Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah mahu kekalkan pertumbuhan gaji, pelbagai import makanan di tengah kos meningkat - Low Yen Ling

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura tidak menjangkakan inflasi meningkat secara berterusan dan tekanan harga dijangka berkurangan secara beransur-ansur sepanjang tahun ini, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling di Parlimen pada Selasa (11 Jan). 

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Ang Wei Neng (PAP-West Coast) dan Jessica Tan (PAP-East Coast) tentang kebimbangan mengenai inflasi dan kesannya terhadap ekonomi dan pengguna Singapura.

Menurutnya Pemerintah akan berusaha mengekalkan pertumbuhan gaji dan mempelbagaikan import makanan untuk mengurangkan kesan inflasi.

Inflasi teras Singapura meningkat kepada 1.6 peratus pada November berbanding setahun dan naik, lebih tinggi daripada 1.5 peratus yang dicatatkan pada Oktober.

Indeks harga pengguna atau inflasi keseluruhan, melonjak kepada 3.8 peratus pada November berbanding tahun lalu - tertinggi dalam lebih lapan tahun - berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Dalam tempoh terdekat, Cik Low berkata Singapura mungkin akan terus berdepan dengan tekanan kos luar.

Ini disebabkan harga tenaga global yang kekal tinggi dan kegenjotan dalam pengangkutan global. Selain itu berlaku keadaan tidak seimbang antara  permintaan dan  bekalan dalam pelbagai pasaran komoditi dan barangan yang mungkin berterusan buat seketika, katanya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menjangkakan tekanan ini berkurangan secara beransur-ansur sepanjang tahun ini.

"Harga minyak global khususnya, dijangka turun apabila pengeluaran meningkat untuk memenuhi  permintaan," kata beliau.

Mengenai tenaga kerja dalam negeri, Cik Low berkata pertumbuhan gaji mungkin akan terus bertambah baik kerana permintaan bagi pekerja semakin kukuh disebabkan kegiatan ekonomi yang semakin rancak.

Dasar-dasar pemerintah seperti Model Gaji Progresif yang diperluaskan kepada sektor runcit juga akan menyokong gaji bagi rakyat Singapura yang bergaji rendah.

Pada masa yang sama, apabila situasi COVID-19 semakin stabil, Cik Low berkata permintaan pengguna seharusnya bertambah baik.

“Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, inflasi teras MAS dijangka meningkat pada separuh pertama 2022, sebelum berkurangan pada penghujung tahun. Bagi seluruh tahun ini, inflasi teras MAS mungkin berada pada paras tinggi 1 peratus hingga 2 peratus," katanya.

Bagi indeks harga pengguna yang meliputi semua barang, Cik Low berkata ia diunjurkan pada purata 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2022, berikutan 2.3 peratus yang dijangkakan untuk 2021.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Penguasa  Kewangan Singapura akan memantau dengan teliti trend harga bagi tempoh beberapa bulan akan datang sebelum menyemak semula ramalan jika perlu, tambahnya.

STRATEGI  UNTUK KURANGKAN KESAN INFLASI

Meskipun ekonomi Singapura yang kecil dan terbuka menjejas sejauh mana negara ini boleh melindungi diri daripada tekanan inflasi, Cik Low berkata Pemerintah mempunyai strategi "berbilang serampang" untuk mengurangkan tekanan inflasi.

Ini termasuk berusaha keras untuk memastikan ekonomi negara berdaya saing, untuk terus mewujudkan pekerjaan yang baik bagi pertumbuhan gaji yang mampan untuk rakyat Singapura, katanya.

Walaupun ekonomi menguncup 5.4 peratus pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19, ia meningkat semula sebanyak 7.2 peratus tahun lalu.

“Pemulihan yang kukuh telah membantu memastikan pekerja tempatan menikmati pertumbuhan gaji sebenar pada 2021, selepas mengambil kira inflasi. Kami khususnya mendapati bahawa pada 2021, pertumbuhan pendapatan median sebenar bagi penduduk yang bekerja sepenuh masa, sebenarnya positif, pada 1.1 peratus,” katanya.

Bagi penduduk berpendapatan rendah di persentil ke-20 paling bawah, pendapatan sebenar meningkat lebih besar sebanyak 4.6 peratus pada tahun lalu, tambahnya.

PELBAGAIKAN IMPORT MAKANAN

Dengan Singapura mengimport lebih 90 peratus makanannya, Cik Low berkata Pemerintah telah mempelbagaikan sumber import makanan untuk mengurangkan kesan akibat turun naik harga yang besar di seluruh dunia dan memastikan harga bekalan makanan kekal berdaya saing.

Singapura mengimport makanan dari lebih 170 negara dan wilayah di seluruh dunia.

“Harga komoditi makanan global melonjak sekitar 30 peratus antara Julai dan November 2021 berbanding tahun lalu berdasarkan Indeks Harga Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB. Harga makanan tidak masak domestik dalam negeri menyaksikan kenaikan jauh lebih kecil, meningkat 1.6 peratus dalam tempoh yang sama,” kata Cik Low.

Pemerintah juga bekerjasama rapat dengan rakan industri, termasuk peruncit utama, untuk memastikan harga barangan keperluan harian dan makanan berdaya saing dan berpatutan, katanya.

Sebagai contoh, NTUC FairPrice melanjutkan skim diskaunnya untuk warga emas dan keluarga berpendapatan rendah selama setahun lagi, hingga 2022, untuk memastikan harga barangan keperluan asas dalam kemampuan ramai.

Cik Low berkata menerusi langkah itu pelanggan dapat menikmati penjimatan berjumlah lebih S$11 juta, termasuk bagi warga Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, serta pemegang kad biru Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).

Pemerintah  juga menyediakan bantuan disasarkan kepada rakyat Singapura berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan bagi perbelanjaan asas mereka melalui skim seperti skim Baucar GST tetap, dan baucar pengangkutan awam

MASA DEPAN EKONOMI SINGAPURA

Di sebalik inflasi itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan menyatakan  pemulihan ekonomi Singapura kekal di landasan yang betul, dengan GDP dijangka berkembang 3 hingga 5 peratus tahun ini, kata Cik Low.

Pada Oktober lalu, MAS mengetatkan dasar kewangan dengan mengalihkan  dolar Singapura dari yang berasaskan perdagangan ke arah peningkatan, memandangkan tekanan kos import dan dalam negeri.

Sejak itu, Cik Low berkata dolar Singapura telah mengukuh, yang akan membantu mengurangkan kos import dolar Singapura dan melindungi rakyat Singapura daripada beberapa tekanan kos luar.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan