Pemerintah gandakan jumlah tokokan ke dalam CDA kepada S$6,000 bagi anak kedua
Ibu bapa yang mempunyai anak kedua dilahirkan mulai tahun ini akan mendapat lebih banyak sokongan kewangan menerusi Akaun Pembangunan Anak (CDA).
SINGAPURA: Ibu bapa yang mempunyai anak kedua dilahirkan mulai tahun ini akan mendapat lebih banyak sokongan kewangan menerusi Akaun Pembangunan Anak (CDA).
Pemerintah akan menggandakan jumlah maksimum tokokannya ke dalam CDA daripada S$3,000 kepada S$6,000 bagi anak kedua yang merupakan rakyat Singapura.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah mengumumkannya di Parlimen pada Jumaat (26 Feb)
Perubahan itu meliputi anak kedua yang dijangka atau dilahirkan pada atau selepas 1 Januari lalu.
Kira-kira 12,000 bayi akan mendapat manfaatnya setiap tahun, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Pada masa ini tokokan maksimum Pemerintah ke dalam CDA bagi anak pertama dan kedua, adalah sama, sebanyak S$3,000.
Selain itu setiap anak juga akan mendapat Geran Langkah Pertama CDA sebanyak S$3,000 yang terus dimasukkan ke dalam CDA.
Dengan peningkatan itu, jumlah sumbangan maksimum Pemerintah ke dalam akaun CDA anak kedua akan naik kepada S$9,000.
"Saya dengar dari pasangan Singapura yang berkongsi kerisauan mereka mengenai kos mempunyai anak kedua, meskipun mereka sangat menginginkannya," kata Cik Indranee, yang juga menyelia Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD).
Beliau menambah: "Kami berharap meski berlaku pandemik sekarang, warga Singapura akan terus berusaha untuk mencapai matlamat untuk berkeluarga, dan kami menyokong mereka."
Wang dalam CDA hanya boleh digunakan bagi keperluan pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk anak dan berlainan daripada Bonus Bayi yang diterima setiap anak.
Anak ketiga dan keempat mendapat sehingga dengan S$9,000 daripada Pemerintah, sementara anak kelima dan seterusnya mendapat sehingga S$15,000.
Ibu bapa perlu memasukkan wang ke dalam CDA anak mereka sebelum mendapatkan tokokan jumlah yang sama daripada Pemerintah.
PMO menyatakan 90 peratus rakyat Singapura yang mendirikan rumah tangga mahu mempunyai sekurang-kurangnya dua anak.
Namun semakin ramai yang memilih mempunyai hanya seorang anak.
SOKONGAN BAGI BAPA DAN IBU ANGKAT
PMO juga mengumumkan bahawa bapa dan ibu angkat yang ketika ini tidak layak mendapat cuti bapa atau anak angkat boleh menerima wang tunai sebagai ganti cuti berbayar, di bawah faedah bapa atau anak angkat baru yang dibayar oleh Pemerintah.
"Kumpulan ibu bapa ini mungkin mempunyai kontrak pekerjaan jangka pendek atau mempunyai kontrak pekerjaan yang berakhir sebelum anak mereka dilahirkan atau dijadikan anak angkat, dan oleh itu tidak mendapat manfaat daripada cuti bapa atau anak angkat," kata PMO.
Sama seperti faedah bersalin yang dibayar Pemerintah, skim baru ini akan memberi faedah tunai kepada ibu bapa sebagai ganti cuti berbayar.
Anak tersebut harus dilahirkan pada atau selepas 1 Januari 2021, sama seperti hasrat untuk mengambil anak angkat itu jatuh pada atau selepas 1 Januari 2021.
Untuk layak, ibu bapa harus telah bekerja selama sekurang-kurangnya 90 hari dalam 12 bulan sebelum kelahiran anak mereka atau niat rasmi untuk mengambil anak angkat.
Kira-kira 500 bapa yang bekerja dan ibu angkat akan mendapat manfaat setiap tahun, kata Cik Indranee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.