Skip to main content

Singapura

Pemerintah bentang pindaan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama di Parlimen minggu depan

Pemerintah akan membentangkan pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama di Parlimen minggu depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah bentang pindaan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama di Parlimen minggu depan
Diterbitkan : 26 Aug 2019 08:29PM Dikemas Kini : 26 Aug 2019 08:34PM

SINGAPURA: Pemerintah akan membentangkan pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama di Parlimen minggu depan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan demikian di majlis ulang tahun ke-70 Pertubuhan Silang Agama (IRO) yang berlangsung pada sebelah malam Isnin (26 Ogos).

Beliau berkata pemerintah sudahpun mendapatkan pandangan para pemimpin agama mengenai perubahan-perubahan yang dicadangkan yang akan membolehkan pemerintah menangani ancaman baru secara menyeluruh dan tepat pada masanya.

PM Lee berkata Singapura berjaya membina keharmonian kaum agama dengan memandang serius terhadap perkara-perkara berkaitan agama serta dengan memahami peranan agama di dunia.

Tiada agama di Singapura, kata Encik Lee, berasal dari negara ini.

Kepercayaannya mengikut pihak-pihak berkuasa agama lebih tinggi di tempat lain dan para pengikut merasakan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat global.

Beliau menyentuh tentang bagaimana konteks lebih luas itu menjadikan sukar untuk memencilkan Singapura daripada masalah-masalah agama di tempat lain.

Misalnya, perang budaya di Amerika Syarikat atau kumpulan pengganas radikal di Timur Tengah.

Akta Mengekalkan Keharmonian Agama diluluskan pada 1990. Ia menetapkan peraturan bagi semua kumpulan dan membantu pihak pemerintah mengawalnya.

Walaupun pemerintah tidak pernah menggunakan kuasanya di bawah akta tersebut, PM Lee menambah kewujudannya membantu mengekalkan keamanan dan keharmonian.

Dalam masa 30 tahun lalu, menurut PM Lee, keadaan sudahpun berubah dengan ketara.

"Perkembangan media sosial menjadikan lebih mudah untuk orang ramai mencetuskan kesalahan dengan menyebarkan kebencian dan berita palsu. Undang-undang hanyalah salah satu pendekatan untuk mengekalkan keharmonian agama," ujar PM Lee.

Beliau menambah: "Kita juga perlu ada pemimpin yang berfikiran terbuka dan memahami konteks Singapura serta menjadi contoh kepada semua untuk menyebarkan mesej toleransi dan saling memahami". 

Sumber : CNA/NU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita