Pemerintah berusaha dapatkan semula S$86.2 juta geran COVID-19 terlebih bayar

Gambar: CNA/Hanidah Amin
SINGAPURA: Kementerian Kewangan dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) sedang berusaha mendapatkan semula numlah terlebih bayar sebanyak S$86.2 juta bagi tiga geran COVID-19.
Demikian menurut pihak berkuasa pada Rabu (19 Jul).
Laporan Pejabat Juruaudit Negara (AGO), yang dikeluarkan pada Rabu, meneliti tiga skim geran utama COVID-19 itu iaitu Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), Geran Tunai Sewa (RCG) dan Skim Bantuan Sewa (RSS).
Meskipun laporan audit AGO itu mendapati skim-skim tersebut dilakarkan baik dengan kawalan diperlukan dilaksanakan, ia mengenal pasti beberapa kelemahan dalam proses operasi dan bidang untuk diperbaiki.
"Berhubung kelemahan dalam proses operasi, MOF dan IRAS telah mengambil langkah untuk menyiasat dan mendapatkan semula terlebih bayaran itu," kata agensi-agensi tersebut.
MOF dan IRAS telah mendapatkan semula sekitar 99.7 peratus jumlah terlebih bayaran itu dan sedang bekerja dengan entiti-entiti tersebut untuk mendapatkan semula bakinya.
Jumlah yang perlu didapatkan semula - S$86.2 juta - adalah kurang daripada 0.5 peratus jumlah diagihkan bagi tiga skim tersebut.
"Singapura menghadapi gangguan besar semasa pandemik COVID-19. Pemerintah memperkenalkan tindak balas yang belum pernah dilakukan sebelum ini dari segi saiz, skop dan cepatnya usaha membantu perusahaan dan pekerja kami," kata MOF dan IRAS.
"Agensi-agensi awam dikendalikan dalam keterbatasan waktu dan terpaksa menguruskan gelombang perancangan, pelaksanaan dan semakan dasar yang bertindih."
Selain tiga skim COVID-19, laporan AGO tersebut juga membangkitkan isu mengenai skim Baucar SingapoRediscover, termasuk baucar itu diberikan kepada individu dan pekedaiyang tidak memenuhi kriteria kelayakan. Skim itu diperkenalkan pada 2020 dan diuruskan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Secara keseluruhannya, pemerintah membelanjakan S$72.3 bilion bagi COVID-19 untuk Tahun Kewangan 2020/21 dan Tahun Kewangan 2021/22.
SKIM BAUCAR SINGAPOREDISCOVERS
Laporan tersebut menyatakan STB telah melaksanakan beberapa amalan baik untuk mengendalikan penebusan dan pemprosesan transaksi baucar.
Ia bagaimanapun menarik perhatian bahawa terdapat kawalan tidak mencukupi ke atas peniaga dan produk yang dijual di bawah skim tersebut.
Pemberian baucar tersebut juga dibuat kepada individu yang tidak layak, termasuk warga Singapura yang mungkin telah membuat pengisytiharan palsu semata-mata untuk menikmati subsidi bagi kanak-kanak atau belia.
Dalam satu kenyataan media berasingan, STB menyatakan bahawa ia sudah mengambil langkah untuk menyemak semula dan mengetatkan lagi prosesnya berdasarkan pemerhatian audit yang dibuat oleh AGO.
SKIM BANTUAN PEKERJAAN
AGO sedia maklum bahawa meski diberikan jangka masa yang pendek bagi pelaksanaan skim tersebut, MOF dan IRAS telah melaksanakan beberapa amalan baik bagi memastikan skim geran tersebut dilaksanakan mengikut objektif dan pembayaran geran itu diberi kepada penerima yang diinginkan.
Ia bagaimanapun menyatakan MOF dan IRAS boleh memperbaikinya dengan memastikan terdapat dokumen mencukupi bagi pertimbangan dan keputusan utama berikutan penilaian risiko semasa peringkat skim tersebut dibangunkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.