Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah komited kekalkan kepercayaan rakyat SG terhadap agensi awam, kata SM Teo

Para pegawai Perkhidmatan Awam yang terlibat dalam insiden Bizfile tahun lalu harus ditangani dengan adil walaupun isu itu bersifat umum, kata Menteri Kanan Teo Chee Hean di Parlimen pada Khamis (6 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Mar 2025 05:48PM Dikemas Kini : 06 Mar 2025 11:43PM
SINGAPURA: Para pegawai Perkhidmatan Awam yang terlibat dalam insiden Bizfile tahun lalu harus ditangani dengan adil walaupun isu itu bersifat umum, kata Menteri Kanan Teo Chee Hean di Parlimen pada Khamis (6 Mac).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan para Anggota Parlimen (AP) selepas menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai nombor penuh NRIC yang dipaparkan dalam hasil carian di portal Bizfile Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) pada Disember lalu.

Panel semakan yang ditugaskan untuk menyiasat insiden itu mengeluarkan laporannya pada Isnin (3 Mac) dan mendapati tiada "salah laku yang disengajakan atau tidak bertindak dengan sengaja" oleh pegawai pemerintah yang terlibat. Tetapi ia mengesan enam kelemahan yang membawa kepada insiden itu.

Anggota Parlimen Jessica Tan (PAP-East Coast) dan AP Tin Pei Ling (PAP-MacPherson) bertanya tentang sama ada hukuman boleh menyebabkan pegawai awam menjadi terlalu berhati-hati dan tentang mencapai keseimbangan supaya kakitangan masih boleh membuat risiko terhitung.

Cik Tan berkata perlu ada keseimbangan antara pengurusan data peribadi yang betul oleh agensi-agensi pemerintah, dan terlalu takut untuk melangkah ke hadapan disebabkan oleh insiden itu.

"Apakah yang akan dilakukan oleh pemerintah untuk membantu pegawai kita melangkah ke hadapan dan dapat membuat keputusan yang betul?" tanya beliau.

Dalam responsnya, Encik Teo berkata, ada kemungkinan sesetengah individu akan menjadi terlalu berhati-hati, dan itulah sebabnya penting untuk mengenal pasti kelemahan dengan jelas.

"Jangan setakat menghukum sewenang-wenangnya," katanya, sambil menambah bahawa individu yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan, tetapi dengan cara yang seimbang dan adil.

“Ini adalah pendekatan yang kami ambil dan kami akan terus berbuat demikian,” katanya.

Cik Tin berkata keseimbangan perlu dicapai antara mendisiplinkan pegawai untuk mengukuhkan kepercayaan awam dan menggalakkan pegawai mengambil risiko terhitung jika perlu.

"Daripada laporan itu, saya berasa agak bimbang bahawa kita akan terlalu menghukum mereka, kerana itu mungkin tidak akan menyampaikan isyarat yang betul kepada perkhidmatan awam yang lebih luas," katanya.

Encik Teo, dalam jawapannya, mengulangi keperluan untuk menangani pegawai secara adil dan mengikut proses disiplin sektor awam supaya perkhidmatan awam "akan terus melakukan semua perkara yang perlu mereka lakukan ... termasuk mengambil risiko terhitung".

"Kita tidak sepatutnya menghukum mereka dengan sewenang-wenangnya, walaupun ia sudah diketahui umum dan telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai," kata SM Teo.

"MESTI BELAJAR DARI INSIDEN INI DAN ELAK INSIDEN BERULANG"

Dalam kenyataan menterinya, Encik Teo mengimbas kembali kejadian dan tindakan yang diambil oleh pemerintah, serta menekankan sekali lagi mengapa pemerintah melihat keperluan untuk beralih daripada penggunaan nombor NRIC separa.

Sambil menarik perhatian bahawa beliau bersetuju dengan dapatan panel semakan, SM Teo berkata insiden itu menunjukkan bahawa penyelarasan rapi dan perhatian yang teliti terhadap perincian diperlukan semasa mengemas kini dasar dan amalan.

"Kadang-kadang ia adalah isu tunggal, tetapi pada masa lain, ia boleh menjadi gabungan faktor yang mendorong kepada insiden sedemikian," kata Encik Teo.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya kebertanggungjawaban, sekalipun di peringkat penyandang jawatan politik yang menyelia ACRA dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Mereka mempunyai tanggungjawab keseluruhan bagi pertubuhan-pertubuhan di bawah penyeliaan mereka, tidak kira sama ada mereka mempunyai tanggungjawab khusus atau langsung atas tindakan yang membawa kepada kelemahan itu.

"Kedua-dua Menteri Josephine Teo dan Indranee Rajah telah menerima tanggungjawab ini secara terbuka dan juga memohon maaf atas apa yang telah berlaku," katanya.

SM Teo menambah bahawa perdana menteri akan mengambil kira kejadian ini dalam penilaiannya terhadap kedua-dua menteri.

Setiausaha Tetap bekas Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dan MDDI, serta ketua eksekutif ACRA juga bertanggungjawab.

SM Teo menegaskan bahawa semakan itu bukan proses disiplin, dan sebarang tindakan disiplin akan diambil mengikut rangka kerja dan proses yang tertakluk di bawah agensi awam masing-masing.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan