Pemerintah hulur pelbagai bantuan sokong syarikat uji produk baru, biaya projek 5G

Gambar: Facebook/ Janil Puthucheary
SINGAPURA: Syarikat-syarikat boleh kekal di hadapan dalam era digital yang berkembang pesat dengan melabur dalam penyelidikan dan inovasi.
Oleh itu, pemerintah telah menyediakan pelbagai khidmat bantuan bagi menyokong syarikat-syarikat untuk menguji produk-produk baru yang dihasilkan.
Ini termasuk projek-projek 5G di kemudahan uji cuba dan makmal milik pemerintah, kata Dr Janil Puthucheary, Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan.
"Sedang anda meneruskan usaha inovasi anda, manfaatkan sepenuhnya pelbagai geran, kemudahan uji cuba serta pusat inovasi yang telah kami sediakan, bagi memperhalusi produk yang dihasilkan, mengoptimumkannya sebelum dilancarkan kepada pasaran," ujar Dr Janil Puthucheary.
Dr Puthucheary berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran pusat kawalan terbaru milik syarikat keselamatan dan pengawasan berteknologi tinggi, Oneberry Technologies.
Syarikat tempatan itu telah melabur lebih S$10 juta dalam bidang seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI) sepanjang dua tahun lalu.
Kemudahan terbaru ini dikawal sistem pertahanan siber terkini, termasuk robot-robot yang boleh mengesan sebarang keganjilan seperti usaha menceroboh masuk selepas waktu kerja.
Ia kemudian akan memberi amaran kepada pegawai keselamatan.
Menurut syarikat Oneberry, pusat kawalan itu dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang meningkat bagi keselamatan siber.
Ini memandangkan, ancaman siber di Singapura telah meningkat lebih seganda tahun lalu, tambahnya.
Syarikat itu turut memanfaatkan program Enterprise Singapore (ESG) untuk menyediakan khidmat serupa di lebih 30 negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.