Skip to main content

Singapura

Pemerintah mahu maklum balas bagi funpack NDP setelah ada gesaan ia ditiadakan

Pemerintah kini meminta maklum balas mengenai pengedaran funpack atau beg cenderamata Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini setelah sebilangan warga Singapura mempersoalkan sama ada apakah sumber yang akan digunakan itu boleh digunakan dengan lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah mahu maklum balas bagi funpack NDP setelah ada gesaan ia ditiadakan
Diterbitkan : 25 May 2020 07:41PM Dikemas Kini : 25 May 2020 07:48PM

SINGAPURA: Pemerintah kini meminta maklum balas mengenai pengedaran funpack atau beg cenderamata Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini setelah sebilangan warga Singapura mempersoalkan sama ada apakah sumber yang akan digunakan itu boleh digunakan dengan lebih baik.

Unit maklum balas pemerintah Reach, memuat naik borang tinjauan online untuk bertanya kepada warga Singapura pelbagai soalan berhubung dengan NDP dan funpack.

Tidak jelas bila tinjauan itu dimulakan namun Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Louis Ng, yang sebelumnya menggesa penonton NDP diberi pilihan tidak menerima funpack, memuat naik catatan Facebook mengenai tinjauan itu pada Isnin (25 Mei) pagi.

Sebilangan netizen juga berkongsi tinjauan di WhatsApp pada Isnin. Namun pada Isnin petang, tinjauan itu tidak lagi dapat diakses, dengan pesanan yang menyatakan "tinjauan pendapat ini telah ditutup".

Jawatankuasa penganjur NDP mengumumkan minggu lalu bahawa sekitar 1.2 juta beg cenderamata, yang lazimnya diberikan kepada penonton perbarisan, akan diagihkan ke setiap isi rumah warga dan penduduk tetap Singapura.

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen berkata dalam satu catatan Facebook pada 20 Mei bahawa ia akan membolehkan keluarga turut serta dalam perayaan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos dari keselesaan rumah mereka sendiri di tengah-tengah usaha jarak selamat.

Tinjauan terbaru oleh Reach bertanya kepada warga Singapura apakah maksud Hari Kebangsaan dari sudut pandangan mereka, apakah yang paling penting apabila merayakan Hari Kebangsaan sambil menonton NDP, serta sama ada mereka sokong idea mengagihkan funpack.

Tinjauan itu juga bertanya kepada warga Singapura jika beg cenderamata itu adalah "sebahagian penting perayaan Hari Kebangsaan" dan jika ia akan membawakan keceriaan untuk mereka sedang langkah-langkah jarak selamat diteruskan.

Warga Singapura juga diminta supaya menandakan apa yang mereka inginkan dalam funpack itu.

Tinjauan itu muncul setelah sebahagian warga Singapura menyuarakan pendapat bahawa ia mungkin kurang berhemat dari segi kewangan untuk mengagihkan beg cenderamata atau mengadakan pertunjukan bunga api di tengah-tengah pandemik COVID-19. Sebilangan orang juga berasa bahawa funpack bukanlah satu pilihan mesra alam dan akan menyebabkan lebih banyak pembaziran.

Seorang pembaca TODAY, Cik Crimson Toh Luan Chun, bertanya dalam ruangan pendapat Voices jika "kos ketara" yang diperuntukkan untuk beg cenderamata dan bunga api adalah perlu "memandangkan pandemik menjejas ekonomi Singapura".

Beliau menyarankan agar pihak jawatankuasa membenarkan isi rumah untuk memilih sama ada mereka inginkan funpack itu. Surat yang ditulisnya mencetuskan perbincangan mengenai isu itu online.

Satu pungutan suara yang dimulakan di laman Change.org oleh Encik Kaushik Ilango pada 21 Mei untuk membolehkan orang ramai memilih sama ada menerima atau tidak funpack, mengumpul sekitar 78,500 tanda tangan setakat 2.00 petang hari Isnin.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita