Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah 'kaji' seluruh ekonomi, pastikan tepat waktunya untuk naikkan GST

Anggaran Waktu Membaca:
 Pemerintah 'kaji' seluruh ekonomi, pastikan tepat waktunya untuk naikkan GST

Perancangan untuk naikkan GST sebanyak dua peratusan mata dari tujuh peratus ke sembilan peratus pertama kali diumumkan pada 2018. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Meskipun kenaikan Cukai Barangan dan Khidmat (GST) yang sudah dirancang tidak boleh dilengahkan "sampai bila-bila", Pemerintah sedang "mempertimbangkan dengan teliti" keadaan menyeluruh ekonomi untuk menentukan waktu yang tepat bagi kenaikannya tersebut.

Demikian menurut Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah hari ini (11 Jan).

Perancangan untuk menaikkan GST sebanyak dua peratusan mata, daripada tujuh peratus ke sembilan peratus pertama kali diumumkan pada 2018, iaitu semasa Encik Heng Swee Keat - Menteri Kewangan pada waktu itu - membentangkan Belanjawan Negara.

Encik Heng berkata, kenaikan GST itu akan dilaksanakan antara tahun 2021 dengan 2025.

Kenaikan itu tidak dilaksanakan pada tahun lalu disebabkan kesan COVID-19 terhadap ekonomi.

Dalam ucapan Tahun Barunya pada tahun lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Pemerintah "perlu melaksanakan" kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dirancangkan pada Belanjawan 2022 sedang ekonomi bangkit semula daripada pandemik.

Anggota Parlimen Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) memfailkan soalan dan bertanya sama ada Pemerintah akan mempertimbangkan untuk melengahkan kenaikan GST untuk mengelak daripada menambah tekanan inflasi.

Dalam jawapannya, Cik Indranee merujuk kepada dua aspek daripada soalan tersebut: Menangguhkan tarikh pelaksanaan kenaikan GST dan sama ada Pemerintah boleh melengahkan kesan kenaikan itu ke atas rakyat Singapura.

Menjawab bahagian pertama soalan tersebut, Cik Indranee berkata tarikh tepat bagi kenaikan itu bergantung kepada keadaan ekonomi, pertumbuhan dalam perbelanjaan dan sejauh mana "tahap penampungan" cukai sedia ada.

"Kami sedang menimbangkan dengan teliti keadaan menyeluruh ekonomi. Ekonomi semakin pulih dengan stabil dan jika tiada aral baru yang melintang, ia harus tumbuh seiring dengan pemulihan ekonomi sejagat dan kami menjangkakan GDP tumbuh tiga hingga lima peratus pada 2022," kata beliau.

Mengulas tentang rakyat Singapura dan sama ada kesannya boleh dilengahkan, Cik Indranee berkata Pemerintah sudah melakar pelaksanaannya dengan cara yang, tidak mengira bilakah kenaikan GST akan dilaksanakan, kesannya hanya akan dirasakan beberapa tahun selepas itu.

"Menerusi Pakej Jaminan GST, bagi kebanyakan rakyat Singapura, kami akan melengahkan kesannya ke atas mereka selama lima tahun," kata beliau. "Dan bagi yang berpendapatan rendah, kesannya ke atas mereka akan dilengahkan selama 10 tahun."

Pakej Jaminan GST bernilai S$6 bilion, yang pertama kali diumumkan semasa Belanjawan 2020, akan menawarkan agihan wang tunai antara S$700 dengan S$1,600 selama lima tahun kepada semua rakyat dewasa Singapura. Ini akan membantu mengimbangi sekurang-kurangnya lima tahun perbelanjaan GST tambahan.

Mereka yang tinggal di flat-flat satu hingga tiga bilik akan menerima wang tunai mencukupi untuk mengimbangi sekitar 10 tahun perbelanjaan GST tambahan.

"Pada dasarnya, apa sahaja kenaikan terhadap perbelanjaan disebabkan GST, Pakej Jaminan GST dilakar untuk menimbal balik kenaikan tersebut. Pemerintah secara langsung menambahnya supaya mereka tidak merasa kesannya," tambah Cik Indranee.

"Tarikh pelaksanaannya dan tarikh apabila kesannya dirasai adalah dua perkara berbeza," ujar beliau. "Kami akan terus memantau keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan sebahagian besar keluarga berpendapatan pertengahan."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan