Skip to main content

Singapura

Pemerintah komited perkukuh peluang kerjaya, rangkaian profesional bagi tingkatkan mobiliti sosial masyarakat Melayu/Islam: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah komited perkukuh peluang kerjaya, rangkaian profesional bagi tingkatkan mobiliti sosial masyarakat Melayu/Islam: Dr Faishal

Gambar fail pekerja di daerah pusat bandar Singapura. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 07:39PM
SINGAPURA: Peluang pendedahan kerjaya, bimbingan serta rangkaian profesional akan terus diperkukuh sebagai antara usaha pemerintah membantu meningkatkan mobiliti sosial masyarakat Melayu/Islam, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Selasa (7 Jul).

Menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) berhubung dapatan kajian Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) mengenai mobiliti antara generasi dalam masyarakat Melayu, Dr Faishal berkata usaha itu memerlukan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak.

"Bagi mencapai matlamat ini, kami (pemerintah) bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan rakan industri untuk memperkukuh laluan pendidikan dan kerjaya, sekali gus membantu golongan belia, lulusan serta karyawan muda memaksimumkan potensi dan meningkatkan kebolehpasaran mereka," kata Dr Faishal.

Kajian RIMA yang diterbitkan pada Mei lalu mendapati masyarakat Melayu di Singapura terus mencatat kemajuan dari segi mobiliti sosial antara generasi.

Namun, ia turut mengenal pasti bahawa kekurangan modal sosial, termasuk akses kepada rangkaian karyawan, mentor dan peluang kerjaya, masih menjadi antara faktor yang mempengaruhi peluang seseorang untuk meningkatkan taraf sosioekonominya.
PERLUAS KERJAYA & BIMBINGAN, PERKUKUH RANGKAIAN PROFESIONAL

Menurut Dr Faishal, usaha memperkukuh mobiliti sosial masyarakat Melayu/Islam kini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu memperluaskan pendedahan kerjaya dan bimbingan, mengukuhkan rangkaian profesional serta melengkapkan masyarakat dengan kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi masa depan.

"Pendedahan kerjaya dan peluang bimbingan sememangnya penting dalam membantu golongan belia meneroka aspirasi kerjaya mereka," kata Dr Faishal.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk program Job Taster oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan gerakan Mentoring SG.

Tahun lalu, sekitar 11,000 peluang Job Taster ditawarkan menerusi kerjasama dengan kira-kira 35 rakan korporat, pertubuhan belia dan agensi sektor awam, manakala lebih 20,000 peluang bimbingan telah diwujudkan sejak 2022.

Dalam usaha memperkukuh modal sosial, pemerintah turut memanfaatkan rangkaian karyawan masyarakat bagi menghubungkan pelajar dan golongan profesional muda dengan mentor serta pengamal industri.

MENDAKI kini mempunyai lebih 1,000 anggota dalam rangkaian profesional yang merangkumi 13 sektor, manakala AMP Singapura menerusi Kolektif Karyawan Muslim (MPC) menghimpunkan golongan karyawan daripada pelbagai bidang, termasuk keselamatan siber, kejuruteraan dan keusahawanan.

"Inisiatif sedemikian membantu pelajar dan golongan karyawan muda memahami dengan lebih mendalam sektor-sektor baharu dan industri yang sedang berkembang, di samping menghubungkan mereka dengan pengamal industri serta mentor bagi mendapatkan peluang latihan amali dan rujukan pekerjaan," jelas Dr Faishal.

Beliau berkata usaha meningkatkan mobiliti sosial turut melibatkan pembangunan kemahiran yang sejajar dengan perubahan ekonomi dan kemajuan teknologi.

Antara inisiatif yang boleh dimanfaatkan masyarakat Melayu/Islam ialah Langkah Digital di bawah M³, kursus kecerdasan buatan (AI) anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan MESRA, serta kerjasama MENDAKI dengan institusi pengajian tinggi dan rakan industri bagi menyediakan latihan, khidmat nasihat kerjaya dan peluang pekerjaan.

Bagi melengkapkan usaha tersebut, Jawatankuasa Daya Ekonomi telah ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai segmen masyarakat Melayu/Islam, termasuk golongan profesional, pekerja dan perniagaan, mengenai langkah-langkah yang dapat membantu masyarakat memanfaatkan peluang yang diwujudkan hasil transformasi ekonomi Singapura.

"Pemerintah beriltizam untuk terus memperkasa rakyat Singapura daripada semua latar belakang," tegas Dr Faishal.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita