Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah hulur sokongan tambahan kepada pelajar terkesan COVID-19, dedah Dr Faishal

Pemerintah bersedia untuk memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang mana proses dan pembangunan pembelajaran mereka terkesan akibat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah bersedia untuk memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang mana proses dan pembangunan pembelajaran mereka terkesan akibat COVID-19.

Ini termasuk dari segi kewangan dan emosi serta sokongan bahan pembelajaran apabila mereka kembali ke sekolah 29 Jun nanti.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim memberi jaminan itu dalam temu bual bersama BERITAmediacorp pada Khamis (18 Jun).

Sepanjang melakukan pembelajaran dari rumah (HBL), Kementerian Pendidikan (MOE) memastikan proses pembelajaran mereka tidak terganggu dan tidak seorang pun yang tertinggal dek faktor jurang digital.

Bahkan, Dr Faishal berkata MOE meluaskan beberapa sokongan kewangan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi dan Sekolah Pendidikan Khas (SPED) yang membawa manfaat kepada lebih 47,000 pelajar.

Ini termasuk lebih 20,000 komputer dipinjamkan kepada pelajar memerlukan dan bantu 1,600 mendapat akses Internet.

"Kami akan mempercepatkan penggunaan alat pembelajaran peribadi bagi sekolah menengah dari tahun 2028 ke tahun 2021. Jadi ini adalah satu, pada pendapat saya, inisiatif yang amat baik dan akan mendatangkan manfaat kepada ramai pelajar kita terutama kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah," ujar beliau.

Bagi memastikan kemampanan sokongan sedia ada, Dr Faishal memberitahu bahawa MOE sedang memantau situasi dan sedang bekerjasama dengan rakan-rakan dari badan-badan masyarakat lebih-lebih lagi bagi pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan berisiko.

Beliau menambah: "Ini adalah satu aspek yang kami mahu memberikan sokongan kepada semua pelajar kita. Jadi apa yang penting kita sebagai seorang warga Singapura memainkan peranan masing-masing. Pemerintah akan sentiasa memantau situasi dan jikalau sokongan tambahan diperlukan, kita akan melakarkannya."

Bagi lulusan baru dan pelajar yang bakal menamatkan pengajian tahun ini, Dr Faishal akur akan cabaran mendapat pekerjaan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Nasihat Dr Faishal adalah untuk mereka jangan sia-siakan peluang pekerjaan, latihan serta program latihan yang disediakan percuma oleh pemerintah.

"Kita juga mahu menyediakan warga kita untuk terus boleh membangunkan diri dengan secepat mungkin apabila krisis COVID-19 ini pulih dan ini akan memberi peluang kepada rakyat kita untuk membangunkan keluarga, kehidupan dan juga kerjaya mereka yang mereka idamkan," katanya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan