Pemerintah baharu PM Wong mahu perkukuh kedudukan SG dalam 'dunia yang berubah'
Memastikan kedudukan yang terjamin bagi Singapura dalam “dunia yang sudah berubah” adalah keutamaan bagi penggal pemerintahan seterusnya negara ini, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (23 Mei) semasa barisan menteri Kabinet baharunya mengangkat sumpah.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon (kanan), sambil disaksikan Presiden Tharman Shanmugaratnam (tengah), di Istana pada 23 Mei 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Menyemak strategi-strategi ekonomi negara, memperkukuh kompak sosial dan mempersiap Singapura untuk berdepan cabaran masa depanb, juga antara objektif utama pasukannya, kata PM wong semasa upacara di Istana itu.
PM Wong dan pasukan baharunya mengangkat sumpah jawatan di depan Ketua Hakim Sundaresh Menon di hadapan sekitar 650 tetamu, yang terdiri daripada Anggota Parlimen, mantan menteri, diplomat dan wakil-wakil dari persatuan-persatuan Singapura.
Ini merupakan pasukan lengkap pertama yang dibentuk di bawah PM Wong selepas beliau mengambil alih daripada Menteri Kanan Lee Hsien Loong tahun lalu.
Dalam ujian pilihan raya pertama PM Wong sebagai pemimpin Singapurfa, Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih mandat jelas semasa Pilihan Raya Umum 3 Mei, dengan 65.57 peratus undi.
Beliau mengumumkan barisan menteri Kabinetnya pada Rabu, dengan melantik tiga menteri penyelaras dan membawa sembilan pemegang jawatan baharu.
PM Wong pada Jumaat berkata keutamaan pasukannya adalah untuk memperdalam hubungan Singapura dengan kuasa-kuasa utama, terutama sekali Amerika Syarikat dan China, dengan mendampingi mereka secara jujur dan berprinsip namun tanpa terperangkap dalam persaingan mereka.
"Apabila kepentingan kita seiring, kita akan bekerjasama dengan mereka. Jika tidak, kita akan berpendirian teguh dan melindungi keselamatan dan kedaulatan Singapura," kata PM Wong, sambil menambah keutamaan pertama adalah untuk memastikan Singapura berada dalam kedudukan terjamin dalam "dunia yang sudah berubah".
Singapura juga akan meneroka hubungan baharu di rantau-rantau seperti Afrika dan Amerika Selatan, di mana kehadiran kita masih terhad, kata PM Wong.
"Dalam dunia yang penuh dengan peralihan perikatan, kita akan menjadi rakan yang teguh dan membina – yang bersedia serta berupaya menyumbang kepada keamanan dan kestabilan, menggalakkan dialog dan perpaduan, serta menyokong aturan dunia yang berasaskan peraturan," kata beliau.
"Tujuan kita bukan sekadar mengemudi dalam dunia tidak menentu ini tetapi membantu membentuknya demi kebaikan – dengan bekerjasama dengan rakan-rakan sehaluan serta menegakkan prinsip dan nilai bersama supaya negara-negara kecil juga ada tempat di dunia ini."
KEUTAMAAN EKONOMI, SOSIAL
Strategi-strategi ekonomi negara ini akan disemak semula dan dikemas kini bagi landskap baharu, kata PM Wong.
Bekerjasama dengan rakan-rakan perikatan, pemerintah akan mermbangunkan "rangka tindakan buat fasa seterusnya" untuk mengekalkan daya saing Singapura dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baik buat rakyat Singapura, kata beliau.
Ia juga akan membantu perniagaan-perniagaan, isi rumah dan para pekerja "mengharungi masa-masa sukar" sedang pertumbuhan global menjadi perlahan dalam jangka terdekat, tambah PM Wong.
Untuk menyegarkan kompak sosial negara, pemerintah juga akan meneruskan dengan inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura, iaitu sesuatu yang disifatkan oleh PM Wong sebagai penting untuk mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama.
Beliau menambah bahawa sebuah masyarakat yang berpecah disebabkan ketaksamaan tidak mungkin berdaya bingkas apabila berdepan dunia yang bergolak.
"Kita akan mempertingkat sistem sokongan sosial untuk memberikan lebih banyak jaminan kepada rakyat Singapura dari pelbagai lapisan masyarakat, dari peringkat awal kanak-kanak hingga usia persaraan," kata beliau.
"Ini bermakna memastikan khidmat-khidmat asas seperti pendidikan, jagaan kesihatan dan perumahan boleh diakses dan boleh dimampui. Ini juga bermakna mengukuhkan sokongan bagi warga senja kita, supaya mereka boleh hidup dengan bermaruah, berguna dan kepuasan."
Akan ada lebih banyak laluan pelbagai dan fleksibel untuk rakyat Singapura mencapai “kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan” - iaitu sebahagian daripada ikrar negara - dan untuk berkembang maju mengikut rentak mereka sendiri, kata PM Wong.
PM Wong menarik perhatian bahawa apabila isu-isu kaum dan agama timbul dalam Pilihan Raya Umum, "Kita tidak membiarkannya memecahbelahkan kita", dan ini menjadi satu petanda sejauh mana kemajuan masyarakat Singapura, dan peringatan bahawa keharmonian kaum dan agama tidak boleh dianggap remeh.
Pemerintah juga akan bersiap sedia untuk masa depan, khususnya dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih dan menyesuaikan diri dengan realiti perubahan iklim, kata Encik Wong.
Ini termasuk transformasi infrastruktur serta mewujudkan kediaman yang lebih bijak, saling terhubung dan mesra alam di negara ini.
MANDAT JELAS
Penampilan pertama Encik Wong dalam pilihan raya sebagai ketua kepimpinan generasi keempat negara menyaksikan PAP meningkatkan prestasinya berbanding Pilihan Raya Umum 2020 sebanyak empat mata peratusan, memenangi 87 daripada 97 kerusi bagi Parlimen ke-15 negara.
Dengan memimpin parti ke arah peningkatan peratusan undi, Encik Wong menongkah arus: Pilihan raya sebelumnya pada 1991 dan 2006 menyaksikan penurunan undi PAP selepas perdana menteri baharu mengambil alih tampuk pemerintahan.
PAP juga menang di semua kawasan undi dengan persaingan sengit, termasuk Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Punggol, serta GRC West Coast-Jurong West yang menyaksikan saingan paling sengit pada 2020.
Dalam suasana tidak menentu, pengundi di Singapura memahami apa yang dipertaruhkan, dan memilih pemimpin yang boleh dipercayai dan diharapkan, serta laluan yang mantap bagi fasa pembangunan negara yang seterusnya, kata Encik Wong.
Ini memberikan kelebihan kepada Singapura, terutamanya dalam pelaksanaan dasar luar negaranya, tambah beliau.
“Masyarakat antarabangsa dan para pelabur pasti mengambil maklum tentang keputusan ini. Mereka akan melihat sebuah negara yang bersatu, berdiri teguh di belakang kepimpinannya, dan memberi keyakinan kepada pemerintah yang memiliki kekuatan dan kestabilan untuk memastikan kedudukan Singapura dalam dunia yang tidak menentu,” katanya.
Kabinet baharu memulakan penggalnya dalam suasana dunia yang lebih tidak menentu dan sukar diramal berbanding sebelumnya, kata Perdana Menteri.
Keadaan yang sebelum ini menjadi tunjang kelangsungan, keselamatan dan kejayaan Singapura kini sedang berubah, dengan sistem antarabangsa berasaskan peraturan menjadi semakin longgar, ujarnya.
Keamanan, keselamatan dan perdagangan bebas yang dibolehkan kerjasama pelbagai hala, kini memberi laluan kepada rangkaian perjanjian dua hala dan bersifat urus niaga, di mana kekuatan sering mengatasi keadilan, kata Encik Wong.
“Kuasa-kuasa besar dunia kini menilai semula strategi mereka dan mengubah haluan demi memperoleh kelebihan. Persaingan semakin sengit, dan negara-negara kecil berisiko terperangkap dalam percaturan kuasa, atau langsung disisihkan daripada rundingan,” katanya.
“Singapura tidak akan berdiam diri. Kita tidak mampu untuk bersikap pasif. Kita mesti berpandangan jelas, proaktif dan tangkas dalam menyesuaikan diri dengan dinamik yang berubah-ubah ini.”
Encik Wong berkata pasukannya akan mentadbir dengan pendekatan yang mengutamakan “kerjasama dengan rakyat Singapura”, melibatkan rakyat dari setiap lapisan masyarakat untuk melakar bab negara yang seterusnya.
“Setiap orang akan mempunyai suara dalam membentuk haluan masa depan kita dan membina masa depan bersama, kerana saya percaya sepenuhnya bahawa masyarakat yang lebih terbuka dan terlibat akan memperkukuh, bukan melemahkan, Singapura,” katanya.
“Kita tidak takut pada perbezaan pandangan. Kita mengalu-alukan perbahasan yang membina. Ia mendorong kita untuk berfikir dengan lebih mendalam, merancang dengan lebih baik, dan berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat Singapura.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.