Pemerintah bakal tawarkan tanah bagi lebih 4,700 rumah privet baharu pada separuh kedua 2026
Tanah bagi 4,745 unit rumah privet baharu akan ditawarkan di bawah Program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) pada separuh kedua 2026.
Pemandangan umum sebuah kawasan kediaman privet yang terletak berhampiran Orchard Road di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Digabungkan dengan tapak yang dilancarkan pada separuh pertama tahun ini, jumlah bekalan yang disahkan bagi 2026 - sebanyak 9,320 unit - adalah lebih 50 peratus lebih banyak berbanding purata tahunan dalam tempoh sedekad lalu.
Suntikan terbaharu bekalan ini akan meningkatkan jumlah bekalan rumah privet dalam saluran pembangunan - termasuk kondominium eksekutif - kepada sekitar 61,000 unit, termasuk kira-kira 32,000 unit yang dijangka ditawarkan untuk jualan dalam tempoh sekitar dua tahun akan datang, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat dalam satu catatan Facebook pada Rabu (3 Jun).
Menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan media, senarai yang disahkan merangkumi lapan tapak kediaman privet dan satu tapak putih, yang menyediakan 83,350 meter persegi ruang komersial selain rumah privet dan kondominium eksekutif baharu.
Senarai Rizab pula merangkumi lapan tapak kediaman privet, satu tapak komersial, dua tapak putih dan dua tapak hotel, yang berpotensi menyediakan tambahan 4,455 unit rumah privet, 104,750 meter persegi ruang komersial dan 970 bilik hotel sekiranya dilancarkan untuk dijual.
Tapak dalam senarai Rizab tidak akan ditawarkan untuk tender dengan serta-merta. Sebaliknya, ia hanya akan dilancarkan jika pemaju mengemukakan harga minimum yang diterima pemerintah.
Pemerintah juga akan melancarkan tender bagi tapak putih di Daerah Tasik Jurong (JLD) pada Julai di bawah senarai yang disahkan bagi separuh kedua 2026, kata Encik Chee.
Langkah itu dibuat sedang pemerintah merancang untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai daerah perniagaan kegunaan campuran terbesar di Singapura di luar pusat bandar, yang menggabungkan perumahan dan ruang kerja dengan pilihan runcit, makanan dan minuman serta hiburan.
“Pembangunan yang dicadangkan itu berpotensi menyediakan 1,200 unit kediaman serta ruang pejabat, runcit, makanan dan minuman, hiburan dan kegunaan pelengkap lain,” kata beliau.
Encik Chee turut menarik perhatian kepada tahap keterhubungan yang kukuh di kawasan itu, yang akan mempunyai empat laluan MRT menjelang 2032, sebagai faktor yang akan mengukuhkan peranan daerah tersebut sebagai hab perniagaan dan gaya hidup utama di luar pusat bandar.
“Kami akan terus mengambil pendekatan jangka panjang dalam merancang bandar kami - terus membina lebih banyak rumah dan pada masa yang sama membayangkan semula ruang bagi menggabungkan tempat bekerja, tempat tinggal dan tempat untuk beriadah, demi mewujudkan persekitaran hidup yang rancak, berdaya tahan dan mampan untuk semua,” tambah Encik Chee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.