Skip to main content

Singapura

Pemerintah bantu syarikat yang terjejas oleh pengurangan kuota pekerja asing

Pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat bagi membantu mereka memenuhi keperluan tenaga kerja selepas Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) dikurangkan. Demikian menurut Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah bantu syarikat yang terjejas oleh pengurangan kuota pekerja asing

Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat di acara sambutan ulang tahun ke-36 Seoul Garden.

Diterbitkan : 28 Mar 2019 08:40AM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 08:43AM

SINGAPURA: Pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat bagi membantu mereka memenuhi keperluan tenaga kerja selepas Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) dikurangkan. Demikian menurut Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat.

DRC - yang menetapkan nisbah maksimum pekerja asing dalam sesebuah syarikat, akan dikurangkan bagi sektor perkhidmatan secara bertahap-tahap: dari 40 peratus kepada 38 peratus menjelang 1 Jan tahun depan, dan kepada 35 peratus menjelang 1 Jan 2021.

Berucap di acara sambutan ulang tahun ke-36 Seoul Garden pada Rabu (27 Mac), Encik Chee menarik perhatian kepada cara Pemerintah membantu perusahaan-perusahaan agar kurang bergantung kepada tenaga kerja asing.

"Kami akan meninjau huraian-huraian latihan dan daya penghasilan. Itulah sebabnya kami mengutamakan hasil latihan dan tenaga kerja sebagai sebahagian daripada Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG)," katanya.

"Sebahagian daripadanya merangkumi geran sehingga S$10,000 bagi tujuan latihan untuk membantu syarikat-syarikat di sini melakukan perubahan dan juga untuk (membantu mereka) memberi perhatian kepada latihan."

Subsidi baru di bawah PSG diperkenalkan dalam Belanjawan tahun ini. Syarikat-syarikat yang layak bagi PSG boleh membuat permohonan bagi subsidi tambahan untuk menampung 70 peratus kos latihan yang perlu dikeluarkan dari kocek sendiri. Subsidi dihadkan kepada S$10,000 bagi setiap perusahaan.

Pemerintah juga akan "membantu mencari kumpulan-kumpulan pekerja tempatan yang berbeza" untuk menyertai industri perkhidmatan, kata Encik Chee.

Menjawab pertanyaan tentang penggunaan automasi sebagai huraian kepada keperluan tenaga kerja, Encik Chee menjelaskan bahawa automasi tidak harus dijadikan sebagai respons utama.

"(Ia) bergantung kepada keadaan dan keperluan syarikat," katanya. "Saya tidak akan hanya menumpukan perhatian kepada automasi walaupun ia adalah huraian untuk menyelesaikan masalah."

Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) juga berikrar untuk membantu syarikat-syarikat yang ingin merapatkan jurang dalam tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif e2i Gilbert Tan berkata, bagi syarikat-syarikat yang ingin menggunakan automasi bagi sebahagian proses pekerjaan, ia akan berkongsi idea dan membantu mereka mengenal pasti geran-geran dan skim bantuan yang sesuai. Bagi syarikat-syarikat yang ingin mempertingkat kemahiran para pekerja pula, ia akan berganding bahu dengan mereka dalam latihan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita