Pemerintah besar kemungkinan ubah dasar pemakaian tudung bagi jururawat: Shanmugam
Pemerintah melihat sebab-sebab yang baik mengapa para jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.
SINGAPURA: Pemerintah melihat sebab-sebab yang baik mengapa para jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.
Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata demikian dalam satu dialog dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) lewat Selasa (23 Mac).
Encik Shanmugam berkata beliau sudah menyatakan perkara tersebut semasa pertemuannya dengan para pegawai Pergas dan tiga tokoh agama, Ustaz Ali Haji Mohamed, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Ustaz Pasuni Maulan sekitar enam bulan lalu, iaitu pada 31 Ogos 2020 dalam satu sidang tertutup di Masjid Khadijah.
Dalam pertemuan itu, Encik Shanmugam berkata Pemerintah sedang membincangkan isu tersebut dan setelah itu, besar kemungkinan pandangan Pemerintah akan berubah.
Memberikan perkembangan terkini mengenai isu pemakaian tudung dalam kalangan jururawat, Encik Shanmugam berkata perbincangan sedang dijalankan dengan anggota masyarakat dan juga pihak-pihak lain, dalam sidang tertutup.
Menteri Masagos dan Menteri Maliki bercakap mengenai perkara ini di Parlimen.
Menteri Masagos berkata Pemerintah memahami para jururawat yang ingin memakai tudung.
Beliau menambah bahawa isu-isu ini sedang dibincangkan dengan para anggota masyarakat dan juga pihak-pihak lain, dalam sidang tertutup.
Ini adalah benar.
Perbincangan memang sedang berjalan," kata Encik Shanmugam.
Menjawab pertanyaan Pengerusi Bersama RRG Ustaz Mohamad Hasbi Hassan. beliau berkata: "Saya memberitahu anda dengan terus terang: Kami boleh melihat sebab-sebab yang baik mengapa para jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.
"Saya berkata bahawa isu ini sedang kami bincangkan. Dan setelah itu, besar kemungkinan pandangan kami akan berubah," kata Encik Shanmugam.
Beliau menambah pemerintah sedang berunding dengan anggota masyarakat sebelum membuat perubahan dan "itu adalah pendirian Pemerintah".
"Kami juga telah berbincang dengan MUIS, dan mengambil kira pandangan mereka. Ini amat membantu kami," ujarnya lagi.
Encik Shanmugan berkata dalam pertemuan mereka enam bulan lalu, beliau menjelaskan isu tudung berkait dengan faktor-faktor lain.
Oleh itu, Pemerintah perlu menilai pertimbangan yang berbeza dan membandingkannya antara satu sama lain dan mencapai satu keputusan.
Dalam banyak sektor dan jabatan Pemerintah, dalam kebanyakan sektor penjagaan kesihatan, malah Presiden Singapura juga memakai tudung, kata Encik Shamugam, sambil menambah di Parlimen, ada Anggota Parlimen yang memakai tudung.
Beliau juga berkata, "jika anda melihat isu jururawat memakai tudung hanya dari sudut itu sahaja, ia tidak akan menjadi satu isu. Peraturan pasti sudah lama diubah".
"Tetapi, isu ini berkait dengan faktor-faktor lain. Jadi kami perlu membuat pertimbangan yang teliti. Saya telah menjelaskan apa yang saya maksudkan. Dan kami perlu menilai pertimbangan yang berbeza dan membandingkannya antara satu sama lain dan mencapai satu keputusan," ujar Encik Shanmugam.
PENJELASAN TENTANG KENYATAAN MASAGOS DI PARLIMEN
Menurut Encik Shanmugam lagi, ini sejajar dengan apa yang disampaikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Parlimen.
Di Parlimen pada 8 Mac lalu, Encik Masagos mengatakan bahawa "Pemerintah memahami" dan hal ini sedang dibincangkan.
"Ia bermakna kami memahami perasaan mereka yang inginkan para jururawat dibenarkan memakai tudung. Ia suatu isyarat bahawa ada fleksibiliti. Beliau tidak berkata 'tidak boleh'," jelas Encik Shanmugam.
"Malangnya, banyak salah faham timbul tentang apa yang Menteri Masagos dan Menteri Maliki katakan. Petunjuk yang paling jelas tentang pendirian kami adalah apa yang saya terangkan kepada anda enam bulan lalu," kata Encik Shanmugam, merujuk kepada sidang tertutup pada 31 Ogos lalu.
Menurut Encik Shanmugam lagi, beliau dan Encik Masagos menyatakan pendirian Pemerintah.
Namun, oleh kerana Encik Masagos berucap di ruang awam iaitu Parlimen, apa yang beliau sampaikan haruslah lebih bersifat umum.
"Manakala saya dapat lebih berterus-terang dengan anda, dalam perbincangan secara peribadi," ujar Encik Shanmugam.
Beliau menambah, perbincangan dengan anggota masyarakat sedang diteruskan dan akan "mengambil masa beberapa bulan lagi".
"Perdana Menteri juga akan bertemu dengan para pemimpin masyarakat. Apabila perbincangan selesai, Pemerintah akan mengumumkan keputusannya," kata Encik Shanmugam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.