Pemerintah lanjutkan subsidi gaji pekerja sebulan lagi; tambah bayaran kepada lebih banyak sektor
Pemerintah akan memberi subsidi gaji bagi semua rakyat Singapura untuk sebulan lagi, sebagai sebahagian daripada langkah belanjawan keempat untuk menampung kesan krisis COVID-19 terhadap ekonomi serta pasaran pekerjaan.
SINGAPURA: Pemerintah akan memberi subsidi gaji bagi semua rakyat Singapura untuk sebulan lagi, sebagai sebahagian daripada langkah belanjawan keempat untuk menampung kesan krisis COVID-19 terhadap ekonomi serta pasaran pekerjaan.
Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang dilanjutkan itu, pertama kali didedahkan dalam Belajawan negara pada Februari. Sokongan tambahan itu akan bernilai S$2.9 bilion lagi dan kini disediakan untuk tempoh 10 bulan.
Skim subsidi gaji, yang menyokong pekerja dan membantu perniagaan mengekalkan pekerja warga Singapura serta penduduk tetap itu, sudah dilanjutkan selama enam bulan lagi semasa pembentangan Belanjawan Berdaya Tahan pada Mac.
Timbalan Perdana Menteri Heng Sweet Keat, yang mengumumkan langkah terkini itu pada Selasa (926 Mei) di Parlimen, berkata subsidi gaji bulan terakhir akan diagihkan pada Oktober tahun ini bagi membantu perniagaan dan pekerja yang terjejas teruk di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Bayaran itu akan ditentukan berdasarkan gaji yang dibayar pada Ogos tahun ini dan syarikat akan menerimanya melalui bayaran JSS pada Oktober.
Selain itu, Pemerintah akan terus memberikan sokongan gaji sebanyak 75 peratus - tidak melebihi S$4,600 sebulan bagi setiap pekerja - bagi perniagaan yang tidak boleh menyambung semula operasi selepas tamat tempoh pemutus rantaian jangkitan. Langkah duduk di rumah dan sekatan ke atas kegiatan tidak penting dijangka dilonggarkan pada 2 Jun ini.
Ini bermakna cawangan runcit, gim dan studio kecergasan serta pawagan akan mendapat bantuan sehingga ia dibenarkan dibuka semula atau sehingga Ogos tahun ini, mana-mana lebih awal.
Pemerintah memberikan sokongan gaji sebanyak 75 peratus bagi semua pekerja semasa dua bulan dalam tempoh pemutus jangkitan pada April dan Mei.
Bagi bulan-bulan di luar tempoh pemutus jangkitan, jumlah bayaran berbeza bergantung kepada kesan pandemik tersebut ke atas sesebuah sektor.
Encik Heng berkata Pemerintah akan mempertingkatkan Skim Bantuan Pekerjaan dengan membolehkan lebih banyak sektor yang terjejas teruk oleh COVID-19 untuk menerima peratusan subsidi lebih tinggi.
Bantuan itu sebelum ini diberikan hanya kepada sektor-sektor penerbangan, pelancongan serta makanan dan minuman.
Syarikat-syarikat dalam sektor aeroangkasa kini akan menerima 75 peratus subsidi gaji berbanding 25 peratus pada awalnya sebelum tempoh 'circuit breaker'.
Firma-firma dalam sektor runcit serta marin dan kejuruteraan lepas pantai kini akan menerima 50 peratus sokongan gaji.
Bagi bahagian awal pembayaran di bawah skim yang sudah berlalu pada April dan Mei, Encik Heng berkata firma-firma yang layak dalam sektor-sektor tersebut yang tidak menerima subsidi lebih tinggi akan menerima bayaran balik pada Julai.
Sokongan gaji untuk sektor persekitaran binaan, yang merangkumi binaan, akan dinaikkan kepada 75 peratus juga tetapi ditetapkan bagi gaji yang akan dibayar dari bulan Jun hingga Ogos.
"Saya menggesa para pemimpin dalam industri kami untuk menggunakan bantuan tambahan ini untuk mengekalkan kakitangan anda, mempercepatkan penyesuaian dan bergerak menuju model perniagaan yang berdaya maju," kata Encik Heng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.