Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah kekal institusi paling diyakini di SG, meski trend sejagat tunjuk polarisasi masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Mar 2023 07:41PM Dikemas Kini : 15 Mar 2023 11:39PM
SINGAPURA: Barometer Keyakinan syarikat perhubungan awam dan perunding cara, Edelman, mendapati tahap keyakinan terhadap Pemerintah Singapura kini adalah yang tinggi.

Tinjauan tahunan sejagat itu dijalankan secara online dan meliputi 28 negara. Ia juga melibatkan lebih 1,000 responden di sini.

Tinjauan tersebut mendapati bahawa pihak pemerintah merupakan institusi yang paling diyakini di Singapura.

Lebih 75 peratus daripada responden menyatakan mereka yakin dengan pemerintah. Ini adalah peningkatan 2 peratusan mata berbanding tahun lalu. Ia juga adalah tahap keempat tertinggi di dunia, yang turut dicatatkan Indonesia dan India.

Pada masa yang sama, tinjauan tersebut mendapati rasa yakin para penduduk Singapura terhadap ekonomi menjunam ke tahap terendah.

Hanya 36 peratus rakyat tempatan percaya keadaan mereka dan keluarga mereka akan bertambah baik dalam masa lima tahun mendatang.

Selain Singapura, 23 daripada 28 negara lain yang ditinjau turut mencatat tahap terendah bagi keyakinan terhadap ekonomi, termasuk United Kingdom (UK), Malaysia dan India.

Bagi para responden di Singapura, kehilangan pekerjaan menjadi kebimbangan paling utama, disusuli dengan masalah inflasi.

Kehilangan pekerjaan dan masalah hutang adalah di antara masalah utama yang dihadapi mereka yang menghubungi agensi cegah bunuh diri.

Ukuran kepercayaan Edelman juga mendapati Singapura adalah negara paling kurang berlaku polarisasi, sama seperti di Malaysia dan China.

Namun, sekitar 30 peratus penduduk berpendapat Singapura lebih berpecah belah sekarang berbanding pada masa lalu. Meskipun demikian, kadar itu lebih rendah berbanding purata global sebanyak lebih 50 peratus.

Di tengah-tengah keadaan dunia yang semakin berpecah belah, lebih 70 peratus pekerja Singapura juga mempunyai keyakinan terhadap majikan mereka. Namun, perangkaan itu turun sedikit berbanding tahun lalu.

Pada masa yang sama, kebanyakan penduduk Singapura berharap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka dapat mengambil pendirian umum mengenai isu-isu seperti layanan terhadap pekerja, perubahan iklim dan diskriminasi.

Lebih 60 peratus pengguna di Singapura mengatakan mereka membeli dan menyokong jenama berdasarkan nilai-nilai yang dipegang. Lantaran itu, semakin banyak perniagaan di Singapura mahu berkhidmat kepada masyarakat.
Sumber : CNA/IA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan