Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah kaji isu wanita; Kertas Putih dibentang awal 2022

Pemerintah akan meneliti pandangan-pandangan yang diterima mengenai pelbagai isu melibatkan wanita sebelum seterusnya melakarkan "cadangan-cadangan yang konkrit" untuk dibentangkan dalam Kertas Putih pada awal tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Sep 2021 12:55PM Dikemas Kini : 18 Sep 2021 10:17PM

SINGAPURA: Pemerintah akan meneliti pandangan-pandangan yang diterima mengenai pelbagai isu melibatkan wanita sebelum seterusnya melakarkan "cadangan-cadangan yang konkrit" untuk dibentangkan dalam Kertas Putih pada awal tahun depan.

Demikian kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (18 Sep).

Beliau berkata demikian dalam sesi penutup Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura. Inisiatif tersebut dilancarkan pada September tahun lalu dan ia merangkumi beberapa siri sesi pendampingan antara sektor awam dengan sektor swasta, serta pertubuhan-pertubuhan bukan Pemerintah.

Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan para anggota badan berkenaan terlibat dalam usaha tersebut. Kumpulan lain yang turut menggerakkan inisiatif itu termasuk Unit Wanita dan Keluarga Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan serta Majlis Rangkaian Integrasi Wanita Persatuan Rakyat.

Lebih 5,700 individu - wanita mahupun lelaki - mengambil bahagian dalam sekitar 160 sesi perbincangan berasingan. Ramai lagi memberikan maklum balas mereka menerusi wadah online, kata PM Lee hari ini. Beberapa pertubuhan, termasuk Sayap Wanita PAP, PAP Muda dan SCWO, turut menyerahkan saranan mereka.

"Respons yang sangat menggalakkan walaupun di tengah-tengah pandemik ini menunjukkan bahawa isu-isu tersebut penting bagi rakyat Singapura," katanya.

Pemerintah akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan sedemikian dan para peserta untuk melaksanakan saranan yang dikemukakan sekali gus menangani isu-isu tersebut bersama-sama, tambah beliau.

"Ia satu usaha jangka panjang, tetapi penting," ujar PM lagi.

PELUANG DI TEMPAT KERJA

Dalam ucapannya, PM Lee berkata terdapat tiga "bidang tumpuan" yang berkali-kali dibangkitkan dalam sesi perbincangan - iaitu peluang pekerjaan, sokongan bagi wanita yang menjaga anak atau orang tua dan perlindungan bagi wanita.

Wanita harus mempunyai "pilihan sebenar antara pekerjaan dengan komitmen keluarga", katanya.

PM Lee selanjutnya mengatakan bahawa tanggungjawab wanita di rumah boleh meninggalkan kesan terhadap kemajuan kerjaya masing-masing. Sesetengah wanita memerlukan aturan kerja yang fleksibel atau terpaksa mencari "jalan keluar sementara" demi memenuhi tuntutan rumah tangga.

"Malangnya, ini akan mengakibatkan timbulnya tanggapan bahawa wanita kurang komited dalam kerjaya mereka," kata PM Lee.

Beliau menambah bahawa sesetengah majikan masih keberatan untuk menggajikan, menaikkan pangkat atau memupuk bakat para kakitangan wanita, khususnya mereka yang sudah mempunyai anak.

Walaupun kadangkala perkara itu terjadi akibat salah faham yang boleh diperbetulkan, dalam kes-kes tertentu, ia cukup serius dan menjadi satu bentuk diskriminasi di tempat kerja, kata PM Lee.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai "tidak adil" kerana wanita Singapura "mempunyai kebolehan yang sama" dengan kaum Adam.

"Mereka harus diberi peluang sama untuk membuktikan kebolehan mereka dan mencapai potensi terbaik. Kita tidak harus membiarkan prasangka kita menghalang kemajuan wanita," katanya.

PM Lee berkata Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil yang akan dijadikan undang-undang bakal menjadi satu "langkah besar" yang membolehkan wanita bersaing secara adil. Beliau turut menyebut tentang mencari huraian bagi "masalah-masalah praktikal" yang dihadapi wanita, demi mempermudahkan urusan antara golongan tersebut dengan para majikan.

Mempertingkat aturan bagi jagaan anak dan aturan kerja fleksibel antara contoh yang diketengahkan untuk memastikan wanita tidak meninggalkan kerja mereka.  

SOKONGAN BAGI WANITA YANG MENGASUH

PM Lee berkata bahawa salah satu hambatan bagi wanita bekerjaya adalah mereka sering kali mempunyai tanggungjawab tambahan, iaitu sebagai seorang pengasuh.

Satu cara untuk menyokong para pengasuh, tidak kira jika mereka wanita atau lelaki, adalah untuk memberi mereka lebih banyak bantuan kewangan, tambahnya.

Kementerian Kesihatan (MOH) kini sedang mengkaji bagaimana pihaknya boleh mempertingkat skim Geran Penjagaan di Rumah, untuk menyediakan lebih banyak bantuan bagi kumpulan-kumpulan tertentu, dedah PM Lee.

"Para pengasuh perlu membuat begitu banyak pengorbanan. Kemajuan kerjaya mereka terjejas. Perbelanjaan juga boleh menjadi besar. Pengasuh akan mendapati dirinya sukar untuk mempunyai simpanan bagi persaraannya," jelas PM Lee.

Ini akan menyebabkan mereka, terutama sekali mereka yang bekerja sepenuh masa, "sangat mudah terjejas", tambah PM Lee.

Ramai peserta sesi perbincangan itu berpandangan bahawa ini tidak adil, kata PM Lee, yang juga akur bahawa para pengasuh layak menerima lebih banyak sokongan.

