Skip to main content

Singapura

Pemerintah cari huraian bagi 'senario terburuk' untuk penuntut SG Universiti Harvard: Vivian Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah cari huraian bagi 'senario terburuk' untuk penuntut SG Universiti Harvard: Vivian Balakrishnan

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Amerika Syarikat pada Sabtu, 7 Jun 2025. (Gambar: MFA)

Diterbitkan : 07 Jun 2025 03:05PM Dikemas Kini : 07 Jun 2025 06:09PM
SINGAPURA: Singapura sedang berusaha mencari huraian untuk menangani "senario terburuk" yang mana para penuntut Universiti Harvard dari Singapura tidak dapat belajar secara fizikal di Boston, kata Menteri Hal Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Sabtu (7 Jun).

Kementeriannya akan terus mendapatkan penjelasan mengenai visa pelajar antarabangsa dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, katanya kepada wartawan, walaupun beliau tidak memberi jaminan bahawa perkara itu akan dapat diselesaikan tepat pada masanya.

Dr Balakrishnan pada Sabtu menyempurnakan lawatan kerja empat hari ke Washington DC. Ini merupakan lawatan peringkat menteri yang pertama ke Amerika Syarikat sejak kedua-dua negara memilih pemerintah baharu.  

Keupayaan Harvard untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa terjejas bulan lalu selepas pemerintah Amerika Syarikat menyatakan ia akan menyekat universiti itu daripada menerima penuntut asing, sekali gus menjejaskan rancangan pengajian.  

Walaupun semua pelajar Singapura dijangka terjejas oleh isu visa dan kemungkinan kelewatan dalam pemprosesan permohonan mereka, mereka yang belajar di Harvard mempunyai "kebimbangan terbesar", dan duta Singapura ke Amerika Syarikat, Encik Lui Tuck Yew, mengadakan sesi perhimpunan secara maya dengan mereka.  

"Kami juga sedang berusaha mencari huraian untuk menangani senario terburuk di mana mereka tidak akan dapat belajar secara fizikal di Boston," kata Dr Balakrishnan, sambil menambah bahawa kementerian mempunyai beberapa idea tentang cara untuk membantu para pelajar menangani keadaan itu "tanpa menjejaskan kemajuan akademik dan profesional mereka".

Mereka yang belum berada di Amerika Syarikat dan belum mendapatkan visa mungkin perlu mempunyai rancangan sandaran, katanya.

"Tetapi perkara utama saya ialah kami akan terus berhubung, dan kami akan terus memaklumkan anda."

Sebuah mahkamah pada Khamis memutuskan bahawa kerajaan tidak boleh menguatkuasakan langkah terbaharu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghalang kebanyakan pelajar antarabangsa baharu di Harvard daripada memasuki negara itu, berikutan tindakan undang-undang oleh universiti tersebut.  

Selain Harvard, Reuters juga melaporkan bulan lalu bahawa Amerika Syarikat mengarahkan pejabat konsularnya untuk berhenti menjadualkan temu duga visa baharu untuk pelajar dan pelawat pertukaran.

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk memberi sebarang jaminan bahawa ini akan diselesaikan tepat pada masanya," kata Dr Balakrishnan, apabila ditanya mengenai pelan luar jangka yang dirancang untuk pelajar Singapura.

Beliau menyatakan bahawa sekarang sudah bulan Jun, dan tahun akademik di Amerika Syarikat biasanya bermula pada bulan Ogos.

"Kita perlu memerhatikan perkembangan ini, tetapi yakinlah bahawa kami akan terus melakukan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mendapatkan penjelasan, mendapatkan kepastian ... (dan) selepas itu, memberi nasihat khusus kepada pelajar kita," katanya.

Dr Balakrishnan berkata beliau berharap akan ada penjelasan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam beberapa hari akan datang, tetapi ini adalah isu-isu politik dalaman.

"Situasi yang dihadapi oleh pelajar kita tidak terhad kepada Singapura, tetapi sememangnya kepada semua pelajar antarabangsa," katanya. "Ia tidak ditujukan kepada kita. Namun begitu, anda boleh terjejas sebagai kerosakan sampingan."

Beliau menambah bahawa adalah demi kepentingan kedua-dua negara untuk terus membuka peluang kepada rakyat Singapura yang ingin belajar dan juga bekerja di Amerika Syarikat.

"Saya berharap kita akan dapat mencari penyelesaian yang sesuai untuk pelajar kita yang ingin merebut peluang pendidikan di Amerika Syarikat."

"TIADA HALANGAN"

Dr Balakrishnan juga berkata tiada cabaran dalam berinteraksi dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat semasa lawatannya.

"Tiada halangan atau rintangan dalam berinteraksi dengan pihak Amerika ... Kami bergaul dengan cara kami yang biasa, secara langsung dan membina," katanya, sambil menambah bahawa tiada kebimbangan dari segi itu.

"Kebimbangannya ialah kita telah sampai ke penghujung sebuah orde dunia yang telah wujud selama 80 tahun, dan kita kini berada dalam tempoh peralihan ke sebuah orde dunia yang baharu."

Singapura sudah mendapat manfaat daripada perdagangan terbuka dan aliran bebas pelaburan serta orde berasaskan peraturan pelbagai hala, katanya.

"Itu jelas sedang berubah, dan masa yang paling berbahaya adalah 'interregnum' – tempoh peralihan dari satu orde dunia ke orde dunia yang berikutnya. Itulah sebabnya ini adalah masa di mana kita perlu berwaspada, kita perlu membuka mata dan telinga kita, dan kita perlu bertindak balas dengan segera dan pantas terhadap perubahan."

Adalah penting juga untuk berinteraksi dengan kerap, secara jujur, terbuka dan membina, terutamanya dengan sebuah kuasa besar yang mempunyai "kepentingan strategik yang besar kepada kita", katanya.

Sebagai respons kepada soalan mengenai perkembangan perbincangan tarif, Dr Balakrishnan berkata ia akan mengambil masa kerana Amerika Syarikat sedang meneliti beberapa pusingan rundingan dengan rakan-rakan dagangnya.

Berdasarkan perbualan dengan para senator dan ahli Kongres daripada dua parti politik utama Amerika Syarikat, masih terdapat pengiktirafan bahawa perdagangan, pelaburan, perlindungan harta intelek, kebolehpercayaan dan keselamatan rantaian bekalan adalah isu-isu penting, katanya.

"Jangan hanya melihat angka utama tarif, sebaliknya fikirkan tentang pertimbangan utama dan kebimbangan para penggubal dasar di seluruh dunia," katanya.

Para perunding dari negara yang berbeza perlu menggunakan budi bicara dan berhati-hati dalam cara mereka berusaha untuk memelihara dan melindungi kepentingan negara masing-masing.

"Jika semua orang berkeras dan semua orang menganggap yang terburuk, kita boleh berada dalam situasi yang jauh lebih parah," katanya. "Adalah lebih baik untuk mengambil masa, mempertimbangkan dengan teliti keadaan domestik anda dan kemudian berunding."
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita