Skip to main content

Singapura

Pemerintah bakal tawarkan tanah bagi sekitar 4,500 rumah privet baharu pada separuh pertama 2026

Tanah untuk membina lebih 4,500 unit kediaman privet baharu akan ditawarkan di bawah program jualan tanah pemerintah (GLS) bagi separuh pertama 2026.
Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah bakal tawarkan tanah bagi sekitar 4,500 rumah privet baharu pada separuh pertama 2026
Bangunan kediaman privet dan blok HDB kelihatan dari kejauhan di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Tanah untuk membina lebih 4,500 unit kediaman privet baharu akan ditawarkan di bawah program jualan tanah pemerintah (GLS) bagi separuh pertama 2026.

Ia setanding dengan bekalan pada separuh kedua 2025. Langkah itu akan meningkatkan jumlah keseluruhan rumah privet baharu dalam perancangan kepada lebih 58,000 unit, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Khamis (13 Nov).

Berucap di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-66 Persatuan Pemaju-Pemaju Hartanah Singapura (REDAS), Encik Chee turut mengumumkan keperluan baharu bagi para pemaju privet untuk membantu bakal pembeli membuat keputusan yang lebih baik.

Sebagai contoh, pemaju perlu memberikan lebih banyak butiran mengenai pelan lantai serta maklumat berhubung rekod projek terdahulu mereka.

Bagi membantu para pemaju mendapatkan tapak rumah contoh, beberapa langkah akan diperkemas untuk memendekkan masa pemprosesan.

PERMINTAAN BAGI PERUMAHAN

Encik Chee berkata pemerintah komited untuk menyokong aspirasi rakyat Singapura untuk memiliki rumah.

“Kami telah meningkatkan bekalan perumahan awam dan privet dalam beberapa tahun ini, dan akan terus mengekalkan tahap bekalan yang tinggi dalam beberapa tahun akan datang,” kata beliau di Hotel Shangri-La.

Encik Chee menarik perhatian bahawa dari 2025 hingga 2027, pemerintah akan melancarkan sekitar 55,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO), meningkat daripada sasaran awal 50,000 unit.

Dalam tempoh yang sama, tanah bagi lebih 25,000 unit kediaman privet akan ditawarkan melalui program GLS.

Encik Chee berkata harga pasaran perumahan juga sudah semakin stabil dalam bulan-bulan kebelakangan ini, sambil menambah bahawa pemerintah akan terus memantau keadaan tersebut memandangkan kadar faedah kian berubah-ubah.

Harga jualan semula flat HDB meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 0.4 peratus pada suku ketiga 2025 – kadar paling perlahan dalam tempoh lima tahun.

Ia turut mencerminkan pertumbuhan harga yang semakin perlahan buat empat suku berturut-turu dan merupakan peningkatan suku ke suku terendah sejak suku kedua 2020.

Dalam pasaran perumahan privet pula, kadar harga meningkat sekitar tiga peratus dalam tiga suku pertama 2025 – hampir sama dengan kadar pada 2024.

“Kami akan memantau pasaran dengan teliti dan menyesuaikan bekalan perumahan awam dan privet untuk memastikan pasaran perumahan yang stabil dan mampan,” kata Encik Chee.

Perumahan merupakan tema utama Draf Pelan Induk 2025 Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA). Encik Chee berkata pelan induk muktamad akan diwartakan pada Disember, menandakan fasa seterusnya dalam transformasi bandar Singapura.

Pelan Induk URA merangka rancangan guna tanah dan menetapkan keutamaan pembangunan Singapura bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Ia disemak setiap lima tahun.

Antara strategi perumahan itu termasuk membangunkan lebih banyak rumah yang inklusif, dimampui dan mudah diakses serta unit-unit di lokasi yang lebih berdekatan dengan pusat bandar seperti Pearl’s Hill dan Bukit Timah.

PERATURAN YANG DIKEMAS KINI BAGI PARA PEMAJU

Peraturan untuk melindungi para pembeli rumah akan dipertingkatkan, umum Encik Chee, dengan perubahan-perubahan berkuat kuasa pada awal tahun depan.

Para pemaju akan perlu menyediakan butiran tambahan mengenai projek perumahan baharu dalam dokumen-dokumen jualan.

Ini termasuk tanda jelas bagi:
 
  • Dinding struktur dan panel elektrik pada pelan lantai unit
  • Lif dan bilik servis pada pelan lantai tingkat
  • Corong dan ruang sampah, saluran udara tempat letak kereta, akses kenderaan dan pejalan kaki, serta butiran lain pada pelan tapak
     
“Langkah ini untuk memberikan keterangan yang jelas sejak awal lagi kepada para pembeli mengenai pelan susun atur, bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya pertikaian antara pemaju dan pembeli pada peringkat seterusnya,” kata Encik Chee.

Para pemaju juga perlu menyediakan maklumat mengenai rekod prestasi mereka kepada bakal pembeli, termasuk penarafan projek terdahulu di bawah rangka kerja Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (CONQUAS).

Selain itu, tarikh permulaan tempoh liabiliti bagi kerosakan dan liabiliti pembeli terhadap caj penyenggaraan akan dipanjangkan — dari hari ke-15 selepas notis bayaran kemajuan dikeluarkan pada Permit Pendudukan Sementara kepada hari ke-35.

Beberapa langkah baharu akan turut diperkenalkan untuk memperbaiki proses mencari tapak rumah contoh, yang menurut Encik Chee agak “mencabar dan memakan masa”.

Pada masa ini, para pemaju mengenal pasti tanah kosong untuk tapak rumah contoh dan membuat permohonan kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara.

Di bawah satu inisiatif baharu, tapak tanah pemerintah yang sesuai untuk rumah contoh akan dikenal pasti lebih awal dan diluluskan agensi berkaitan, sekali gus mempercepatkan proses tersebut.

Senarai tapak akan tersedia mulai 14 November melalui portal Lesen Pendudukan Sementara (TOL) SLA dan akan disemak setiap tahun.

Langkah itu akan membolehkan para pemaju hartanah mengurangkan sehingga separuh masa yang biasanya diperlukan untuk mendapatkan kelulusan agensi, kata Encik Chee.

“Pada masa yang sama, kami berharap para pemaju juga akan terus mengguna pakai pendekatan inovatif dan cekap dari segi penggunaan tanah, termasuk rumah contoh maya … kerana bekalan tanah kita terhad,” tambah beliau.

Para pemaju yang mendapati tapak yang dikenal pasti terlebih dahulu tidak sesuai untuk kegunaan mereka boleh membuat permohonan bagi tapak lain kepada SLA menerusi proses yang biasa digunakan.

Tempoh TOL bagi pembangunan dalam kawasan pusat juga akan dilanjutkan kepada tiga tahun berbanding dua tahun sebelum ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita