Pemerintah ambil pendekatan menyeluruh asah bakat IT tempatan
Sedang permintaan bagi pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus meningkat, Pemerintah akan mengambil pendekatan berbilang aspek untuk mengembangkan bakat rakyat tempatan.

(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Sedang permintaan bagi pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus meningkat, Pemerintah akan mengambil pendekatan berbilang aspek untuk mengembangkan bakat rakyat tempatan - termasuk menubuhkan sebuah kumpulan LinkedIn bagi menggalak para karyawan yang berada di luar negara untuk kembali ke tanahair.
Demikian menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran semasa membentangkan rancangan-rancangan dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen hari ini (4 Mac).
Jumlah karyawan ICT naik 5 peratus sepanjang 2016-2017 dan jumlahnya sekarang mencecah 189,400. Sementara itu, jumlah pekerja yang diperlukan dijangka mencecah 28,500 orang menjelang 2020, menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).
Maka itu, MCI menyatakan bahawa program-program Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) akan diluaskan bagi menghasilkan lebih ramai bakat tempatan di samping melengkapi pakar-pakar IT dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan buat masa kini. TeSA adalah satu hasil kerjasama antara Pemerintah, industri dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membina dan membangunkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang ICT di sini.
Usaha-usaha lain termasuk penubuhan kumpulan masyarakat 'Overseas Singaporeans in Tech' di wadah LinkedIn, kata Encik Iswaran.
Kumpulan yang dibuka hanya melalui undangan itu adalah untuk syarikat-syarikat dan Pemerintah Singapura mendekati rakyat Singapura yang berada di luar negara - seperti para pelajar yang berminat dalam bidang teknologi serta para karyawan yang bekerja dalam industri tersebut, menurut MCI.
Kumpulan LinkedIn itu ingin menggalak rakyat tempatan yang bermastautin di luar negara untuk kembali ke Singapura atau bekerja bagi syarikat-syarikat Singapura di luar negara. Sejak ditubuhkan pada Januari tahun ini, lebih 500 rakyat Singapura yang berada di luar negara sudah menyertai kumpulan online itu, tambah Encik Iswaran.
Wadah itu adalah hasil kerjasama antara Unit Warga Singapura di Luar Negara, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Kumpulan Negara Bijak dan Digital Pemerintah, Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi.
Encik Iswaran juga mengumumkan satu sumber panduan pembelajaran digital bagi membantu perusahaan-perusahaan di sini untuk merancang latihan-latihan digital bagi para pekerja mereka, yang selaras dengan keperluan perniagaan.
Panduan tersebut, dihasilkan oleh IMDA dan SkillsFuture Singapore, akan dirintis bagi sektor-sekor runcit dan logistik. Pihak-pihak yang berminat boleh mengaksesnya di laman IMDA mulai Julai tahun ini, menurut MCI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.