Pemerintah akan tingkatkan proses, keupayaan pegawai tangani kelemahan dikesan AGO
Pemerintah akan mempertingkatkan prosesnya dengan menyediakan lebih banyak infrastuktur IT berpusat dan khidmat bersama.

(Gambar: Wikipedia)
SINGAPURA: Pemerintah akan mempertingkatkan prosesnya dengan menyediakan lebih banyak infrastuktur IT berpusat dan khidmat bersama.
Demikian menurut Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah di Parlimen pada Isnin (13 Sep) bagi menangani kelemahan yang dikesan oleh Pejabat Peguam Negara (AGO).
Langkah-langkah itu juga bertujuan mengurangkan risiko berkaitan dengan IT dan pendigitalan dengan memudahkan semakan kerap di peringkat "seluruh pemerintah", katanya lagi.
Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG), misalnya, sedang melaksanakan khidmat automasi berpusat berhubung semakan terhadap aktiviti pengguna hak istimewa agensi awam. Ini akan dijalankan bagi sekitar 800 sistem dengan keutamaan tinggi menjelang hujung tahun depan, dan semua sistem lain menjelang Disember 2023.
Cik Indranee menarik perhatian bahawa agensi-agensi kerap melakukan semakan dan mengukuhkan proses dan sistemnya sendiri. Sebagai contoh, Jabatan Akauntan Negara mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan IT dan akan memperkenalkan khidmat automasi semakan kegiatan dalam kalangan pengguna istimewa.
Pemerintah juga akan mengukuhkan keupayaan pegawainya, katanya kepada Dewan.
Usaha-usaha ini termasuk mendapatkan Akademi Kewangan dan Pemerolehan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kolej Perkhidmatan Awam (CSC) untuk menjalankan latihan bagi pegawai awam. Mereka yang terlibat dalam pengurusan kewangan, pemerolehan dan pengendalian kontrak akan diberi latihan semula mengenai dasar-dasar dan amalan.
"Kami akan meningkatkan usaha kami memandangkan dapatan audit baru-baru ini lebih tertakluk kepada jenis pemerolehan dan pengurusan kontrak yang lebih rumit, khususnya dalam bidang IT dan projek pembangunan," kata Cik Indranee.
Agensi-agensi juga mempertingkatkan latihan pegawai yang terlibat dalam peranan IT untuk mengukuhkan tadbir urus IT dan proses keselamatan, selain daripada pendampingan aktif bagi dapatan audit serta titik pembelajaran dan cara-cara untuk mengelakkan berlakunya kelemahan dalam tadbir urus.
Anggota Parlimen Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya tentang jenis kelemahan yang berulang serta kementerian dan agensi yang berkali-kali diberi amaran oleh AGO sepanjang lima tahun lalu.
Berhubung soalan pertamanya, Cik Indranee berkata kelemahan lazimnya berlaku dalam bidang pemerolehan dan pengurusan kontrak, kawalan IT dan pengurusan geran.
Mereka berkongsi faktor utama seperti skala dan kerumitan operasi, sekitaran operasi yang kerap berubah, jumlah urus niaga yang tinggi dan pelbagai titik sentuh.
Enam agensi disebutkan dalam laporan AGO atas kelemahan berulang sepanjang lima tahun lalu, khususnya dalam bidang pemerolehan dan pengurusan kontrak serta kawalan IT.
Mereka adalah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Persatuan Rakyat (PA).
Kelemahan itu timbul daripada jurang dalam proses agensi dan faktor manusia, kata Cik Indranee.
BERHUBUNG LAPORAN TERKINI AGO
Ketua Pembangkang Pritam Singh bertanya apakah tindakan yang akan diambil oleh Pemerintah berhubung kelemahan yang disebut oleh AGO dalam laporan terbarunya.
AGO dalam audit tahunannya bagi akaun pemerintah, menanrik perhatian "mungkin ada percanggahan" dalam rekod beberapa kementerian dan badan berkanun, termasuk dokumen yang diubah suai, ditukar tarikh, direka secara palsu dan dipalsukan oleh pegawai.
Kementerian dan badan berkanun berkenaan adalah: Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), MOE, Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan PA.
Cik Indranee berkata Pemerintah "memandang serius terhadap kelemahan tersebut".
Setiap kes "disiasat secara menyeluruh" dan pegawai awam yang didapati bersalah atas salah laku boleh dikenakan tindakan disiplin bergantung pada jenis, tahap dan situasi pelanggaran itu, katanya.
'MUSTAHIL JANGKAKAN TIDAK AKAN ADA KELEMAHAN'
Cik Indranee yang juga Menteri Kedua bagi Pembangunan Negara berkata berdasarkan skala dan kerumitan operasi pemerintah, "adalah mustahil untuk menjangkakan tidak akan ada sebarang kelemahan".
"Dengan 150,000 pegawai dalam perkhidmatan awam menangani ratusan ribu urus niaga setiap tahun, dan lebih 2,000 sistem IT pemerintah dibangunkan sepanjang beberapa tahun oleh syarikat-syarikat vendor berbeza dan menggunakan teknologi berlainan, kesilapan manusia dan jurang proses akan berlaku dari semasa ke semasa.
"Dengan itu, apa yang penting adalah kita mesti mempunyai keupayaan untuk mengesan kelemahan sedemikian dan mengatasinya dalam cara terbuka dan telus," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.