Pemerintah pergiat langkah bangunkan SG jadi hab kedermawanan serantau
SINGAPURA: Pemerintah menggiatkan langkah untuk menjadikan Singapura sebuah hab kedermawanan serantau.
Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal (COC) sedang menyemak garis panduan yang mengawal selia pelbagai yayasan, syarikat dan agensi yang membiayai kerja-kerja amal.
Ini bertujuan untuk menarik lebih ramai penderma tempatan dan antarabangsa.
Sebagai permulaan, tiada jumlah minimum bagi dana yang boleh diperuntukkan sesebuah pertubuhan untuk kerja amal di Singapura.
Mereka juga diberi kebebasan untuk berbelanja bagi aktiviti seperti majlis anugerah.
Pertubuhan juga boleh memilih untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada penerima manfaat.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong mengumumkan perubahan tersebut semasa persidangan tadbir urus amal pada Selasa (21 Nov).
Beliau turut melancarkan kit yang dipertingkat bagi membantu badan-badan amal menangani risiko, seperti ketidaktentuan ekonomi.
Encik Tong berkata kemas kini sedemikian sejajar dengan langkah pemerintah meningkatkan pengurusan berkait pendedahan maklumat oleh badan-badan amal berdaftar.
"Rejim baru ini, seperti anda tahu, ingin mencapai keseimbangan di antara keperluan kepada ketelusan dan sikap bertanggungjawab, dengan keperluan bagi mengurangkan beban pentadbiran badan-badan amal.
"Masih terdapat langkah perlindungan bagi membantu orang awam membuat keputusan bijak mengenai derma mereka," ujar Encik Tong.
Encik Tong menambah: "Badan amal sendiri digalak untuk menerapkan proses dan kawalan dalaman yang secukupnya untuk memastikan pematuhan kepada rejim pendedahan semasa menjalankan rayuan mengumpul dana daripada orang awam."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.