Skip to main content

Singapura

Pemerintah komited pastikan masyarakat Melayu/Islam terus maju, puji semangat berdikari: DPM Gan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong mengulangi komitmen Pemerintah untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat Melayu/Islam.

Beliau turut menekanakan komitmen Pemerintah untuk memastikan masyarakat Melayu/Islam terus maju.

“Kami akan terus mendengar, memahami, dan menyokong aspirasi anda untuk menjadi Masyarakat Gemilang. Saya yakin Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Faishal Ibrahim, dan pasukannya akan mendukung kepercayaan masyarakat, dan bersama-sama dengan semua rakyat Singapura, mengukuhkan ikatan yang menyatukan kita.

"Ini akan menjadi kritikal sedang kita mengemudi keadaan yang semakin tidak menentu," kata DPM Gan sempena pelancaran Raikan Ilmu 2025 pada Sabtu (5 Julai).

Pelancaran itu diadakan di Persidangan Masyarakat Gemilang – acara utama Raikan Ilmu yang berlangsung di pusat konvensyen Sands Expo & Convention Centre.

Encik Gan disertai oleh Dr Faishal Ibrahim; Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan merangkap Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Pengerusi Yayasan MENDAKI serta Cik Zuraidah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI.

"Satu kekuatan yang kita ada di dalam masyarakat adalah bagaimana institusi-institusi seperti MENDAKI dan juga badan-badan Melayu/Islam (MMO) kita yang telah lama dibangunkan boleh meneruskan usaha bekerjasama," menurut Dr Faishal.

"Kami akan terus berusaha untuk bekerja rapat dengan masyarakat dan seluruh rakyat Singapura bagi memperkukuhkan ikatan yang menyatukan kita dalam mengharungi dunia yang tidak menentu sambil mencipta lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura maju bersama termasuk masyarakat Melayu/Islam," tambahnya.

150 PEMIMPIN MASYARAKAT, BELIA SERTAI AKTIVITI PERSIDANGAN MASYARAKAT GEMILANG

Related article image
DPM Gan, Dr Faishal dan Encik Zaqy bersama para peserta. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Sekitar 150 pemimpin masyarakat dan belia menyertai aktiviti di Astaka Persidangan Masyarakat Gemilang, dan memberikan idea dan aspirasi mereka untuk membentuk bab seterusnya masyarakat secara bersama-sama.

Dalam ucapannya, Encik Gan turut memuji Raikan Ilmu, yang telah berkembang daripada satu acara yang diadakan hanya sehari pada tahun 2002 kepada gerakan sebulan penuh yang mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.

Pada tahun ini, programnya merangkumi pelbagai aktiviti seperti sesi jaringan profesional, bengkel belia bersama ibu bapa, serta Simposium MENDAKI yang bakal menghimpunkan penyelidik dan penggubal dasar.

“Ini semua adalah asas penting dalam memastikan masyarakat Melayu/Islam terus menjadi Masyarakat Gemilang yang stabil, berdikari dan bergerak maju,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, sepanjang tahun 2024, program-program anjuran MENDAKI telah memberi manfaat kepada lebih 130,000 orang Melayu/Islam, termasuk pelajar, keluarga muda dan pekerja yang ingin kembali ke menyertai pasaran tenaga kerja.

DPM Gan menekankan bahawa kejayaan itu tidak mungkin tercapai tanpa semangat sukarelawan dan penglibatan masyarakat yang kuat.

"Saya puji masyarakat Melayu/Islam atas semangat berdikari anda, dan menggalakkan anda untuk terus membinanya dan rasa bangga dalam masyarakat.

"Saya juga menggalakkan anda untuk terus memanfaatkan kerjasama dengan kumpulan bantu diri yang lain," ujarnya.

KERJASAMA MENYELURUH DAPAT PERKUKUH ASAS NEGARA

Tambah Encik Gan, kerjasama menyeluruh antara rakyat, masyarakat dan pemerintah, dapat memperkukuh asas negara kita.

"Kerjasama ini akan membantu memperbaharui dan mengukuhkan kompak sosial Singapura, perkukuhkan identiti berbilang kaum dan agama kita, supaya kita boleh membina masa depan bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu."

Related article image
Encik Zaqy bersama Dr Faishal semasa Persidangan Masyarakat Gemilang. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Buat masa ini, empat kumpulan bantu diri termasuk MENDAKI, menjalankan Program Tuisyen Kolaboratif (CTF) untuk membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

"Kami juga memberi peluang untuk anak-anak kita semua berinteraksi, mendapat pengalaman sistem-sistem yang lain ataupun cara-cara yang lain supaya mereka juga dapat didedahkan kepada konsep kurikulum dan cara pendidikan daripada kumpulan bantu diri yang lain," ujar Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad.

"Jadi, mereka juga dapat berinteraksi dengan kanak-kanak daripada masyarakat lain supaya mereka juga dapat didedahkan kepada demografi yang boleh membolehkan mereka lebih selesa apabila mereka pergi bekerja ataupun mereka pergi berinteraksi dengan rangkaian yang lain. Ini saya harap dapat membina rangkaian bagi pelajar kita, bagi anak kita dan juga bagi guru kita," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita