Skip to main content

Singapura

Pemerintah beri rebat cukai hartanah hingga 15% bagi kediaman yang didiami pemilik pada 2026

Pemerintah akan menyediakan rebat cukai hartanah sekali sahaja sehingga 15 peratus pada 2026 bagi kediaman yang didiami pemilik, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Jumaat (28 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah beri rebat cukai hartanah hingga 15% bagi kediaman yang didiami pemilik pada 2026
Kediaman privet dan blok HDB di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Diterbitkan : 28 Nov 2025 02:25PM
SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan rebat cukai hartanah sekali sahaja sehingga 15 peratus pada 2026 bagi kediaman yang didiami pemilik, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Jumaat (28 Nov).

Semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang didiami pemilik akan menerima rebat cukai hartanah sebanyak 15 peratus. Kediaman privet yang didiami pemilik akan menerima rebat sebanyak 10 peratus, dihadkan pada S$500.

“Langkah ini akan membantu meredakan kenaikan (cukai hartanah) bagi rakyat Singapura, di tengah-tengah pasaran sewaan kediaman yang sederhana dengan peningkatan kecil dari segi sewaan,” menurut MOF dan IRAS dalam satu kenyataan media bersama.

Rebat cukai hartanah juga diberikan pada 2025 - sebanyak 20 peratus untuk flat HDB yang didiami pemilik dan 15 peratus untuk kediaman privet yang didiami pemilik, dihadkan pada S$1,000.

Bagi 2026, pemilik-penghuni flat HDB tiga bilik dan lebih besar akan melihat kenaikan purata cukai hartanah bulanan sebanyak S$2 hingga S$3, manakala pemilik-penghuni flat HDB satu dan dua bilik masih tidak perlu membayar cukai hartanah.

Separuh daripada pemilik-penghuni hartanah privet akan dikenakan kenaikan cukai hartanah kurang daripada S$6 sebulan. Baki selebihnya akan melihat kenaikan cukai hartanah yang lebih tinggi, yang biasanya melibatkan hartanah privet bernilai tinggi.

Semua pemilik hartanah akan menerima bil cukai hartanah 2026 mereka pada Disember. Bil dihantar secara berperingkat, dan sesetengah pemilik hartanah mungkin menerimanya lebih awal berbanding yang lain.

Para pemilik rumah akan menerima pemberitahuan SMS atau emel daripada IRAS berhubung bil cukai dan tarikh akhir pembayarannya. Mereka juga boleh mengelog masuk ke myTax Portal untuk membuat semakan.

“Pemilik hartanah digalakkan untuk memohon GIRO untuk menikmati ansuran sehingga 12 bulan tanpa faedah atau memilih pemotongan yang dilakukan sekali sahaja,” menurut pihak berkuasa.

Para pemilik yang menghadapi kesukaran kewangan boleh menghubungi IRAS untuk mendapatkan bantuan bagi membincangkan pelan pembayaran yang sesuai sebelum tibanya tarikh akhir pembayaran.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita