Pemerintah dibenar guna rizab S$6 bilion biaya perbelanjaan COVID-19 negara
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob meluluskan pemerintah untuk menggunakan S$6 bilion daripada rizab yang lalu untuk membiayai "pendekatan pelbagai serampang" untuk terus menyokong perbelanjaan kesihatan awam COVID-19 negara.
"Walaupun kita sedang bersiap sedia untuk beralih ke arah norma baru, ia bukan masanya untuk mengurangkan usaha dalam aspek-aspek seperti ujian, pengurusan klinik, vaksinasi dan rawatan," menurut Presiden Halimah dalam satu catatan di Facebook hari ini (23 Mac), setelah meluluskan secara rasmi Rang Undang-Undang Perbekalan untuk tahun kewangan (FY) 2022.
Beliau berkata ini merupakan tahun ketiga negara perlu menggunakan rizab negara untuk mengharungi COVID-19.
"Penggunaan ini tidak dapat dielakkan kerana kita harus mendapatkan sumber yang mencukupi demi melindungi Singapura dan ekonomi kita," menurutnya.
Sewaktu menyampaikan kenyataan Belanjawan bulan lalu, Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata bahawa jumlah keseluruhan rizab negara yang harus digunakan antara FY2020 hingga FY2022 adalah sehingga S$42.9 bilion, iaitu jumlah yang lebih rendah berbanding jumlah S$52 bilion yang dipersetujui bagi FY2020.
"Saya yakin Pemerintah bijak dalam menggunakan Rizab Negara dan melaksanakan langkah-langkah yang amat diperlukan untuk penduduk dan perniagaan kita," menurut Presiden Halimah.
Apabila meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan itu, Presiden Halimah menyatakan beliau diberikan saranan-saranan oleh Majlis Penasihat Presiden (CPA) setelah mempertimbangkan maklumat yang disediakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) tentang Belanjawan 2022.
"Dengan semangat dan kerjasama daripada semua, saya yakin kita akan sekali lagi mengharungi gelombang Omicron COVID-19 ini dan mempertingkatkan daya tahan kita sebagai sebuah negara," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.