Skip to main content

Singapura

Pemerintah perhebat usaha bantu bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat

Rumah Tumpangan Selarang merupakan rumah tumpangan terbesar di Singapura dan satu-satunya yang menerima penghuni lelaki dan wanita.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Jan 2019 09:36PM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 11:51PM

SINGAPURA: Rumah Tumpangan Selarang merupakan rumah tumpangan terbesar di Singapura dan satu-satunya yang menerima penghuni lelaki dan wanita.

Rumah tumpangan itu boleh memuatkan 570 bekas pesalah dan Pemerintah melihatnya sebagai sebahagian daripada usaha membantu bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat.

Kemudahan tersebut merupakan yang pertama dikendalikan Pemerintah.

Penghuninya terdiri daripada mereka yang berada di bawah inisiatif jagaan susulan bersama Khidmat Penjara Singapura - dengan memberi tumpuan kepada mereka yang mempunyai peluang lebih tinggi untuk melakukan kesalahan berulang.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk mengintegrasikan mereka kembali kepada masyarakat menerusi cara praktikal seperti mencari pekerjaan.

Rumah Tumpangan Selarang hanya menerima mereka yang sudah menamatkan tempoh penjara, tidak seperti lapan rumah tumpangan lain yang bekerjasama dengan pihak penjara.

Ia merupakan sebahagian daripada Kompleks Selarang Park yang dijangka dibuka pada 2020. Ia turut akan menempatkan Pusat Pemulihan Dadah, serta kemudahan lain yang menyokong program-program kemasyarakatan bagi pesalah.

Inisiatif lain termasuk sesi kaunseling menerusi panggilan video dan aplikasi telefon dengan pangkalan data pekerjaan. Pegawai pemudah cara akan membimbing pesalah tentang cara-cara untuk menguruskan hubungan dengan keluarga yang menjadi tegang setelah di penjara.

Semasa melakukan lawatan ke Rumah Tumpangan Selarang, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, berkata Pemerintah mahu sesi kaunseling bagi keluarga dijadikan satu keperluan wajib.

"Mungkin beberapa perasaan tidak puas hati akan berlaku, namun kami rasa ia merupakan sesuatu yang penting kerana ia merupakan tanggungjawab menyeluruh.

"Ia bukan sahaja tanggungjawab masyarakat, namun ia juga merupakan tanggungjawab Penjara. Keluarga juga perlu menjalankan tanggungjawab," kata beliau.

Butiran lanjut mengenai langkah baru itu akan diumumkan di Parlimen nanti. 

Sumber : CNA/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita