Pemerintah perlu tangani kebimbangan pekerjaan di tengah pelaburan, keterujaan global terhadap AI: PM Wong
JOHANNESBURG: Di tengah-tengah keterujaan global mengenai potensi kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan yang mengalir ke prasarana berkaitan, pemerintah-pemerintah mesti menangani kebimbangan yang sah mengenai pekerjaan dan mata pencarian, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (23 Nov).
Beliau berucap semasa sesi hari kedua Sidang Puncak G20, tentang mewujudkan masa depan yang adil dan saksama untuk semua.
Encik Wong menarik perhatian kepada "potensi luar biasa" AI untuk memperbaiki dan mengubah kehidupan, dan menambah bahawa dunia masih berada di peringkat awal perjalanan AI ini.
Adalah perkara biasa untuk melihat keterujaan dan "keghairahan" mengenai AI, dan ini, katanya, dilihat dalam pelaburan besar-besaran yang mengalir ke prasarana seperti pusat data.
"Namun sebagai pemerintah, kita harus berpandangan jelas dan melihat melangkaui keterujaan ini," katanya kepada para pemimpin dunia.
"Tugas kita ialah untuk memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan memanfaatkan potensi sebenar dan jangka panjang AI untuk membina pemerintah yang lebih cekap dan responsif, serta meningkatkan daya penghasilan di setiap sektor ekonomi."
Encik Wong berkata Singapura sudah secara sistematik memanfaatkan AI dalam sektor awamnya untuk memperkemas proses, memperkukuh penyampaian khidmat dan membolehkan pegawai memberi tumpuan kepada kerja yang bernilai lebih tinggi.
PERNIAGAAN DAN MATA PENCARIAN
Perniagaan juga sudah mula memanfaatkan aplikasi-aplikasi AI, kata Encik Wong.
"Bagi perusahaan yang lebih kecil, ia mungkin senang seperti mengakses sofwe dan alat yang dikuasakan AI. Bagi syarikat yang lebih besar, ia akan bermakna menggunakan model canggih AI, atau bahkan membangunkan model dalaman untuk mereka bentuk semula proses kerja secara asas, dan meningkatkan huraian baharu," katanya.
Singapura juga sedang membina medan uji (sandbox) kawal selia dan tempat ujian untuk membolehkan syarikat bereksperimen dengan selamat, mencuba idea baharu dan membawa huraian AI terkini ke pasaran dengan lebih pantas, kongsi Encik Wong.
Di tengah-tengah inovasi itu, satu cabaran utama bagi mana-mana pemerintah ialah untuk menangani kebimbangan sah mengenai pekerjaan dan mata pencarian, dan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan dunia AI, katanya.
"Dalam kes Singapura, kami bekerja rapat dan secara proaktif dengan majikan dan kesatuan sekerja untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja serta memudahkan peralihan, jika perlu, ke pekerjaan baharu dan lebih baik," kata Encik Wong.
Memetik pelabuhan Singapura sebagai contoh, beliau berkata bahawa usaha automasi membolehkan pengendali kren mengawal kren dari jarak jauh dari bilik berhawa dingin, bukannya bekerja dalam keadaan luar yang sukar.
"Mereka meraih daya penghasilan yang lebih tinggi dan gaji yang lebih baik," katanya.
Encik Wong menambah bahawa terdapat banyak industri lain di mana cabaran serupa perlu ditangani, dan negara-negara boleh belajar antara satu sama lain.
Encik Wong memuji India, Brazil dan Afrika Selatan kerana memimpin usaha G20 untuk mengkaji bagaimana pemerintah boleh menggalakkan pekerjaan yang baik melalui AI, menyifatkannya sebagai "kunci kepada masa depan yang adil dan saksama untuk semua".
PERANAN PENTING BAGI G20
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata bahawa G20 boleh memainkan peranan penting dalam menyelaraskan usaha untuk menjadikan AI "pemangkin bagi pertumbuhan global dan pekerjaan yang baik untuk rakyat kita", sambil menambah bahawa Singapura berharap dapat bekerja rapat dengan blok tersebut untuk mencapai matlamat itu.
Awal dari itu, Encik Wong mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin, termasuk Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Beliau kemudian akan bertolak pada Ahad (23 Nov) ke Addis Ababa, iaitu destinasi seterusnya dalam perjalanan Afrikanya.
Singapura dan Habsyah mempunyai hubungan muhibah dan akrab, dengan aliran perdagangan yang sihat antara kedua-dua pihak.
Tahun lalu, Habsyah adalah rakan dagang ke-8 terbesar Singapura di Afrika Sub-Sahara, dengan perdagangan dua hala dalam barangan bernilai S$275 juta.
Firma-firma Singapura juga sudah menubuhkan kehadiran di Habsyah, dalam sektor seperti pengilangan, pembangunan prasarana dan perundingan, perniagaan pertanian dan pengedaran barangan pengguna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.