Skip to main content

Singapura

Pemerintah kaji langkah sokong pekerja berisiko dengan lebih baik sebelum hilang pekerjaan: Desmond Choo

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah kaji langkah sokong pekerja berisiko dengan lebih baik sebelum hilang pekerjaan: Desmond Choo

Timbalan setiausaha agung NTUC Desmond Choo dalam temubual bersama Mediacorp.

Diterbitkan : 02 Jun 2026 06:24PM Dikemas Kini : 02 Jun 2026 07:23PM
SINGAPURA: Singapura sedang mengkaji cara untuk mengenal pasti pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan pada tahap lebih awal dan menghubungkan mereka dengan peluang baharu sebelum mereka diberhentikan, kata pengerusi bersama jawatankuasa Kajian Strategi Ekonomi (ESR) Desmond Choo.

Langkah itu bertujuan mempersiapkan pekerja menghadapi masa depan yang menyaksikan peralihan kerjaya yang lebih kerap, sekali gus mengurangkan kehilangan pendapatan ketika mereka bertukar pekerjaan, sedang kecerdasan buatan (AI), automasi dan rombakan struktur ekonomi membentuk semula pasaran buruh.

"Kami mengenal pasti mereka lebih awal, dan kemudian kami membuka peluang untuk membantu mereka membuat peralihan," kata Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu.

"Daripada membiarkan mereka tercicir daripada tenaga kerja dan bangkit semula, kami mahu mengenal pasti mereka sebelum mereka jatuh, supaya mereka dapat memasuki sektor pertumbuhan yang baharu."

MENGURANGKAN PERIT PERALIHAN PEKERJAAN

Encik Choo bercakap dengan Mediacorp selepas lima jawatankuasa ESR menerbitkan saranan mereka bulan lalu mengenai cara Singapura dapat mempersiapkan ekonominya untuk masa hadapan.

Semakan itu menghasilkan 32 saranan yang bertujuan mengukuhkan jangkaan pertumbuhan jangka panjang Singapura di tengah-tengah persekitaran global yang tidak menentu.

Saranan berkenaan dirumuskan selepas perbincangan selama sembilan bulan yang melibatkan lebih 7,700 pihak berkepentingan, termasuk perniagaan, kesatuan sekerja dan pekerja.

Salah satu saranan ialah mewujudkan "jambatan kerjaya" untuk menghubungkan pekerja dalam sektor yang terdedah atau jawatan yang berisiko, dengan industri yang dijangka mendapat permintaan lebih kukuh pada masa hadapan.

Singapura sudah mempunyai sektor yang berdaya tahan dan berpotensi tinggi untuk berkembang seperti sektor penjagaan kesihatan, yang dijangka terus berkembang seiring dengan jumlah penduduk semakin menua, kata Encik Choo, yang mempengerusikan bersama jawatankuasa ESR mengenai pengurusan kesan rombakan struktur.

Cabarannya ialah membantu pekerja beralih daripada pekerjaan yang terancam dek gangguan ekonomi kepada industri yang lebih bersedia untuk menghadapi masa depan, tambahnya.

Ini termasuk mengenal pasti kemahiran yang boleh dipindahkan dan menyediakan sokongan untuk membantu para pekerja merapatkan sebarang jurang yang masih wujud.

"Kita perlu bergerak ke arah itu, supaya rakyat kita mempunyai lebih banyak pilihan," kata Encik Choo.

Usaha sedemikian memerlukan pendekatan terperinci mengikut sektor dan jenis pekerjaan, tambahnya.

"Inilah hala tuju yang perlu kita ambil. Jika kita tidak terlibat secara mendalam, maka pekerja kita tidak akan mempunyai keyakinan untuk melakukan peralihan tersebut."

Satu lagi saranan ialah mengukuhkan skim sokongan untuk golongan profesional, pengurus dan eksekutif (PME) yang sedang menempuhi peralihan kerjaya.

Encik Choo berkata Singapura harus memperkukuh dan meluaskan inisiatif seperti skim sokongan pencari kerja, "supaya pekerja kita mempunyai keyakinan bahawa semasa mereka beralih ke bidang atau pekerjaan baharu, mereka tidak akan diabaikan".

MENGIMBANGI PERLINDUNGAN PEKERJA DAN KEPERLUAN PERNIAGAAN

Pada masa yang sama, perlindungan pekerja perlu diseimbangkan dengan keperluan syarikat untuk menyusun semula struktur mereka dan kekal berdaya saing, kata Encik Choo.

"Keadaan ini sentiasa sukar. Kami tahu bahawa ada syarikat yang enggan susun semula perniagaan mereka kerana mereka mengambil berat tentang pekerja mereka, yang telah bersama mereka begitu lama," tambahnya.

"Tetapi ada yang susun semula perniagaan mereka kerana mereka tiada pilihan, dan dalam keadaan itu pekerjalah yang paling terkesan."

Beliau menambah bahawa sistem kerjasama tiga pihak Singapura yang melibatkan majikan, kesatuan sekerja dan pemerintah menyediakan asas yang kukuh untuk menangani cabaran tersebut.

ESR juga mengesyorkan agar notis mengenai proses rombakan struktur diberikan lebih awal supaya para pekerja boleh menerima sokongan dengan lebih cepat.

Ini akan membolehkan agensi dan pertubuhan sokongan bekerjasama dengan pekerja yang terjejas sebelum pemberhentian berlaku, sekali gus membantu "untuk mengurangkan keresahan dan kebimbangan", kata Encik Choo.

Memandangkan industri dan pekerjaan berubah dengan lebih pantas, kedua-dua perniagaan dan pekerja perlu menyesuaikan diri.

Encik Choo menggalakkan rakyat muda Singapura yang baru memasuki alam pekerjaan agar merebut peluang yang diwujudkan oleh perubahan teknologi dan mempertingkat kemahiran mereka selaras dengan perkembangan ekonomi.

Beliau menambah: "Kami akan menemani anda sepanjang perjalanan itu. Jika anda perlu berubah haluan atau jika anda tersasar daripada laluan itu, bantuan akan sentiasa tersedia untuk anda."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita