Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah iktiraf khidmat Jamiyah kepada masyarakat Islam, berbilang kaum S'pura

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengiktiraf kerja-kerja yang dilakukan oleh Jamiyah Singapura untuk menyokong masyarakat, khususnya untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengiktiraf kerja-kerja yang dilakukan oleh Jamiyah Singapura untuk menyokong masyarakat, khususnya untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukan. 

Beliau berkata demikian menerusi satu pesanan video di majlis jamuan malam sempena ulang tahun ke-90 Jamiyah di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada Sabtu (16 Jul).

Encik Lee berkata usaha yang dilakukan Jamiyah itu menjadi lagi penting sewaktu krisis seperti pandemik COVID-19.

Tetamu Kehormat di acara itu, Menteri Kanan Teo Chee Hean juga mengiktiraf peranan Jamiyah Singapura, yang menurutnya, telah meraih kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat Melayu/Islam setempat.

Menurut Encik Teo, Jamiyah telah melangkah jauh sejak ia ditubuhkan pada 1932 sebagai sebuah pertubuhan dakwah. 

Beliau menarik perhatian bahawa Jamiyah telah memperluas kegiatannya untuk menyediakan khidmat kebajikan dan kemasyarakatan bagi memberi manfaat kepada masyarakat Singapura yang lebih luas.

Melalui pendekatan inklusif, Jamiyah katanya, telah membuka program dan kegiatan kepada mereka yang kurang bernasib baik, tidak kira bangsa dan agama. 

Malah beliau menambah, ramai penderma dan sukarelawan Jamiyah terdiri daripada para individu daripada pelbagai kaum.

Selain kepimpinan berkesan dan pendekatan yang inklusif, Encik Teo berkata kejayaan Jamiyah juga boleh dikaitkan dengan kerjasamanya yang erat dengan Pemerintah.

"Ini telah membolehkan program-program kebajikan dan kemasyarakatan Jamiyah dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Kerjasama ini juga telah membolehkan Jamiyah memperkaya wacana nasional kita tentang pelbagai isu. Ini termasuk ancaman radikalisme dan pengganasan, hubungan antara agama, dan pembangunan wanita dan belia. Kami menghargai pandangan Jamiyah mengenai perkara-perkara ini," kata Encik Teo yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

Empat penderma utama turut menyampaikan cek kepada Presiden Jamiyah, Dr Hasbi Abu Bakar dengan jumlah tertinggi S$250,000 disumbangkan oleh Heartwarmers.

Mereka adalah antara penderma yang menyokong misi khidmat Jamiyah sejak 90 tahun lalu. 

Jamiyah turut menyampaikan tanda penghargaan kepada rakan-rakan antarabangsanya yang telah bekerjasama dengannya. 

Ini termasuk pertubuhan antara agama dan institusi pendidikan yang telah bersama-sama menggalak perkongsian ilmu dan pertukaran idea, bakat, kemahiran dan sumber. 

Menggariskan rancangan masa depan pertubuhan itu, Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar berkata program dan khidmat yang ada sekarang khususnya bagi golongan kurang bernasib baik dan memerlukan akan diteruskan. 

"Bagi rancangan masa depan dan memandangkan ulang tahun ke-100 kami kurang sedekad daripada sekarang, kami telah memikirkan dan mengenalpasti beberapa bidang utama yang akan diberi lebih keutamaan: mengukuhkan tenaga kerja; meningkatkan operasi pentadbiran; memperluas rangkaian dan hubungan antara agama dan antarabangsa; memberi kesegaran kepada khidmat dakwah dan umumnya menambah baik mutu dan kerelevanan khidmat dan program kami untuk memberi manfaat kepada rakyat Singapura," kata Dr Mohd Hasbi.

Satu inisiatif baru, Anugerah Teladan Keharmonian Antara Agama diumumkan sempena ulang tahun Jamiyah. 

Anugerah tahunan itu akan diberikan kepada individu atau pertubuhan bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada keharmonian antara agama dan kaum di Singapura.

Dua buku edisi khas berjudul Buku Ulang Tahun ke-90 Jamiyah Singapura dan Keharmonian Antara Agama: Peranan dan Sumbangan Jamiyah juga dilancarkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan