Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan terus tingkatkan sokongan kepada ibu bapa: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jan 2023 07:39AM Dikemas Kini : 21 Jan 2023 09:54PM
SINGAPURA: Pemerintah akan terus membantu ibu bapa di Singapura untuk menguruskan tekanan membesarkan anak dan memberi setiap daripada mereka permulaan yang baik dalam hidup.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (21 Jan).

Pihak berkuasa sedang meningkatkan langkah-langkah untuk menyokong ibu bapa dengan, misalnya, menurunkan yuran di prasekolah yang disokong pemerintah mulai bulan ini.

Perubahan selanjutnya akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, kata Encik Lee.

Dalam perutusan tahunannya sempena Tahun Baru Cina, Perdana Menteri juga menggesa negara ini supaya terus kekal berwaspada terhadap COVID-19 ketika sambutan perayaan disambung semula sepenuhnya selepas hampir tiga tahun memerangi pandemik itu.

Tahun Baru Cina disambut sendu sejak dua tahun lalu disebabkan sekatan-sekatan COVID-19, seperti had terhadap saiz kumpulan semasa perhimpunan sosial.

“Saya pasti perayaan tahun ini amat bermakna bagi ramai orang. Lohei akan dilambung lebih tinggi, sorakan 'Huat ah' akan menjadi lebih kuat, dan perhimpunan keluarga lebih meriah," kata Encik Lee.

Namun sedang perayaan kembali disambut penuh meriah kali ini dengan pelonggaran langkah-langkah sekatan, Encik Lee berharap orang ramai juga tidak melupakan kerja keras serta pengorbanan mereka yang berjuang di barisan hadapan untuk melawan COVID-19 dan memastikan Singapura terus maju.

Beliau mengingatkan bahawa meskipun keadaan kini stabil dalam negeri, varian-varian baru masih boleh muncul dan membawa cabaran yang tidak diduga.

Lantas, Encik Lee menyeru rakyat Singapura agar terus menjaga antara satu sama lain dan melaksanakan tanggungjawab sosial.

Ini termasuk menjalankan ujian kendiri ART apabila diperlukan, terutama sekali sebelum melawat saudara-mara warga emas, dan jangan keluar rumah jika berasa kurang sihat atau diuji positif COVID-19.

Penduduk juga harus sentiasa memastikan mereka mendapatkan perlindungaan vaksinasi COVID-19, termasuk mendapatkan vaksin bivalen terkini, kata Encik Lee, sambil menyifatkan langkah itu sebagai "perlindungan terbaik" terhadap COVID-19.

"Saya menggalakkan setiap orang memainkan peranan mereka menerusi langkah demikian yang kecil tetapi berkesan."

Di samping itu, PM Lee berkongsi bahawa pengalaman bersama ketika mengharungi COVID-19 membuat orang ramai lebih menghargai keluarga dan mereka yang tersayang.

"Keluarga merupakan teras kompak sosial kita, dan keluarga yang kuat adalah penting kepada masyarakat yang stabil dan berdaya tahan," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa sudahpun memperuntukkan 2022 sebagai Tahun Meraikan Keluarga Singapura, dengan satu siri acara serta inisiatif yang menarik dan bermakna, yang diadakan sepanjang tahun.

Syarikat-syarikat, misalnya, boleh menetapkan aturan kerja yang fleksibel dan memupuk budaya yang lebih menggalakkan berkeluarga di tempat kerja.

Sementara itu, rakan-rakan masyarakat juga boleh mengumpulkan sumber-sumber untuk meraikan dan memupuk kehidupan keluarga, manakala individu harus menghargai masa bersama keluarga dan menjadikannya keutamaan yang lebih besar, katanya.

Sebagai penutup, PM Lee mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada warga Singapura dan semoga mereka diberi kesihatan yang baik.
Sumber : CNA/LL/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan