsi masyarakat untuk membantu banduan selepas mereka dibebaskan, tambah beliau.

Ketua Pembangkang Pritam Singh bertanya jika banduan yang dipenjarakan bagi jenayah seksual serius di bawah peraturan sekarang dinilai dari segi keupayaan mereka untuk kembali ke dalam masyarakat.

Encik Shanmugam menjelaskan bahawa pegawai penjara masih melakukan penilaian sedemikian untuk mengetahui jenis intervensi yang diperlukan. Ini termasuk latihan pekerjaan, pendidikan dan lain bentuk pemulihan, kata Encik Shanmugam. 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan