Pemerintah mahu dampingi lebih ramai penterjemah, tingkatkan terjemahan 4 bahasa
Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) berharap dapat mendampingi lebih ramai penterjemah untuk menterjemah bahan dan mengenal pasti kesilapan serta meluaskan "keupayaan kolektif Pemerintah untuk menghasilkan terjemahan yang betul", kata Menteri Negara Kanan Sim Ann pada Jumaat (15 Jan).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) berharap dapat mendampingi lebih ramai penterjemah untuk menterjemah bahan dan mengenal pasti kesilapan serta meluaskan "keupayaan kolektif Pemerintah untuk menghasilkan terjemahan yang betul", kata Menteri Negara Kanan Sim Ann pada Jumaat (15 Jan).
Jumlah teks terjemahan yang dihasilkan Pemerintah sudah meningkat, katanya, sambil menambah bahawa secara purata lebih daripada 300,000 perkataan diterjemahkan oleh sumber luar setiap bulan.
"Itu seperti jumlah beberapa buku novel penuh.
"Dan kami mahu memastikan meskipun dengan jumlah yang tinggi dan juga, sekitaran bekerja yang pantas, kami ingin pastikan terjemahannya dilakukan dengan betul," kata Cik Sim ketika bercakap kepada media semasa satu taklimat pada Jumaat.
Baru-baru ini, pihak penganjur Perbarisan Hari Kebangsaan 2020 meminta maaf atas kesilapan yang berlaku pada teks bahasa Tamil yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Semasa persembahan pada sebelah malam, sebaris lirik lagu dengan frasa dalam bahasa Tamil sepatutnya berbunyi "My Singapore" atau "Singapura Kita". Namun barisan itu mempunyai kesilapan sehingga menyebabkan perkataan itu sukar untuk dibaca.
Perkataan bagi "rakan" dan "adik beradik" dalam bahasa Tamil juga disalah eja.
Merujuk kepada sebaris lirik lagu bahasa Tamil yang beranimasi dan dipaparkan pada skrin LED sebagai sebahagian daripada sebuah persembahan, pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP2020 berkata kesan animasi menyebabkan satu barisan lirik mengandungi aksara yang tidak selaras.
Jawatankuasa itu mendapatkan bantuan para penterjemah bahasa Tamil bagi memastikan ketepatan pada lirik lagu tersebut dan terjemahan filem-filem dan persembahan dari bahasa-bahasa lain kepada bahasa Tamil, katanya.
Sambil menambah bahawa ramai pegawai sektor awam boleh dilibatkan sama untuk melakukan penterjemahan atau tugasan yang perlu diterjemahkan, Cik Sim berkata: "Urusan memastikan penterjemahan baik mestilah dipikul oleh orang ramai dan bukan hanya tertakluk kepada beberapa orang sahaja."
MCI menganjurkan supaya timbul lebih banyak kesedaran dalam kalangan pegawai Pemerintah tentang peri pentingnya penterjemahan yang baik dan potensi kelemahan yang harus dielakkan, tambah Cik Sim.
"Kami sedang memupuk, kami harap, dalam sebilangan besar penjawat awam, kesedaran bahawa ia merupakan tugas semua untuk melakukan pemeriksaan. Dan ini bukan sesuatu yang anda boleh serahkan kepada sumber luar dan lupakan, kerana kami memiliki bahan perhubungan itu jadi kami harus pastikan bahawa kami berusaha lebih baik dan lebih berwaspada ketika menjalankan tugas ini."
MCI mula mengambil penterjemah secara sukarela pada Julai 2020. Ia kini bekerja dengan 88 penterjemah - 53 bagi bahasa Mandarin, 22 bagi bahasa Melayu dan 13 bagi bahasa Tamil, katanya.
"Saya percaya bahawa lebih banyak dapat dilakukan dan saya berharap dapat bertemu dengan lebih ramai lagi," katanya.
Penggunaan enjin penterjemahan AI SG Translate kini membantu para penjawat awam mendapatkan penterjemahan draf pertama yang baik dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu atau Tamil.
"Namun ini perlu disemak dan diperhalusi oleh para penterjemah atau pegawai. Ini amat berguna untuk kami apabila kami perlu menghasilkan bilangan besar bahan terjemahan dalam tempoh masa yang singkat."
MCI melihat kepentingan menterjemahkan jumlah besar teks dan maklumat secara pantas sejak permulaan pandemik COVID-19 dan tanpa SG Translate, menghasilkan mesej-mesej WhatsApp Gov.sg dalam empat bahasa mustahil untuk dilakukan, "pastinya bukan dalam jangka masa sedemikian", kata Cik Sim.
"Saya rasa kami hanya di tahap permulaan dari segi kebolehan untuk menyebarkan maklumat dalam empat bahasa namun secara tepat dengan waktu."
Bagi mendampingi para sukarelawan yang berminat, MCI akan mengadakan dua sesi pendekatan menerusi Zoom pada 22 Jan dan 26 Jan masing-masing bagi mereka yang bertutur dalam bahasa Mandarin, dan mereka yang bertutur dalam bahasa Melayu dan Tamil.
Cik Sim akan menghadiri kedua-dua sesi dan Anggota Parlimen Rahayu Mahzam dan Vikram Nair akan menghadiri sesi yang kedua.
Mereka yang berminat boleh mendaftar di go.gov.sg/ctsession.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.