Pemerintah, pembangkang perlu berkhidmat untuk S'pura, bukan demi kepentingan parti, tegas PM Lee
Demi memelihara landskap politik Singapura, kedua-dua pihak Pemerintah dan pembangkang perlu berkongsi "objektif utama" untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Singapura, dan bukan setakat untuk parti politik mahupun penyokong masing-masing, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (2 Sep).
SINGAPURA: Demi memelihara landskap politik Singapura, kedua-dua pihak Pemerintah dan pembangkang perlu berkongsi "objektif utama" untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Singapura, dan bukan setakat untuk parti politik mahupun penyokong masing-masing, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (2 Sep).
Bagi Pemerintah, ia akan mengambil pendekatan terbuka dan membina dalam membincangkan dasar-dasar dan isu-isu negara. Ini di samping mendengar pelbagai suara dan perspektif, tambah PM Lee.
"Kami juga akan memastikan perbincangan disokong dengan fakta dan logik, berdasarkan konteks dan pengalaman," kata PM Lee dalam ucapan sulungnya di Parlimen setelah pelantikan semula Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Julai.
Ucapan PM Lee menggantikan Rapat Umum Hari Kebangsaan yang secara tradisinya diadakan setiap tahun. Rapat tahunan yang membentangkan agenda-agenda Pemerintah itu, tidak diadakan tahun ini disebabkan oleh sekatan-sekatan COVID-19.
Semasa berucap selama 90 minit di dalam Dewan, yang disusuli dengan perbahasan dengan Ketua Pembangkang dan para Anggota Parlimen lain, PM Lee turut menyentuh tentang memperkukuh jaringan sosial dan semakan dasar-dasar pekerja asing.
Beliau juga memberi penilaian mengenai respons Singapura dalam menangani pandemik COVID-19. Singapura, kata beliau, sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan keadaan stabil tetapi ia perlu belajar dari kesilapan dan melakukan lebih baik lagi selepas ini.
MENCAPAI KESEPAKATAN POLITIK
Sama ada Singapura berjaya mencari jalan keluar bagi isu-isu yang membelenggunya, bergantung kepada keberkesanan politiknya, kata PM Lee.
"Singapura sudah mencapai kesepakatan politik yang tinggi dalam banyak isu-isu sosial dan ekonomi," jelas beliau. "Ini pendorong utama dalam kemajuan pesat kita, dan salah satu kebaikan utama pemerintahan PAP."
Beliau bagaimanapun akur, setiap generasi baru Singapura menginginkan "lebih banyak kepelbagaian, suara-suara alternatif, dan semakan dan imbangan," katanya sambil menambah, PAP akan memberikan respons kepada trend-trend sosial dan politik ini.
"Kami tidak kekal di atas dengan hanya berdiam diri, tetapi dengan membuat penyesuaian kepada keperluan masyarakat yang berubah-ubah," kata PM Lee.
Pemimpin generasi keempat Singapura ingin menampung keinginan semakin besar rakyat Singapura yang tidak hanya ingin keprihatinan mereka didengar, tetapi juga ingin melibatkan diri (dalam pembangunan negara), tambah beliau.
Dalam Parlimen, PM lee menginginkan perbahasan lebih bernas dengan pembangkang, sambil berkata kedua-dua pihak Dewan perlu melakukan lebih banyak lagi. Parlimen ke-14 mempunyai 10 Anggota Parlimen dari parti pembangkang - jumlah terbesar sejak berpuluh-puluh tahun lalu - dan ketua Parti Pekerja, Pritam Singh, sudah secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang, yang pertama seumpamanya dalam sejarah Singapura.
"Para menteri PAP dan AP perlu melaburkan lebih banyak usaha, bersedia menjawab soalan-soalan lebih kritikal, dan mempertahankan dasar serta keputusan-keputusan Pemerintah, selain menjadi suara penduduk di kawasan undi masing-masing," kata PM Lee.
"Saya juga berharap pihak pembangkang berusaha lebih keras. Tidak hanya mempersoalkan dan mengkritik usulan Pemerintah, tetapi juga membentangkan idea dan saranan-saranan yang juga dinilai dan dibahaskan, untuk menunjukkan mereka benar-benar dan boleh memainkan peranan mereka sebagai pembangkang yang berhemah.
Sistem demokrasi Singapura yang mengikut model Westminster secara amnya melibatkan perbahasan sengit, tetapi nadanya tidak sekeras di Britain atau Australia kerana tradisi politiknya sudah berubah, jelas PM Lee.
"Ucapan-ucapan dalam Dewan akan menjadi lebih bernas, kurang bertikam lidah; Pembangkang umumnya lebih berhemah ketika mengajukan pertanyaan," tambah beliau.
"Saya mendengar dengan teliti ucapan Encik Pritam Singh pada Isnin, di mana beliau menjelaskan bagaimana beliau ingin melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pembangkang. Saya memuji nada dan pendekatannya. Pihak Pemerintah akan memainkan peranan untuk bekerjasama dengannya, supaya ada wadah baik bagi perbahasan Parlimen."
Dengan lebih ramai AP pembangkang, nada perbahasan politik tidak seharusnya menjadi lebih tegang, kata PM Lee.
"Kita semua mengharapkan kepelbagaian demi mencapai kemajuan. Tetapi bagaimana kita boleh mencegah polarisasi? Bagaimana kita boleh memastikan percanggahan tidak membawa kita ke jalan buntu?" tanya beliau, sambil memberi amaran, Singapura tidak boleh melalui laluan yang diambil negara-negara lain, di mana ada sokongan kuat kepada satu pihak sahaja.
"Perbahasan kita harus berprinsip dan berlandaskan fakta-fakta, dibimbing matlamat yang sama," katanya lagi.
"Hakikatnya, demi memelihara politik kita, kedua-dua Pemerintah dan pembangkang perlu berkongsi objektif utama - berkhidmat untuk rakyat Singapura, dan bukan sekadar parti atau penyokong kita saja."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.