Sungguhpun demikian, PM Lee menarik perhatian bahawa tiada jumlah wang dapat mengimbangi pengorbanan yang dilakukan para pengasuh. Beliau turut mengakui wanita sering kali menanggung beban lebih berat berbanding kaum lelaki dalam isu penjagaan anak atau orang tua.

Satu lagi isu penting yang diketengahkan PM Lee adalah kebajikan para pengasuh itu sendiri. Semasa sesi-sesi perbincangan, para pengasuh berkongsi bahawa mereka selalunya tidak mempunyai masa untuk diri mereka sendiri, dan tidak tahu di mana serta bagaimana untuk mendapatkan bantuan. Akibatnya, mereka menjadi terlalu letih.

Untuk itu, PM Lee berkata MOH sedang meneliti bagaimana ia boleh meluaskan pilihan yang bakal membolehkan para pengasuh berehat buat seketika waktu.  

KEGANASAN RUMAH TANGGA

PM Lee juga membicarakan tentang perlindungan bagi kaum wanita. Walaupun Singapura merupakan salah satu bandar paling selamat di dunia, isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan, kata beliau.

"Kita harus terus berusaha mempertahankan piawai tinggi kedaulatan undang-undang di Singapura. Pada masa yang sama, kita harus melakukan yang terbaik untuk melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan daripada dianiaya atau disakiti," kata PM Lee.

Baru-baru ini, Pemerintah memperketat hukuman maksimum bagi beberapa kesalahan seksual.

Singapura harus membina persekitaran di mana "orang ramai menunjukkan rasa empati dan memberi sokongan apabila musibah berlaku," katanya sambil menambah, para mangsa harus berupaya mendapatkan pertolongan dengan mudah tanpa mengalami lebih banyak tekanan.

"Lebih penting lagi, para mangsa tidak harus mempunyai sebab untuk berasa takut kalau-kalau mereka nanti yang akan dipersalahkan atau dimalukan atas apa yang menimpa diri mereka, lalu merana sendirian," katanya.

Keganasan rumah tangga malangnya bukan sesuatu yang jarang berlaku, apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang menimbulkan pelbagai tekanan sehingga memburukkan lagi keadaan, kata PM Lee.

Pasukan Bertindak bagi Keganasan Keluarga akan menerbitkan satu laporan yang bakal merangkumi saranan-saranan seperti mempertingkat sokongan segera bagi para mangsa, memperhebat perlindungan bagi mereka, mencegah keganasan daripada berulang dan meningkatkan kesedaran tentang tanda-tanda awal.

"Saya nantikan laporan mereka supaya langkah-langkah berkesan dapat dilaksanakan demi mengatasi masalah ini," ujar PM Lee.

ANCAMAN ONLINE

Satu lagi ancaman terhadap keselamatan kanak-kanak perempuan dan wanita generasi masa kini datang daripada wadah online, kata PM Lee.

"Dengan media sosial, yang tua dan muda terdedah dan mudah (menjadi mangsa) penganiayaan, buli, pengantunan (seksual) atau mendapat perhatian yang tidak diinginkan."

PM Lee akur bahawa ramai mangsa mengalami tekanan psikologi atau malah terdorong untuk mencederakan diri sendiri.

Singapura, katanya, harus memastikan ruang online kekal selamat, terutama sekali bagi kanak-kanak perempuan dan wanita.

Jalan keluar "utama" bagi masalah keganasan terhadap wanita adalah untuk menyemai nilai-nilai murni supaya lelaki dan wanita menghormati batasan masing-masing dan tahu bahawa perbuatan mengambil kesempatan ke atas wanita, menganiaya mereka atau menyerang mereka secara fizikal atau seksual, adalah salah dan tidak dibenarkan sama sekali, tambah PM Lee.

Ibu bapa harus mendidik anak mereka tentang sikap saling hormat-menghormati dan batasan-batasan itu. Di sekolah, para pelajar juga harus belajar tentang perkara tersebut dan bagaimana untuk melindungi diri mereka baik di ruang nyata mahupun maya, kata PM Lee.

Institusi-institusi pengajian tinggi pula harus menjadi tempat di mana anak-anak muda berasa selamat.

Semua orang boleh memainkan peranan dalam kehidupan seharian mereka, tegas PM Lee. Beliau menggesa supaya masyarakat bersuara menentang perbuatan tidak menghormati atau memperlakukan wanita sebagai objek. Ini selain tidak ikut sekaki dalam perbualan tidak senonoh.

Dalam pada itu, PM Lee berkata cadangan SCWO supaya ruang awam khas disediakan bagi wanita Singapura, adalah satu idea "sangat baik". Agensi-agensi Pemerintah sedang mempertimbangkan kemungkinan membina sebuah taman di Dhoby Ghaut Green bagi tujuan tersebut, katanya.

"Ia akan memperingati dan meraikan semangat perintis serta sumbangan para wanita Singapura. Ia juga akan mengiktiraf peranan utama yang sudah mereka mainkan dalam masyarakat dan negara," kata PM Lee.

Perbincangan-perbincangan itu satu "latihan penting" untuk memikirkan masyarakat seperti apa yang Singapura inginkan bagi anak-anak dan cucu-cucu mereka - di mana mereka yang memerlukan bantuan diberi perhatian dan sokongan, di mana wanita dan lelaki berdiri sama tinggi duduk sama rendah, di mana setiap rakyat diperkasa untuk mencapai aspirasi dan impian mereka, kata PM Lee.

"Ayuh kita berusaha mencapai visi sebuah masyarakat yang lebih adil dan inklusif, di mana anak-anak perempuan dan lelaki kita dapat membesar dalam persekitaran yang lebih baik." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan