Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah mohon maaf atas kekeliruan, kebimbangan selepas nombor NRIC didedahkan di portal ACRA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Dec 2024 07:56PM Dikemas Kini : 20 Dec 2024 12:26AM
SINGAPURA: Pemerintah memohon maaf kepada orang ramai pada Khamis (19 Dis) selepas nombor Kad Pengenalan (NRIC) rakyat dapat dilihat di portal baharu Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (ACRA), Bizfile pada 9 Disember.

“Kami amat kesal kerana telah menyebabkan mereka sangat cemas,” kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo, dalam satu sideng media, sambil menambah bahawa kebimbangan orang ramai dipandang serius.

"Kami mahu memberi mereka perlindungan yang lebih baik, dan ini memerlukan perubahan dalam dasar kami yang melibatkan penggunaan nombor NRIC, kerana keadaan semasa menyebabkan kami terdedah kepada risiko."

Pemerintah berhasrat untuk membuat perubahan hanya selepas menjelaskan rasionalnya kepada rakyat. Bagaimanapun, sebelum ia boleh berbuat demikian, ACRA meneruskan rancangannya dan melancarkan portal Bizfile, dengan fungsi carian yang menghasilkan nama dan nombor penuh NRIC rakyat.

“Bagi pihak ACRA, saya ingin memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai mengenai nombor NRIC yang boleh dilihat di portal Bizfile kami,” kata ketua eksekutif ACRA Chia-Tern Huey Min.

GAGAL SELARAS DENGAN BAIK

Cik Chia-Tern berkata MDDI pada Julai "mengeluarkan pekeliling kepada agensi pemerintah untuk berhenti menggunakan nombor NRIC yang disembunyikan dalam proses dan perkhidmatan perniagaan baharu".

Ia adalah sebahagian daripada usaha pemerintah yang lebih meluas bagi penggunaan nombor NRIC bagi pengesahan unik, dan menghentikan amalan sembunyikan nombor NRIC, yang memberikan rasa selamat yang palsu, katanya.

“Malangnya, terdapat kelemahan penyelarasan antara kakitangan mengenai cara ini dilaksanakan. ACRA kemudian meneruskan salah faham itu bahawa ia tidak lagi sembunyikan nombor NRIC dalam portal Bizfile baharu,” jelas Cik Chia-Tern.

Mengakui kesilapan di pihak ACRA, beliau mengulangi permohonan maaf atas kebimbangan dan kekeliruan yang ditimbulkan kepada orang ramai.

Menteri Kewangan Kedua Indranee Rajah pula menegaskan bahawa peralihan dasar itu tidak bermakna semua nombor NRIC akan didedahkan.

"Itulah yang difikirkan ACRA juga, jadi saya ingin menggambarkan bagaimana kesilapan itu berlaku," katanya.

BELAJAR DARI INSIDEN

"ACRA akan belajar daripada insiden ini dan mengetatkan sistem dan proses kami," kata Cik Chia-Tern, sambil menambah bahawa fungsi carian yang dipersoalkan telah pun diberhentikan.

Cik Indranee, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata pihak berkuasa tidak memandang mudah kejadian ini.

"MOF (Kementerian Kewangan) dan ACRA akan belajar daripada episod dan kelemahan ini," katanya.

"Kami sedang mengkaji secara menyeluruh kejadian itu untuk mengenal pasti bidang yang sepatutnya kami lakukan dan boleh lakukan dengan lebih baik, termasuk meningkatkan komunikasi dan penyelarasan antara agensi, dan ciri perkhidmatan digital kami."

Menjawab soalan Mediacorp mengenai sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap kakitangan dari ACRA atau mana-mana agensi lain yang didapati bertanggungjawab atas kesilapan itu, Cik Indranee berkata adalah "terlalu awal untuk mengatakan sama ada mana-mana tindakan diambil terhadap kakitangan tertentu”.

“Anda mesti ingat, ini adalah contoh salah faham. Dan saya fikir seseorang itu perlu memastikan dengan tepat bagaimana ia berlaku dan melihat fakta penuh, sebelum memutuskan apa, jika ada, perlu dilakukan, "katanya.
 
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan