Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah biaya sepenuhnya bil perubatan COVID-19 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah

Pemerintah akan membiayai sepenuhnya bil perubatan COVID-19 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak melakukan perjalanan ke luar negara baru-baru ini tidak kira status vaksinasi mereka, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (10 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah biaya sepenuhnya bil perubatan COVID-19 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah

Seorang kanak-kanak perempuan menggenggam erat anak patungnya ketika mendapatkan suntikan vaksin pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

Diterbitkan : 10 Jan 2022 02:17PM Dikemas Kini : 10 Jan 2022 03:14PM

SINGAPURA: Pemerintah akan membiayai sepenuhnya bil perubatan COVID-19 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak melakukan perjalanan ke luar negara baru-baru ini tidak kira status vaksinasi mereka, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (10 Jan).

Ini tertakluk kepada kanak-kanak yang merupakan rakyat Singapura, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang.

"Buat masa ini tiada rancangan untuk memperkenalkan langkah pengurusan selamat vaksinasi dibezakan (VDS) bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah dalam masyarakat, dan sekitaran awam, prasekolah serta sekolah," kata Encik Ong di Parlimen.

"Ini disebabkan oleh beberapa sebab, khususnya, kanak-kanak kurang kemungkinan menghidap penyakit teruk apabila dijangkiti, dan kami mahu mengekalkan sebanyak mungkin akses kepada pendidikan menyeluruh untuk kanak-kanak," katanya.

Walaupun Singapura mempunyai sistem "tegas" bagi langkah pengurusan selamat vaksinasi dibezakan, peraturan ini "lebih longgar" bagi kanak-kanak, kata Encik Ong.

KESAN SAMPINGAN VAKSINASI TERHADAP KANAK-KANAK

Sejak bermulanya program vaksinasi nasional bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, Kementerian Kesihatan (MOH) belum menerima sebarang laporan mengenai kesan sampingan serius atau miokarditis dalam kalangan kumpulan kanak-kanak itu setakat 7 Januari.

Memberi perkembangan itu di Parlimen, Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary berkata: "Kami ingin memberi jaminan kepada ibu bapa dan setiap orang bahawa semua pusat vaksinasi paediatrik kita dilengkapi dengan peralatan pemantauan paediatrik dan resusitasi, dan kakitangan perubatan dilatih untuk mengendalikan sebarang kecemasan yang timbul kerana tindak balas alahan.

"Kebanyakan kesan sampingan yang dialami kanak-kanak selepas divaksin adalah kesan ringan - rasa kebas di tempat suntikan, rasa letih dan demam, dan ia lazimnya reda dalam masa beberapa hari."

Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech/Comirnaty dinilai sebagai selamat oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan jawatankuasa pakar vaksinasi COVID-19, kata Dr Puthucheary.

Ini disokong data antarabangsa - di Amerika Syarikat di mana sekitar 8.7 juta dos vaksin diberikan kepada kanak-kanak setakat Disember, 2.4 peratus daripada kanak-kanak itu mengalami kesan sampingan serius seperti demam, muntah-muntah, miokarditis dan sawan, katanya.

Kemungkinan berlaku miokarditis adalah sekitar satu dalam sejuta dos, katanya.

"Sebaliknya, kes berlaku miokarditis dalam kalangan individu berusia 12 hingga 17 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah sekitar 45 bagi setiap 100,000 jangkitan," katanya.

Setakat 7 Januari, sekitar 123,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Singapura sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau menempah slot vaksinasi mereka, kata Dr Puthucheary.

Kanak-kanak rakyat Singapura, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang juga diberi perlindungan di bawah Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin (VIFAP), katanya.

Memandangkan hanya vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech/Comirnary diluluskan bagi kanak-kanak bawah usia 18 tahun, pengecualian khas diberikan kepada mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak layak dari segi perubatan agar mendapatkan vaksin, untuk menerima vaksin Sinovac-CoronaVac, katanya.

Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan jawatankuasa pakar vaksinasi COVID-19 untuk menyemaknya jika ini akan dilanjutkan kepada kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun yang juga tidak layak dari segi perubatan untuk menerima vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, katanya.

Pada masa ini tidak ada cadangan bagi kanak-kanak untuk mendapatkan dos penggalak, kata Dr Puthucheary.

"Jika diperkenalkan, MOH akan terus memastikan bahawa keluarga dengan kanak-kanak dapat mengakses khidmat vaksinasi dengan mudah," katanya.

Dr Puthucheary juga menjawab pertanyaan tentang kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda.

Dalam kalangan mereka yang berusia 12 hingga 19 tahun, kurang 4 peratus, atau 14,097 individu belum divaksin setakat 6 Januari, katanya.

14 daripada mereka tidak layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech/Comirnaty.

"Vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan bantu melindungi lebih ramai anggota masyarakat daripada risiko menghidap penyakit teruk akibat jangkitan COVID-19 dan dapat terus mengurangkan risiko penularan dalam masyarakat," kata Dr Puthucheary.

"Kami sangat menggesa ibu bapa dan waris supaya membenarkan anak mereka yang layak dari segi perubatan untuk dapatkan vaksin apabila ia ditawarkan kepada mereka."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan