Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah harap dapat umum keputusan isu tudung di Rapat Umum Hari Kebangsaan: PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau berharap dapat mengumumkan keputusan berkaitan pemakaian tudung bagi para jururawat Muslim semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah harap dapat umum keputusan isu tudung di Rapat Umum Hari Kebangsaan: PM Lee

PM Lee bersama para pemimpin Melayu/Islam S'pura susuli satu dialog tertutup pada 10 Apr 2021 (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau berharap dapat mengumumkan keputusan berkaitan pemakaian tudung bagi para jururawat Muslim semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos ini.

Menurut beliau lagi, Pemerintah memahami hasrat masyarakat Melayu/Islam berkenaan isu tudung dan mahu mereka mengamalkan agama dan budaya mereka sebaik mungkin.

PM Lee mendedahkan demikian kepada para wartawan hari ini (10 Apr) selepas menghadiri satu sesi dialog tertutup bersama 70 pemimpin Melayu/Islam bagi membincangkan isu tudung.

"Perbincangan tadi sangat bernas dan membantu Pemerintah membawa perbincangan mengenai isu tudung ke tahap seterusnya," kata Encik Lee sebagai merumuskan perbincangan dalam sesi dialog itu.

"Saya harap untuk umumkan keputusan Pemerintah bagi para jururawat Muslim kita, di Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti."

Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini dijangka akan diadakan pada penghujung bulan Ogos ini.

PANDANGAN MASYARAKAT TERHADAP TUDUNG SUDAH BERUBAH: PM LEE

Di penghujung sesi dialog tertutup PM Lee berkata: “Saya memberitahu mereka (pemimpin masyarakat) bahawa saya sudah merumuskan bahawa kita perlu bersiap sedia untuk mengambil langkah sedemikian untuk para jururawat, kerana pandangan orang sudah berubah, kerana dalam suasana sosial dan bekerja, pemakaian tudung kini sudah semakin lazim.

"Dan secara sendirinya, kami dapat melihat sebab baik membenarkan... jururawat Muslimah memakai tudung bersama seragam mereka jika mereka inginkan."

Beliau menambah bahawa para pemimpin masyarakat tahu Pemerintah sudah cukup lama mempertimbangkan untuk membenarkan pemakaian tudung dalam kalangan jururawat Muslimah kerana Pemerintah selama ini "mendampingi dan berbincang dengan mereka secara tertutup".

"PERSIAPKAN LAPANGAN": PM LEE

Namun sebelum perubahan itu dapat dibuat, Pemerintah perlu "mempersiapkan orang ramai", kata Perdana Menteri.

"Kita harus memastikan bahawa semua orang memahami bahawa ini adalah penyesuaian yang teliti. Bukan perubahan secara pukal, dan kami ingin orang tahu apa hadnya, sedang kami melakukan perubahan ini,” tambah Encik Lee.

"Dan kita harus memastikan bahawa rakyat Singapura, baik Muslim mahupun bukan Muslim, sudah bersedia menerima langkah itu."

Proses ini akan “memakan sedikit masa”, dan Encik Lee meminta para pemimpin masyarakat untuk membantu Pemerintah dalam proses tersebut dalam beberapa bulan akan datang.

PM Lee Hsien Loong (Gambar: MCI)

(Gambar: MCI)

Dalam sesi dialog hari ini, Encik Lee memberitahu bahawa mereka berbincang dengan tenang dan terus terang.

"Dalam membolehkan para jururawat untuk memakai tudung, kami harus berhati-hati. Semestinya, perubahan yang mahu diperkenalkan harus
memperkukuhkan ruang bersama bukan mengecilkan. Kami tidak mahu timbul salah faham atau kesan buruk lain yang tidak diingini, yang boleh menggugat keharmonian negara kita," jelas Encik Lee.

Oleh yang demikian, beliau berkata bahawa pemerintah mahu terus mendekati masyarakat Melayu/Islam dan memantau kesediaan rakyat Singapura secara amnya.

Ini termasuk masyarakat bukan Islam, para jururawat dan pihak hospital untuk melaksanakan perubahan demikian.

Encik Lee juga merakamkan penghargaannya buat para peserta sesi dialog hari ini dan sesi-sesi lain sebelum ini kerana membantu Pemerintah menerangkan dan menangani isu ini.

Kali terakhir Encik Lee mengadakan sesi dialog tertutup mengenai isu tudung adalah pada 2014.

“Kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Ini adalah keseimbangan yang halus, tetapi kami komited sepenuhnya untuk menjaga keharmonian kita, dan untuk menjaga ruang bersama kita,” tambah PM Lee pada Sabtu.

"Kami ingin mengelakkan natijah-natijah yang tidak disengajakan... ketika kita mengambil langkah-langkah yang berniat baik."

"TIDAK BOLEH TERBURU-BURU BUAT KEPUTUSAN": MASAGOS

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata bahawa dialog hari ini bersifat "membina dan jujur" dan bahawa pemimpin masyarakat harus mendengar apakah pendirian dan pertimbangan Pemerintah.

Beliau menambah bahawa ada pemahaman bersama bahawa isu itu mesti ditangani dengan berhati-hati kerana ia melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

"Oleh itu, kita tidak boleh terburu-buru membuat keputusan. Intipati masalah ini adalah bagaimana kita boleh mencapai keseimbangan yang baik dalam membiarkan jururawat kita mengenakan tudung dengan seragam mereka, supaya keputusan ini dapat meraih sokongan dari segenap masyarakat, menjaga ruang bersama dan pada masa yang sama mengukuhkan perpaduan sosial kita," kata Encik Masagos.

"BUKAN HANYA TENTANG PERMINTAAN MASYARAKAT ISLAM"

Encik Masagos menambah bahawa dengan melakukan sedemikian, Pemerintah berharap dapat menyokong permintaan jururawat untuk mengenakan tudung dengan pakaian seragam mereka.

"Kami tahu, kami bersimpati bahawa mereka ingin menjalani kehidupan beragama yang bermakna setiap hari, kerana ini juga identiti agama mereka," kata menteri itu.

"Keharmonian antara kaum dan agama kita sangat berharga dan masyarakat Melayu/Islam akan melindungi ini bersama-sama dengan rakyat Singapura yang lain. Kami akan terus melibatkan warga Singapura mengenai perkara ini.

"Saya berharap dapat mendapatkan sokongan semua orang ketika kita memikirkan isu ini, dan berusaha mencapai hasil yang dapat diterima oleh semua warga Singapura."

Encik Masagos Zulkifli (Gambar: MCI)

(Gambar: MCI)

Encik Masagos menambahkan bahawa Pemerintah "sentiasa bersikap empati" terhadap permintaan jururawat untuk memakai tudung dengan seragam mereka.

"Namun kita harus berhati-hati, kerana ini bukan hanya mengenai permintaan masyarakat Muslim saja. Sebarang langkah, perubahan dalam masyarakat kita harus (dilakukan) dengan sangat hati-hati, kerana melibatkan interaksi dengan orang lain,” tambahnya.

Beliau berkata ia merupakan pendekatan "seluruh pemerintah" dan ia sedang mendekati "setiap pihak berkepentingan" dalam hal ini.

Sebelum ini, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengadakan satu dialog bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada 23 Mac lalu. Di sesi itu, Encik Shanmugam berkongsi bahawa Pemerintah melihat adanya sebab-sebab baik untuk para jururawat dibenarkan memakai tudung di tempat kerja jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

IMBANGI KEPERLUAN AGAMA: MUFTI

Selepas sesi dialog pada Sabtu (10 Apr) Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata bahawa isu tudung juga adalah berhubung mengimbangi keperluan agama masyarakat yang berbeza-beza.

"Sebagai contoh, dalam hal ini, keperluan jururawat Muslimah yang memilih untuk mengenakan tudung, sambil mengekalkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi antara masyarakat," jelasnya.

"Oleh itu, perbincangan antara Pemerintah dengan pemimpin masyarakat dan pemimpin agama sangat penting bagi kita untuk mempertimbangkan sudut pandang yang lengkap, serta konteks untuk pertimbangan relevan sebelum mengorak langkah menggubal dasar."

Beliau menekankan adalah amat penting bahawa mereka "tidak mengambil langkah yang boleh melemahkan" perpaduan sosial Singapura, tetapi sebaliknya terus memperkukuhnya dan "memperluas ruang bersama kita".

"Saya rasa berkat kerja keras masyarakat kita dalam menjalin kepercayaan dan keyakinan yang lebih kukuh, kita kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk terus maju dengan perubahan seperti itu, dan saya harap kita akan terus memberikan sokongan, bekerjasama dengan agensi-agensi relevan untuk memastikan peralihan dasar ini hanya akan menghasilkan masyarakat yang lebih teguh dan lebih bersatu," ujar Dr Nazirudin

Cik Rahayu Mohamad, seorang anggota lembaga MUIS dan mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), berkata golongan Muslimah yang ingin "mengamalkan tuntutan agama" itu akan mengalu-alukan langkah tersebut.

"Wanita yang kami hubungi adalah berpelajaran dan peka, dan sebab mengapa mereka masih dalam sektor-sektor ini adalah kerana mereka memahami dan (memahami) dengan sangat mendalam pilihan yang mereka lakukan," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/TQ/ha/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan