Pemerintah komited bantu pekerja bergaji rendah, lebih berusia untuk raih gaji lebih baik: Zaqy
Sepanjang lima tahun yang lalu, pelbagai kemajuan sudahpun dicatatkan dalam usaha pemerintah meningkatkan lagi mutu kehidupan pekerja bergaji rendah.
Antaranya, merapatkan jurang gaji antara golongan pekerja bergaji rendah dengan golongan pertengahan.
Ia juga menyaksikan kenaikan gaji menjangkaui kadar inflasi bagi para pekerja bergaji rendah.
Ini hasil kerjasama antara pemerintah dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).
Bagi pekerja bergaji rendah, pemerintah terus berusaha untuk memperkasa mereka dengan mempertingkatkan Model Gaji Progresif (PWM) yang menyediakan kenaikan gaji minimum dalam sektor-sektor tertentu.
Misalnya, gaji minimum bagi pekerja sektor keselamatan telah meningkat dari S$1,600 kepada lebih S$2,700 dalam tempoh kurang sedekad.
Tahap gaji itu juga dijangka meningkat kepada S$3,500 menjelang tahun 2028.
Menteri Negara Kanan, Zaqy Mohamad menjelaskan lebih lanjut ucapannya dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi Kementerian Tenaga Manusia.
"Kami melihat gaji yang lebih lumayan dalam sektor sekuriti dan juga sektor-sektor yang lain. Kami dapat melihat bagaimana perkembangan yang baik oleh kerana kita mempunyai perikatan tiga pihak iaitu NTUC, pihak majikan dan juga pemerintah yang sedang mencuba membawa gaji pekerja kita lebih tinggi," kata Encik Zaqy kepada wartawan Syawal Yusoff.
Mereka boleh melakukan demikian dengan meraih manfaat daripada Bantuan Kemahiran Daya Kerja (Peningkatan) yang diperkenalkan pemerintah untuk menggalak pekerja jalani latihan untuk meningkatkan daya pekerjaan mereka.
"Ini adalah cara pemerintah ingin menggalakkan pekerja bergaji rendah kita untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka, naikkan lagi kerelevanan mereka kepada industri dan juga sektor. Jadi bagi kami, bukan sahaja mereka meraihkan gaji yang lebih tinggi tapi kami mahu menggalakkan mereka supaya meningkatkan lagi kemahiran mereka supaya mereka relevan dan InsyaAllah dapat mendapat pekerjaan lebih baik," jelas Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan.
Untuk membolehkan pekerja berusia tidak hanya mendapat gaji yang lebih tinggi, pemerintah juga meningkatkan kadar caruman 1.5 peratusan mata ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Ia bertujuan agar golongan itu berupaya mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
"Pada masa dahulu, tidak ramai yang dapat menyimpan wang pesaraan CPF dengan tinggi. Oleh kerana pada satu masa dahulu, kita telah menurunkan kadar caruman bagi CPF bagi mereka yang lebih berusia. Jadi hari ini kita mahu kembalikan kadar itu supaya mereka dapat bersara dengan mencukupi.
"Apa yang penting ialah mereka dapat menyimpan mencukupi untuk CPF LIFE mereka supaya dapat pembayaran bulanan yang mencukupi dalam persaraan," ujar Encik Zaqy.
Encik Zaqy berharap pemerintah dapat meningkatkan lagi kadar simpanan mereka agar mereka dapat bersara dengan selesa.
Beliau menambah pekerja yang lebih berusia juga boleh memanfaatkan pelbagai skim bantuan pemerintah termasuk skim-skim seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan Skim Ihsan Senja untuk mendapat sokongan kewangan yang lebih baik.
Encik Zaqy juga berkata pekerja lebih berusia hari ini mempunyai lebih banyak kelayakan dan pengalaman berbanding dengan generasi sebelumnya.
Mereka cenderung untuk mencari peluang baru, sama ada untuk kekal aktif dalam bidang mereka atau beralih ke kerjaya baru.
Namun, cabaran terbesar adalah memastikan mereka mendapat latihan dan kemahiran yang diperlukan agar dapat menyertai sektor-sektor yang berkembang.
Lantaran itu, sebuah Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas bakal ditubuhkan.
Kerjasama bersama pemerintah, NTUC dan majikan itu bertujuan untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh pekerja matang dengan lebih mendalam.
"Kami juga telah melihat dan mendengar desas-desus dalam masyarakat di mana adakalanya mereka bertemu dengan pekerja matang yang mungkin telah kehilangan kerja ataupun mereka dalam satu industri 'sunset' yang mahu bertukar kerjaya tetapi adakah mereka diberi peluang? Mungkin mereka tidak datang daripada daripada sektor tertentu ataupun mempunyai kemahiran dan bagaimana kami dapat menolong mereka untuk mendapatkan kemahiran yang relevan untuk mendapat pekerjaan baharu ataupun pekerjaan moden yang boleh bertumbuh," kongsi Encik Zaqy.
Selain itu, penubuhan sebuah Perikatan untuk Bertindak bagi Memperkasakan Kerjaya Pelbagai Peringkat untuk Pekerja Matang (AfA-EMW) untuk menangani isu-isu tersebut secara lebih holistik juga diharap memberi peluang kepada pekerja untuk berbincang dengan majikan dan pemimpin masyarakat mengenai situasi mereka.
"Kami mahu mendapatkan usaha dari bawah untuk kami mendengar daripada pekerja, daripada majikan, daripada pemimpin-pemimpin rakyat. Bagaimana kami dapat membantu mereka dari segi inisiatif-inisiatif dari bawah.
"Di sini kami mahu melihat akan huraian yang kami dapat mungkin mendalami, ataupun diberi idea yang baharu daripada inisiatif dari bawah, melalui pendekatan masyarakat ataupun majikan yang boleh memberi kami idea-idea baru, menangani ataupun mendekati situasi ini," tambah Encik Zaqy.
Pemerintah juga kata Encik Zaqy telah memudahkan proses latihan semula bagi pekerja yang ingin menukar kerjaya.
Bermula 1 April 2025, inisiatif Program Penukaran Kerjaya (CCP) akan dipertingkatkan bagi membolehkan para pekerja menjalani latihan dengan jangka masa yang lebih fleksibel.
"Bagi mereka yang ingin kembali untuk bekerja ataupun mereka yang mempunyai tanggungjawab untuk menanggung keluarga, menjaga anak di rumah ataupun menjaga seorang yang lebih berusia," ujar Encik Zaqy.
Para majikan juga akan mendapat bantuan dana sehingga 90 peratus gaji pekerja yang dihadkan kepada S$7,500 sebulan.
Encik Zaqy berharap para majikan dapat memberikan sokongan.
"Apa yang penting adalah kami memberi mereka peluang untuk menjalankan latihan dari pekerjaan separuh masa, supaya mereka dapat juga mereka tidak ketinggalan dari segi peluang. Di sini, kami juga menggalakkan majikan melalui program ini supaya mereka memberi peluang dan diberi kelonggaran," ujar Encik Zaqy.
Dengan adanya usaha serta peningkatan sedemikian, Encik Zaqy menjelaskan pemerintah bukan hanya memberi tumpuan kepada pencapaian jangka pendek tetapi juga kepada kesejahteraan jangka panjang pekerja dalam menghadapi cabaran ekonomi.
Keutamaan juga diberikan kepada meningkatkan kemahiran dan tahap kebolehan pekerja, tanpa mengira usia atau sektor pekerjaan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.