Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah mesti 'bersikap adil' kepada rakyat S'pura kekalkan hukuman mati, kata Shanmugam

Pemerintah harus bertindak demi kepentingan masyarakat dengan mengekalkan hukuman mati, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (14 Sep), dengan menekankan bahawa kesan pencegahan terhadap kegiatan pengedaran dadah menyelamatkan ribuan nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah mesti 'bersikap adil' kepada rakyat S'pura kekalkan hukuman mati, kata Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam bercakap kepada media pada 23 Mei 2022. (Gambar: Kenneth Lee)

SINGAPURA: Pemerintah harus bertindak demi kepentingan masyarakat dengan mengekalkan hukuman mati, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (14 Sep), dengan menekankan bahawa kesan pencegahan terhadap kegiatan pengedaran dadah menyelamatkan ribuan nyawa.

Encik Shanmugam berkata demikian semasa satu wawancara dengan Bloomberg dan ditanya apakah keadaan yang mungkin menyebabkan Singapura menyemak semula pendiriannya terhadap hukuman mati.

Encik Shanmugam menjawab setakat tahun lalu, lebih 65 peratus rakyat Singapura menyokong hukuman mati mandatori.

"Namun...apakah tugas Pemerintah? Ia adalah untuk bersikap adil kepada rakyat Singapura, apa yang menjadi kepentingan masyarakat. Jika kita percaya, dan kita percaya, bahawa hukuman mati itu, hakikatnya, menyelamatkan ribuan nyawa, disebabkan kesan pencegahannya," kata beliau.

"Dan saya boleh menunjukkan contoh-contoh di negara lain yang tiada hukuman mati, dan kurang penguatkuasaan terhadap dasar dadah, ribuan orang mati."

Menurut Amnesty International, Singapura sudah menjalankan hukuman mati terhadap lima orang setakat ini dalam tahun ini bagi kesalahan mengedar dadah, dengan mahkamah menolak rayuan saat-saat akhir daripada banduan akhir.

Pada Jun, Encik Shanmugam memberitahu BBC beliau tidak ragu bahawa hukuman mati adalah dasar yang betul bagi kesalahan mengedar dadah, dengan sekali lagi merujuk kepada "bukti jelas" kesan pencegahannya terhadap mereka yang mungkin akan mengedar dadah.

Menjawab tentang "sokongan meningkat" yang menolak hukuman mati, oleh para aktivis, laporan-laporan berita dan individu-individu berpengaruh seperti usahawan Britain Richard Branson, Encik Shanmugam merujuk kepada tunjuk perasaan antihukuman mati yang diadakan di Hong Lim Park pada April.

Para penganjur menyatakan lebih 400 orang datan, namun Encik Shanmugam percaya jumlah itu lazimnya "dilebih-lebihkan".

"Oleh itu, jika kami percaya ia demi kepentingan masyarakat, Singapura, dan jika sebahagian besar rakyat Singapura menyokongnya, kerena mereka memang menyokongnya, maka adakah anda mahu kami mengubah dasar itu kerana empat akhbar melaporkan tentangnya, dengan menemu bual ptiga aktivis yang sama serta menukil tiga aktivis yang sama?" tanya beliau.

"Dan saya tidak katakan ini jumlah yang tepat, namun saya sedang memberikan gambarannya kepada anda. Jadi, dasar pemerintah, jika 400 orang ditambah dengan tiga laporan akhbar boleh mengubah dasar pemerintah, atau jika Encik Branson boleh mengubah dasar pemerintah, maka Singapura tidak berada di mana ia berada sekarang ini."

Encik Shanmugam juga menyentuh tentang langkah Thailand membenarkan penggunaan ganja dan perancangan serupa oleh Malaysia bagi tujuan perubatan, sambil berkata ketersediaan meningkat dadah akan mewujudkan lebih banyak cabaran bagi Singapura.

"Secara keseluruhannya, majoriti rakyat Singapura memahami bahawa dadah itu buruk, dadah buruk untuk masyarakat," kata beliau pada Rabu (14 Sep).

"Terdapat sekumpulan kecil orang yang berasa penggunaannya harus disahkan dari segi undang-undang. Disebabkan gambaran yang diberikan menerusi media popular, golongan muda, bukan majoriti, cenderung berpandangan berbeza tentang ganja dan inilah cabaran-cabaran yang perlu kita tangani."

Apabila ditanya sama ada ini bermakna pihak berkuasa akan menimbangkan untuk memperketat peraturan dan "memantau rapi" mereka yang datang dari negara-negara seperti Thailand dan Malaysia, Encik Shanmugam berkata peraturan Singapura "mencukupi".

"Sekalipun demikian undang-undang, jumlahnya, jenis bukti yang diperlukan, tanggapan atau andaian yang dibuat, kesimpulan yang boleh dibuat mahkamah, semua ini adalah perkara teknikal dan ia sentiasa disemak," kata beliau.

"Dan, kami sudah memindah undang-undang itu beberapa kali dan kami akan memindanya jika perlu."

PEMANSUHAN 377A, BUDAYA 'CANCEL CULTURE'

Menerusi wawancara dengan Bloomberg itu, Encik Shanmugam juga ditanya tentang keputusan Singapura untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang menganggap hubungan seks sesama lelaki sebagai jenayah, dan sama ada ia langkah pertama kepada kesaksamaan perkahwinan.

Encik Shanmugam berkata Pemerintah bertanggungjawab untuk meminpin dan memahami keinginan rakyat, sambil menekankan bahawa ia sedang meminda Perlembagaan untuk menjadikannya lebih jelas bahawa sebarang perbahasan tentang takrifan perkahwinan akan diadakan di Parlimen dan bukan menerusi mahkamah.

Undang-undang itu buat masa ini menafsirkan perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dan seorang wanita, kata beliau, sambil menambah bahawa Pemerintah tidak berhasrat menukar dasar tersebut.

Kumpulan-kumpulan agama menentang langkah pemansuhan Seksyen 377A, dengan sebahagiannya menyuarakan kebimbangan bahawa mereka akan diserang atas pandangan terhadap LGBTQ dan kesaksamaan perkahwinan.

Encik Shanmugam berkata masyarakat harus digalakkan untuk menyuarakan pandangan dari semua pihak, asalkan ia tidak menyinggung perasaan dan tidak membawa kepada kata-kata kebencian.

Ini sebabnya Pemerintah prihatin tentang budaya 'cancel culture', bukan hanya dalam konteks 377A tetapi juga bagi pelbagai isu.

"Kebebasan orang ramai untuk meluahkan pandangan mereka disekat dalam kehidupan sebenar, dalam dunia fizikal. Kami tidak akan membenarkan lima orang berpakat dan membelasah anda. Ini melanggar undang-undang," katanya.

"Nampaknya ia tidak mustahil dan berlaku di ruang maya, di Internet. Kita perlu mencari kesimbangan yang tepat antara ucapan bebas dan menyerang orang lain secara agresif bagi menyekat kebebasan mereka untuk berucap."

Encik Shanmugam berkata Pemerintah sudahpun mengkaji soalan-soalan ini sejak sekian lama dan ia sesuatu yang boleh digubal menjadi undang-undang sekiranya huraian yang tepat ditemui.
Sumber : CNA/NK/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan